Khamis, 14 Jun 2012

ISU SOSIAL : 47,769 Lepaskan Status Warganegara Sejak 2002


KUALA LUMPUR : Seramai 47,769 rakyat negara ini melepaskan taraf kewarganegaraan mereka sejak 2002 hingga Mei lepas, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 40,624 melepaskan status kerakyatan Malaysia untuk menjadi warga Singapura, Australia (1,906), Brunei (1,350), Amerika Syarikat (724) dan Taiwan (711).

Sebab utama mereka berbuat demikian adalah kerana telah memperoleh kewarganegaraan negara lain melalui perkahwinan dan usaha mengurangkannya adalah di luar bidang kuasa kementerian, katanya dalam jawapan bertulis kepada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) pada sidang Dewan Rakyat, Khamis.

Teck Hwa ingin tahu jumlah rakyat Malaysia yang telah melepaskan kewarganegaraan sejak 2002 hingga 2012 serta tindakan kementerian untuk mengurangkannya.

Hishammuddin berkata kementerian juga menerima 74,092 permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia antara 2008 dan Mei 2012.

Beliau berkata penganugerahan status kerakyatan kepada penduduk yang bertaraf Pemastautin Tetap, Bukan Warganegara atau warga asing dipertimbang berdasarkan syarat dan kelayakan yang termaktub dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan.

"Setiap permohonan yang diterima akan diteliti dan diberi pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira faktor-faktor lain berkaitan pembangunan, kesejahteraan dan keselamatan negara," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan