Sabtu, 6 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Jangan abaikan kokurikulum



Oleh : SALEHUDIN MAT RASAD

KUANTAN 5 Okt. - Pentadbiran sekolah diingatkan supaya komited memperkasakan aktiviti kokurikulum yang merupakan medium penting untuk membentuk sahsiah pelajar agar menjadi insan patriotik, berketerampilan dan bersyukur.

Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran, Muhamad Roli Hassan berkata, sebab itu pihaknya memandang serius jika terdapat sekolah yang mengabaikan aktiviti kokurikulum sebaliknya tertumpu kepada akademik semata-mata.

''Perkembangan sahsiah yang positif dalam kalangan pelajar memerlukan pembabitan dua komponen seiring iaitu aspek akademik dan kokurikulum.

''Sehubungan itu, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah telah diarahkan untuk membuat pemantauan di kawasan pentadbiran masing-masing bagi memastikan pelaksanaan program kokurikulum ini dipatuhi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengarah Pelajaran negeri, Yahya Zainal Abidin pada majlis penutup Karnival Pendidikan Luar Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2012 membabitkan 274 pelajar di Pusat Kokurikulum Sultan Haji Ahmad Shah dekat sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Raauf Jali, Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran, Norazmah Mohd. Yunus dan Ketua Unit Pusat Kokurikulum Sultan Haji Ahmad Shah, Muhamad Sapiee Meon.

Menurut beliau, karnival seperti itu memberi peluang kepada para remaja merasai dan mengalami sendiri aktiviti pendidikan luar kelas secara terancang sekali gus memupuk nilai-nilai murni.

''Pendidikan luar sekolah adalah pembelajaran yang berlaku di luar bilik darjah yang melibatkan asuhan jasmani, emosi, rohani dan intelektual," katanya.

Menurut beliau, aktiviti yang disertai pelajar berbilang kaum dapat memupuk semangat muhibah, perpaduan dan persefahaman yang secara langsung dapat menjayakan hasrat 1Malaysia.

Katanya, kegiatan kokurikulum dan aktiviti pendidikan luar sekolah tidak sia-sia kerana 10 peratus markah diambil kira untuk kemasukan ke universiti tempatan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan