Rabu, 4 Julai 2012

ISU SOSIAL : Kebajikan OKU masih kurang dapat pembelaan


Oleh : Imlan Adabi

SELEPAS ini golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Lembah Klang diharap tidak lagi menghadapi masalah memiliki kenderaan sendiri kerana sudah ada syarikat yang menyediakan khidmat kepada mereka.

Wakil pengedar sah PERODUA, Faresh Motor menyediakan khidmat jualan mesra OKU. Bilik pameran pun sesuai untuk golongan cacat anggota kunjungi. Syarikat dimiliki OKU, Ahmad Faresh Ahmad Zahid mempunyai 23 pekerja dan sudah menjual 120 unit kenderaan PERODUA.

Ahmad Faresh muncul antara OKU berjaya, di samping ramai yang hidup melarat. Golongan yang kekurangan fizikal bukan sekadar memerlukan bantuan dan simpati. Mereka perlukan peluang untuk berdikari dengan bertugas di sektor awam dan swasta, atau menjalankan perniagaan kecil. Sektor kerajaan menyediakan sedikit ruang pekerjaan kepada OKU dalam pelbagai bidang. Namun sektor swasta masih pada tahap yang masih misteri. Tiada angka rasmi yang mendedahkan pembabitan mereka di sektor awam dan swasta.

Media pula kerap menyiarkan penderitaan mereka yang memerlukan bantuan bulanan daripada kerajaan. Apakah imej OKU mesti terpalit kemiskinan? Tentunya gambaran ini aneh bagi masyarakat Malaysia yang dikatakan penyayang dan berbudi bahasa selama 55 tahun merdeka!

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengandaikan 10 peratus daripada penduduk sesebuah negara terdiri daripada OKU. Ini bermakna 2.7 juta rakyat Malaysia mempunyai pelbagai kecacatan, walaupun hanya segelintir yang mendaftarkan diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Usaha menangani isu OKU sudah lama kedengaran tapi hasilnya tidak seberapa. Pada 1981, Malaysia bersama masyarakat dunia turut menganjurkan Tahun Antarabangsa Orang Cacat (TAOC) yang bertujuan menggerakkan usaha menangani masalah OKU. Pelbagai program dianjurkan termasuk baca puisi, panduan nasihat kepada ibu bapa yang mempunyai anak cacat dan gesaan pembabitan sektor swasta menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.

Malangnya usaha membawa OKU ke tengah masyarakat diabaikan. Ungkapan simpati dan bantuan tidak mengubah keadaan. Hasilnya bagai diduga, tidak seberapa!

Sehingga kini pelbagai istilah diguna untuk memberi imej masyarakat prihatin terhadap golongan itu termasuk orang kelainan upaya, orang kurang upaya, insan istimewa, orang cacat dan entah apa lagi.

Namun selepas 31 tahun TAOC, nasib OKU tidak banyak berubah. Kajian menunjukkan lebih 90 peratus OKU mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan. Mereka termasuk dalam kalangan miskin tegar dan sebahagiannya menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Sehingga kini, OKU yang berdaftar di JKM hanya 325,189 orang berbanding 283,512 pada 2010. Pelbagai program kemahiran disediakan sekadar melatih mereka dalam bidang kemahiran. Walaupun ada OKU seperti Siti Huraizah Ruslan yang mempunyai ijazah cemerlang, sikap prejudis sektor swasta menjadi penghalang untuk beliau menyumbangkan bakti. Akhirnya Siti Huraizah terpaksa bertugas di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) yang di luar kepakaran akademiknya.

Pusat pengajian tinggi awam pula bagai tidak mempunyai dasar jelas untuk mengambil OKU melanjutkan pengajian. Kemudahan asas kurang sesuai untuk kegunaan OKU ke dewan kuliah. Tangga tinggi dan laluan bercuram membahayakan mereka.

Ketika masyarakat masih bersuara mengenai OKU, kerajaan menerusi konsep 1Malaysia yang mengutamakan transformasi sosioekonomi wajar mengkaji keperluan OKU pada pelbagai peringkat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan