Khamis, 26 Julai 2012

ISU SOSIAL : Pegangan agama perkukuh integriti



Oleh : PROF. DATUK OMAR OSMAN

RAMADAN Al-Mubarak datang bersama keberkatan dan kerahmatan, masa untuk kita bermuhasabah untuk bersama-sama melihat di dalam diri kita terhadap amalan, tabiat dan tingkah laku selama ini dalam menjalani kehidupan seharian. Ini juga masa terbaik untuk menilai sendiri sejauh mana integriti kita dengan diri sendiri dan yang lebih penting dengan Allah SWT yang mempengaruhi apa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Integriti bukan hanya berkait rapat dengan soal rasuah dan wang ringgit, tetapi jauh daripada itu adalah keyakinan terhadap kewujudan Tuhan dan Maha Pencipta yang menjadikan Dia sebagai Hakim paling berkuasa jika percaya ada kehidupan selepas kematian.

Ini juga berkait rapat dengan kepercayaan terhadap lima teras Rukun Islam dan enam teras Rukun Iman yang diajar sejak awal usia bagi umat Islam. Bukan sahaja kepada umat Islam, mereka yang bukan Islam pun mempunyai teras kepercayaan dan hukum karma yang memandang jijik kepada sikap tidak amanah dan menyeleweng dalam apa jua tindakan dan nilai yang ada. Ini juga adalah prinsip Rukun Negara yang pertama, yang harus dipegang teguh untuk menzahirkan kecemerlangan pada semua peringkat.

Ia menjadi titik tolak integriti yang utama dalam membangunkan sesuatu bangsa yang kuat, sesuatu ummah yang boleh membangunkan tamadun hebat, suatu institusi yang dapat digembleng kekuatannya untuk menzahir pencapaian dengan membangunkan masyarakat, nusa dan bangsanya sekali gus berbangga dipercayai dan dipandang tinggi kepada kekuatan akal budi kita sebagai satu bangsa.

Tiga trilogi budi harus menjadi ingatan bersama iaitu sentiasa berbudi bahasa, berbudi pekerti dan sentiasa berbudi bicara. Ikatan budi yang kuat tidak akan berkompromi kepada perlanggaran kepada nilai-nilai integriti dan sentiasa menjadi pertimbangan utama untuk menunaikan amanah. Tiada kompromi terhadap mereka yang menggadaikan maruah keindahan budi.

Perkara ini juga menjadi tanggungjawab semua yang berada di dalam sesebuah organisasi. Seorang pegawai keselamatan yang memberikan senyuman manis tatkala kita mula memasuki premis organisasi yang memberikan kesegaran untuk memulakan hari yang cemerlang. Kita rasa bahagia apabila pegawai keselamatan kita segak bergaya memeriksa kenderaan lalu lalang, membuat pemeriksaan teliti setiap penjuru organisasi, memastikan harta benda terpelihara dan berbangga tiap kali segala apa yang terkandung dalam deskripsi kerjanya terjaga dan ditunaikan dengan sempurna.

Seorang yang bekerja dan menjaga amanah dalam pejabat, datang dan pulang mengikut masa ditetapkan, tidak membawa balik segala aset pejabat untuk melakukan kerja peribadi, tidak membuang masa dengan kerja-kerja tidak berfaedah kepada tugas dan tanggungjawabnya, mengawal, menyelia dan memastikan tanggungjawab yang diberi dilakukan dengan sempurna termasuk melakukan bayaran mengikut prosedur yang ada. Punchcard sama ada manual mahu pun elektronik bukan menjadi punca menepati masa, tetapi hatilah yang mengingatkan bahawa itu adalah amanah yang dipegang dan ditunaikan.

Bagi universiti atau institusi ilmu, seorang pensyarah atau guru menurunkan ilmunya dengan penuh amanah, sentiasa terkehadapan dalam ilmunya, tidak menyalahgunakan peluang, menjaga tatasusila sebagai pengajar dan pelajar, sentiasa berusaha mendidik anak bangsanya dengan cemerlang, tidak mengambil kesempatan terhadap pelajar dan apa jua yang di bawah kawalan dan kelolaannya, bersikap profesional, tidak memandang rendah dan remeh kepada pelajar bermasalah dan banyak lagi yang harus datang dari hatinya untuk mengelakkan daripada bersikap negatif.

Apatah lagi bagi para penyelidik yang memegang geran besar mahu pun kecil, sedar dan tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukannya, menganggap geran sebagai amanah besar, sedar bahawa setiap sen yang dibelanjakan adalah amanah dan memastikan hasilnya menepati apa yang dijanjikan dan memberi faedah dan kesan kepada proses keilmuan.

Manakala pelajar juga memegang amanah besar dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya. Mereka sedar dengan tugas untuk bersama-sama membanteras segala perbuatan tidak bermoral dan melanggar nilai integriti yang ada dalam mencari ilmu, tidak mengambil kesempatan terhadap pensyarah dengan melakukan tindakan yang tidak sewajarnya malah berusaha keras untuk memastikan kejayaan dicapai melalui jalan yang betul dan mengikut laluan yang diredai Tuhan.

Bagi ketua jabatan, tentunya amanah itu jauh lebih besar. Agama berpesan bahawa setiap kita ada pertanggungjawaban yang harus dijawab di akhirat kelak. Setiap pemimpin ada orang yang dipimpin untuk diselesaikan pertanggungjawaban di sana nanti. Sama ada seorang ibu dan ayah, seorang pemimpin masyarakat mahu pun pejabat, seseorang itu ada integriti dan amanah yang dipikul yang harus kita menjawabnya kelak.

Ini adalah antara contoh kecil yang bermula dari diri sendiri. Tentunya ada hal-hal yang lebih besar, tetapi jika kita lupa kepada hal-hal yang kecil ini, lupa terhadap pentingnya memulakan dengan diri sendiri, lupa bahawa Tuhan menyaksikan setiap apa yang ada dalam hati apatah lagi yang ditunjukkan melalui amalan dan tindakan, maka bermulalah segala tragedi yang menyedihkan kita. Alah bisa tegal biasa. Demikian pesanan orang yang harus kita pertimbangkan apabila kita memulakan sesuatu termasuklah perkara-perkara yang bertentangan dengan etika dan moral mahu pun adab dan trilogi budi yang jika dibiarkan boleh bersarang dalam diri seseorang.

Kita harus belajar rasa bersalah dan rasa berdosa yang teramat apabila kita tahu apa yang kita lakukan itu adalah satu dosa. Agama jelas mengajar kita tentang makna dosa - iaitu satu perbuatan yang kita tahu salah dan tidak mahu orang lain lihat kita lakukannya jika ada orang lain melihatnya.

Ramadan ini seharusnya berupaya untuk kita bertekad, mengukuhkan ikrar, bermuhasabah dan sentiasa bertanyakan kepada diri, adakah rezeki yang diperoleh ini sebenarnya mendapat keberkatan, adakah ia berbaloi dengan apa yang dilakukan, adakah daripada sumber yang halal atau mencurigakan atau shubhah. Kita harus menjawabnya dengan ikhlas, jika berpegang kepada prinsip agama, yakin dan percaya terhadap apa yang kita yakini dan ikhlas sayangkan agama, bangsa, institusi dan tanah air kita ini.

Hanya dengan cara itu, seseorang dapat sama-sama mengemudi seluruh kehidupan untuk mencapai kejayaan, malah kegemilangan dengan penuh amanah, tanggungjawab dan berintegriti tinggi dalam membawa negara mencapai negara maju dalam acuan sendiri yang dapat meneruskan kelangsungan tamadun hidup kita.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan