Oleh : Dzulkifli Abdul Razak
Kebelakangan ini kita sering
terbaca bagaimana sukarnya untuk mengendalikan sesebuah universiti, khususnya
yang bukan ditaja Kementerian Pengajian Tinggi. Soal utama sudah tentu
bersangkutan dengan hal kewangan kerana secara lazimnya sesebuah universiti itu
adalah satu pelaburan yang besar dan hanya mendatangkan ‘pulangan’ dalam masa
yang agak lama.
Berbeza dengan perniagaan lain,
umpamanya dari aspek pembuatan, pendidikan (walau ingin dianggap sebagai
perniagaan) tidak dapat disamakan daripada kefahaman untung rugi bagi sesebuah
perniagaan.
Bayangkan saja selain daripada
pelaburan untuk membangunkan hal ehwal akademik, universiti terpaksa juga
melabur mengenai pembangunan hal-ehwal pelajar termasuk prasarana seperti
tempat rehat mereka, jika tidak asrama, tempat beriadah dan bersukan, mahupun
segala peralatan yang sesuai kerana ini semua termasuk dalam pengertian
pendidikan sebenarnya.
Sekiranya aspek penyelidikan
diambil kira untuk sebuah universiti yang dianggap baik, ini akan menelan kos
tambahan yang banyak.
Hatta tanpa keupayaan menanggung
pembiayaan secara berterusan kekangan kewangan sudah tentu menjadi penghalang
besar bukan saja untuk mencemerlangkan sesebuah institusi itu tetapi baik
setakat untuk bernafas lega sekali pun.
Oleh sebab itu jugalah di merata
dunia kini, termasuk negara ekonomi kaya sekalipun, yuran pengajian anak
tempatan ditingkatkan berlipat kali ganda. Contoh yang jelas ialah apa yang
berlaku di Britain sejak kebelakangan ini apabila yuran dinaikkan hampir tiga
kali ganda mencecah £9,000.
Bezanya di Malaysia adalah
rata-rata yuran pengajian dikawal oleh kerajaan menerusi kementerian dan tidak
boleh ditingkatkan sewenang-wenangnya. Oleh itu, di Malaysia yuran pengajian
secara umumnya tidak dapat dijadikan sumber utama pendapatan untuk tujuan
menampung pembangunan universiti keseluruhannya.
Perkara ini menjadi lebih rumit
lagi sekiranya diambil kira aspek autonomi yang memberi kebebasan kepada
universiti untuk memimpin, mengurus dan mentadbir mengikut matlamat dan
falsafah masing-masing.
Universiti swasta, misalnya boleh
menentukan kadar yuran sendiri kerana daya pasaran mampu mendukungnya atau
mengadakan pelbagai program berbentuk komersial bagi tujuan menampung
pembiayaan universiti berkenaan.
Itu belum lagi mengambil kira
perubahan mendadak yang berlaku kepada pengajian tinggi di seluruh dunia,
termasuk penggunaan teknologi canggih untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Malah kepelbagaian kini dikatakan
sebagai tonggak penting mendapatkan pengalaman untuk pengajian tinggi. Ia
bermaksud keupayaan menampung pembiayaan seumpama ini juga diperlukan sekiranya
universiti berkenaan mahu menarik minat pelajar mendaftar untuk mengikuti
programnya.
Pendek kata, pembiayaan akan jadi
lebih meruncing, terutama apabila program pertukaran itu membabitkan negara
maju dengan kos sara hidup yang lebih tinggi. Memandangkan semua ini ramai
pakar pendidikan mengatakan bahawa untuk menguruskan sesebuah universiti bukan
semudah dijangka. Malah ada yang menganggap bahawa universiti adalah
satu-satunya organisasi sukar untuk diurus.
Urus tadbir korporat atau
perniagaan yang sering dikenakan kepada universiti rata-rata tidak sesuai jika
diambil kira pandangan alam sesebuah universiti sebagai satu institusi yang
mementingkan kemakmuran negara dan masyarakat mendahului kepentingan lain.
Dalam hal ini, universiti
mempunyai aspirasi tinggi sebagai institusi yang pasrah mencari kebenaran
bersumberkan ilmu pengetahuan, sambil warganya berazam mempertahankan kebenaran
sepenuh jiwa raga sebagai ilmuwan.
Pertimbangan seumpama inilah yang
membuatkan universiti itu begitu sukar diurus tanpa berkompromi dengan soal
pokok yang mutlak bagi perkembangan ilmu. Ini menjadi semakin rumit jika
kefahaman pendidikan diselewengkan pula oleh pihak lain sebagai satu komoditi
yang boleh diperdagangkan untuk menampung perjalanan universiti berkenaan,
sekali gus menggadaikan apa itu ‘kebenaran’ serta nilai yang berkaitan dengannya.
Umumnya universiti yang cenderung
kepada mencari keuntungan mendahului soal kebenaran sudah hilang sifat dan
fungsinya sebagai sebuah universiti yang hakiki.
Penulis ialah Naib Canselor
Universiti Antarabangsa Albukhary dan bekas Naib Canselor USM (2000-2011)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan