Oleh : Johardy Ibrahim
Yeaa...Girls Power!" (Kuasa Gadis!) jawab Pandelela Rinong Pang
spontan semasa dinyatakan oleh penyampai stesen radio bahawa beliau adalah
wanita pertama Malaysia merangkul pingat Olimpik. Jawapan comel itu disusuli
dengan ketawa seorang remaja berusia 19 tahun.
Jika tidak kerana penyampai radio
terlalu banyak celoteh, mungkin lebih banyak kata-kata Pandelela yang boleh
didengar. Perbualan yang diringkaskan itu masih berupaya menonjolkan perwatakan
Pandelela. Beliau ternyata gembira dan ceria. Suaranya bergetar dan sentiasa
diselang-seli dengan ketawa kecil. Ini pesona Pandelela disalurkan terus
menerusi radio. Kita yang mendengar turut tersenyum. Bagi kebanyakan kita,
kegembiraan Pandelela itu sememangnya dikongsi beramai-ramai tanpa perlu dijamu
ais krim.
Kejayaan Pandelela ini juga
sekurang-kurangnya mampu mengurangkan gegak-gempita beberapa hari sebelum itu
dalam acara badminton iaitu Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada Lin Dan.
Betapa berat bahu Chong Wei menanggung harapan seluruh negara, maka apabila
beliau menitis air mata di atas podium, ramai yang sebak. Lelaki, perempuan;
Cina, Melayu, India dan semua merasainya.
Ini kerana air mata itu memberi
isyarat jelas bahawa Chong Wei telah berhabis dan berjuang sepenuh tenaga dalam
perlawanan tetapi apakan daya, Lin Dan tetap berkelebihan dua mata di
hadapannya untuk merangkul emas.
Maka penerjunan Pandelela yang diikuti
dengan penuh minat dan tabah (berlangsung sepanjang subuh merangkumi waktu
sahur), adalah penawar lara yang mengembalikan keceriaan. Paling penting, tiada
lagi ahli politik bankrap idea berani mempertikaikan Pandelela seperti yang
dilakukan terhadap Chong Wei walaupun ramai yang mencari identiti sebenar
pemegang akaun Facebook, Johari Pain yang bertaruh akan memotong komponen
penting badannya jika Malaysia menang pingat dalam acara terjun tersebut.
Pingat gangsa Pandelela tidak
akan dinilai lebih rendah daripada pingat perak yang dimenangi Chong Wei,
kerana kedua-duanya adalah pencapaian terbaik Malaysia pada Olimpik 2012 di
London. Mengikut rekod, M. Vasugi adalah wanita Malaysia yang memenangi pingat
Olimpik di Seoul pada 1988 dalam acara taekwando. Namun, ketika itu acara
taekwando adalah bersifat pertunjukan sahaja iaitu kaedah Korea untuk melobi
agar ia dijadikan acara rasmi yang dipertandingkan di Olimpik. Bermakna
Pandelela berhak digelar pemenang wanita pertama Malaysia tapi tidak perlu kita
padam habis pencapaian Vasugi yang juga telah mengharumkan nama negara.
Keupayaan Pandelela meraih pingat
gangsa di temasya Sukan Olimpik 2012 dalam acara platform 10 meter Individu,
amat mengagumkan walaupun bagi yang sudah mengikuti perkembangannya, ia bukan
memeranjatkan.
Ini kerana Pandelela sudah pun
membuktikan keupayaannya di peringkat antarabangsa iaitu tempat keenam dari 24
peserta di Piala Dunia Penerjunan FINA di Beijing pada 2008.
Pada 2009, bersama Leong Mun Yee,
mereka meraih pingat gangsa di kejohanan dunia di Rome dan pada Ogos 2010
Olimpik Remaja di Singapura, Pandelela meraih dua pingat perak.
Dikenali
Tentunya nama Pandelela mula
dikenali ramai ekoran kejayaannya memenangi pingat emas terjun platform 10
meter di Sukan Komanwel di New Delhi, sekali gus menjadi atlet Malaysia pertama
memenangi emas dalam acara itu.
Barang harus diingat, penyertaan
seseorang atlet dalam sukan Olimpik bukan secara automatik. Sebaliknya ia adalah
berdasarkan ranking dan pencapaian sebelum itu, yang hanya melayakkan atlet
yang benar-benar berkelas dunia. Pandelela meraih tempatnya setelah menduduki
tempat keempat di Kejohanan Akuatik Dunia di Shanghai pada Julai lalu, dibantu
oleh pencapaiannya di Sukan Komanwel.
Bagi mereka yang telah
mempersoalkan kewajaran anugerah Olahragawati Kebangsaan 2012 yang dimenanginya
pada April lalu, atau mempertikai kenapa beliau dipilih membawa bendera semasa
perarakan kontinjen Malaysia di Stadium Olimpik London, maka pingat gangsa
inilah jawapannya!
Satu aspek yang luar biasa ialah
asal usul Pandelela sebelum bergelar atlet. Berketurunan Bidayuh dengan
keluarganya berasal dari Bau (sebut Ba-uk), daerah ini bukan di pedalaman
tetapi sekadar 24 kilometer dari pusat bandar raya Kuching. Bau kini lebih
dikenali sebagai laluan menuju ke pasar sempadan Serikin.
Mengikut rekod, bakat Pandelela
dikesan oleh jurulatih negeri semasa di bangku sekolah. Difahamkan kriteria
khusus yang perlu ada pada seorang atlet penerjun air ialah badan bersaiz kecil
(untuk gusti harus berbadan sasa?).
Luar biasa yang saya maksudkan
ialah sikap keterbukaan ibu bapa Pandelela iaitu Pamg Joheng dan Hartini Lamin
untuk melepaskan anak perempuan mereka berkecimpung secara serius dalam bidang
sukan. Mereka yakin masa depan Pandelela dijaga sepenuhnya oleh kerajaan, yang
menyediakan peluang pendidikan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, selain berlatih
dan bertarung di seluruh dunia.
Keluarga Pandelela bukannya sedia
kala senang. Menurut Ketua Biro Utusan Malaysia di Kuching, Saiful Haizan
Hasam, bapa Pandelela iaitu Pamg hanyalah buruh kasar dan menyewa rumah di
Samarahan sebanyak RM600 sebulan yang didiami Pandelela bersama tiga lagi adik
beradiknya. Beberapa ketika ini, majikannya tiada projek menyebabkan Pamg tidak
dipanggil bekerja. Menganggurlah dia sejak itu. Untuk menonton aksi anaknya,
Pamg menonton saluran RTM kerana langganan Astronya telah dipotong.
Benar sebagai pemenang pingat
gangsa, Pandelela bakal menerima hadiah RM100,000 dari Kerajaan Pusat dan
kerajaan Sarawak mungkin menganugerahkan tanah. Ia akan dinikmati selepas
bersusah-payah. Pengorbanan yang dilalui keluarga Pandelela belum ramai yang
sanggup lakukan. Ini kerana ramai yang menganggap bidang akademik lebih
menjamin masa depan anak. Moga kejayaan Pandelela dan keyakinan ibu bapanya
boleh membantu mengubah persepsi rakyat Malaysia. Atlet berwibawa harus
dibentuk dari peringkat usia muda lagi.
Satu aspek lagi ialah sistem
pembinaan atlet di Malaysia tidaklah seburuk yang ditohmahkan oleh pengkritik.
Penemuan bakat-bakat muda seperti Pandelela dan Bryan Nickson Lomas di Sarawak
yang kemudian muncul sebagai atlet negara, adalah manifestasi kekukuhan sistem
tersebut. Tidak perlu tukar kerajaan untuk atlet kita meraih pingat emas.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan