Khamis, 14 Jun 2012

ISU SOSIAL : Pemurnian makna perkahwinan



Oleh : DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Berakhirnya cuti sekolah beberapa hari lalu maka berakhirlah seketika riuh-rendah kenduri-kendara perkahwinan pasangan mempelai yang diraikan. Namun bukan hanya majlis walimah pelbagai bentuk yang mewarnai musim cuti sekolah, masyarakat turut disajikan dengan pelbagai berita sensasi melingkari isu perkahwinan.

Dalam keriuhan media berpesta melaporkan kisah perkahwinan pelbagai stratifikasi golongan masyarakat ini, tanpa disedari fikrah masyarakat mengenai perkahwinan semakin dicelarukan. Perkahwinan kini seolah-olah ditanggapi  ebagai suatu wahana memperagakan kemewahan dan kekayaan diri hinggakan semacam wujudnya persaingan mengenai harga mas kahwin, nilai hantaran hatta dalam aspek penganjuran majlis walimah.

Lebih menggusarkan penulis, apabila makna dan falsafah perkahwinan sendiri semakin disongsangkan seolah-olah kebahagiaan dalam perkahwinan hanya mampu terjelma apabila pasangan adalah golongan hartawan atau model   upawan. Persoalannya apakah sebenarnya matlamat dan falsafah perkahwinan menurut Islam?

Adakah kayu ukur kebahagiaan dalam perkahwinan tergantung kepada kekayaan dan kecantikan semata-mata? Atau apakah sesuatu  perkahwinan itu sekadar memenuhi serakah nafsu manusiawi yang tidak mempunyai makna apa-apa?

Amat malang apabila masyarakat berterusan dimomokkan dengan persepsi betapa kehebatan perkahwinan diukur sejauh mana gahnya upacara keraian yang dianjurkan ataupun nilai hantaran yang disediakan.

Sebaliknya prinsip dan nilai keagamaanlah yang seharusnya mendasari perhitungan dan menerasi cita rasa umat dalam membentuk perkahwinan yang sempurna dan penuh barakah. Agama semestinya menjadi kayu ukur terpenting  dalam memperhitungkan neraca kebahagiaan perkahwinan dan berkekalan hingga ke penghujung hayat insan.

Dalam konteks perkahwinan ini, Rasulullah SAW melarang pasangan berkahwin tanpa memperhitungkan faktor agama. Baginda turut memberi amaran mengenai natijah buruk sekiranya sesuatu perkahwinan itu berteraskan ketampanan  rupa paras ataupun kekayaan harta benda semata-mata: “Janganlah kamu mengahwini perempuan sematamata kerana kejelitaannya, kerana mungkin ia akan membawa mereka kepada keburukan. Dan jangan kerana kekayaannya, kerana mungkin ia akan mendorong mereka kepada kezaliman.

Sebaliknya kahwinilah perempuan kerana agamanya” (Riwayat Ibn Majah). Dalam hadis lain, kecantikan dan kekayaan adalah sebahagian daripada empat faktor yang perlu diambil kira selain agama dan keturunan dalam memilih pasangan hidup. Namun faktor agamalah yang lebih utama dalam perkahwinan kerana kebahagiaan hakiki mampu dikecap dalam realiti hidup berkeluarga. In sejajar dengan maqasid atau matlamat perkahwinan iaitu untuk mencapai  kerahmatan dan keberkatan ALLAH sebagaimana terungkap dalam Surah Ar-Rum ayat 21.

Kesedaran bahawa perkahwinan itu anugerah ALLAH akan menumbuhkan pula rasa keterikatan dengan hukum dan nilai ketuhanan. Perkahwinan yang didirikan dengan cara yang halal berteraskan aturan agama pasti akan membawa  barakah atau keberkatan. Ulama mendefinisikan barakah sebagai nikmat ALLAH yang dikurniakan dalam dua bentuk. Pertama as-Sa’adah iaitu nilai kebahagiaan hakiki yang mampu menatijahkan ketenteraman jiwa, keharmonian  rumah tangga dan sikap bekerjasama hingga tersemai rasa kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah) antara suami isteri.

Kedua ialah az-Ziadah iaitu penambahan nikmat berterusan oleh ALLAH, hinggakan tidak pernah timbul perasaan tidak cukup atas segala rezeki pemberian ALLAH kepadanya. Barakah adalah suatu nilai yang dapat mendisiplinkan perilaku seseorang. Hanya yang halal dan berteraskan norma agama akan membawa barakah, sedang yang haram atau berlaku curang pada prinsip Islam hanya menempah padah.

Keinginan untuk mengecap barakah ALLAH akan membentuk budaya perkahwinan yang lebih kudus. Umpamanya dalam isu mas kahwin, seseorang pastilah akan bersandarkan sunnah Nabawi yang menyebut: “Sesungguhnya  sebesar-besar berkat perkahwinan ialah yang sedikit mas kahwinnya”.

Justeru tidak timbullah polemik kecelaruan nilai yang melingkari budaya perkahwinan hari ini yang kadangkala melewati batas hukum, akhlak dan tradisi. Inilah  hakikat sebenar falsafah perkahwinan yang sememangnya menjadi antara matlamat terpenting sebagaimana digariskan syarak atau disebut sebagai Maqasid  as-Syariah dalam aspek perkahwinan. Perkahwinan yang diberkati akan  menjelmakan sebuah keluarga yang sempurna sekali gus menjana pembentukan masyarakat yang kukuh dan utuh berlandaskan prinsip dan norma Islam sejat.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen