Khamis, 26 Julai 2012

ISU GLOBAL : ASEAN perlu sepakat berhadapan China

Oleh : Azmi Hassan

BUKAN menjadi rahsia lagi ASEAN sebagai sebuah pertubuhan tidak mempunyai kata sepakat apabila berhadapan dengan masalah tuntutan sempadan maritim yang bertindih di Laut China Selatan walaupun empat negara ahli iaitu Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei terlibat secara langsung.

Masalah tersebut bagaikan duri dalam daging bukan kerana isu pertindihan di antara sesama negara ahli tetapi kerana ke semua tuntutan empat negara ASEAN itu berkaitan dengan hak yang dituntut pula oleh China.

Ini adalah kerana secara dasarnya Beijing menuntut hampir 80 peratus kawasan maritim Laut China Selatan sebagai hak mereka.

Kegagalan ASEAN mengeluarkan kenyataan bersama selepas Persidangan Menteri-Menteri Luar yang diadakan di Phnom Penh pada 6-13 Julai lepas berpunca daripada masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan.

Begitu mengaibkan kerana buat pertama kali dalam 45 tahun sejarah ASEAN, kenyataan bersama yang merupakan manifestasi kesepakatan mesyuarat gagal mencapai persetujuan semua ahli.

Punca utama adalah kerana Pengerusi ASEAN iaitu Kemboja berkeras enggan menerima isu pergeseran Filipina dan China di Scarborough Shoal dan definisi Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) yang masing-masing disarankan oleh Manila dan Hanoi sebagai kenyataan bersama ASEAN.

Alasan yang digunakan oleh Hor Nam Hong iaitu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Kemboja sebagai Pengerusi sidang adalah kedua-dua isu tersebut bukan masalah ASEAN tetapi masalah bilateral.

Episod tersebut menyerlahkan bagaimana Manila dan Hanoi berpendirian masalah tuntutan bertindih Laut China Selatan perlu ditangani oleh ASEAN sebagai sebuah pertubuhan untuk berhadapan dengan Beijing. Phnom Penh pula berpendapat negara yang mempunyai isu tuntutan tersebut perlu berunding dengan China secara bersendirian tanpa melibatkan ASEAN.

Agak kucar-kacir pendirian ASEAN kerana seminggu selepas kegagalan sidang mencapai kata sepakat, satu kenyataan yang digelar konsensus enam perkara dikeluarkan bagi menebus kegagalan sebelum ini.

Inti pati konsensus tersebut adalah untuk mempercepatkan proses penerimaan Kod Tatacara Laut China Selatan. Paling menarik adalah disaran pertelingkahan sempadan maritim mengguna pakai prinsip perundangan antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).

Walaupun tidak disertakan saranan asal Manila dan Hanoi, tetapi penyataan penggunaan UNCLOS sebagai prinsip penyelesaian pertelingkahan Laut China Selatan adalah pendirian ASEAN yang agak keras kerana selama ini Beijing mengetepikan kehendak perundangan antarabangsa dalam mengesahkan tuntutan mereka.

Walaupun UNCLOS tidak mempunyai peruntukan untuk menentukan kedaulatan kawasan yang dituntut, tetapi definisi mengenai batuan atau pulau yang akan memberi kesan terhadap tuntutan EEZ sesebuah negara adalah begitu rapi dan lengkap.

Begitu pentingnya persetujuan definisi EEZ adalah kerana tuntutan keempat-empat negara ASEAN berlandaskan peruntukan EEZ dalam UNCLOS. Sebab itu garis sempadan maritim yang dituntut adalah spesifik dan nyata.

Masalah dengan tuntutan Beijing pula ialah ia tidak bersandarkan EEZ tetapi hanya berpaksikan kepada sejarah lampau China. Sebab itu garis sempadan yang dituntut adalah begitu kabur dan sukar dinyatakan dengan spesifik oleh Beijing.

Amat mustahil bagi Beijing untuk menerima pakai Kod Tatacara yang mempunyai penggunaan UNCLOS kerana ia langsung tidak memberi kelebihan kepada mereka.

Kesungguhan Beijing untuk menghindari masalah Laut China Selatan dijadikan sebagai isu ASEAN agak berjaya ekoran kegagalan mengeluarkan kenyataan bersama di Phnom Penh.

Strategi bilateral memberi kelebihan kepada Beijing kerana kekuatan ekonomi dan ketenteraan mereka jauh lebih hebat berbanding apa yang dimiliki oleh Manila, Hanoi, Bandar Seri Begawan atau Kuala Lumpur.

Malah pada hari sama konsensus enam perkara dikeluarkan, Beijing telah mengumumkan perasmian bandar Sansha sebagai pusat pentadbiran bagi keseluruhan kawasan Laut China Selatan yang dituntut.

Sansha yang terletak di pulau terpencil Laut China Selatan bukan hanya mempunyai pangkalan pentadbiran tetapi juga pangkalan tentera. Perkembangan ini adalah fasa terbaru strategi tuntutan China untuk memperkukuhkan tuntutan mereka.

Kejayaan ASEAN mengeluarkan konsensus enam perkara walaupun agak terlewat boleh dibaratkan sebagai pencapaian positif ASEAN menangani isu Laut China Selatan.

Tidak dinafikan bahawa Beijing telah memainkan peranan dalam kegagalan ASEAN mengeluarkan kenyataan bersama semasa di Phnom Penh dan tidak keterlaluan jika diandaikan konsensus enam perkara pula berjaya dipersetujui kerana tiada penglibatan China.

Lebih menarik adalah apa yang akan terjadi pada Sidang Kemuncak ASEAN bulan November akan datang kerana ia akan dipengerusikan sekali lagi oleh Kemboja dengan kehadiran China.

Sudah pasti konsensus enam perkara akan dibincangkan sekali lagi dan jika Scarborough Shoal tidak dibincangkan tetapi amat nyata UNCLOS bakal menjadi bahan pergeseran.

Lebih panas lagi adalah selepas tamat jawatan pengerusi ASEAN oleh Kemboja, ia akan diikuti oleh Brunei, Myanmar, Malaysia dan Laos. Struktur organisasi ASEAN memberi kuasa yang agak luas kepada pengerusi untuk mewarnakan setiap keputusan yang dibuat seperti yang telah dipamerkan oleh Kemboja.

Seperti mana yang diandaikan Beijing telah berjaya mempengaruhi Kemboja. China dari awal lagi telah mengintai bagaimana untuk meyakinkan keempat-empat bakal pengerusi ASEAN bahawa masalah Laut China Selatan adalah isu bilateral.

Situasi akan datang dijangka menjadi tidak menentu kerana dua negara bakal pengerusi mempunyai pendirian bahawa isu tersebut adalah masalah ASEAN dan tidak boleh diselesaikan secara bilateral.

PENULIS ialah Geostrategis Institut GeoSpatial dan Sekolah Perdana UTM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan