Jumaat, 5 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : 10,715 graduan guru diberi penempatan


KUALA LUMPUR 5 Okt. - Sebanyak 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan yang telah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini, boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan akan memberi mereka penempatan pada tahun depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka masa panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelantikan itu tertakluk pada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan berjaya dalam temu duga dikendalikan suruhanjaya itu.

"Sehubungan itu, graduan pendidikan keluaran IPG dan IPTA yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang menamatkan pengajian pada 2012 akan dilantik ke jawatan PPPS.

"Mengikut rekod Kementerian Pelajaran, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, sebanyak 2,960 graduan telah dikenal pasti menamatkan pengajian mereka sebelum 1 Julai 2012 dan telah dijadualkan untuk ditemu duga oleh SPP.

Pecahan mereka adalah seperti berikut:

* Seramai 2,478 orang daripada program Jawi, al- Quran, Arab dan Fardu Ain (j-Qaf);

* Sejumlah 368 orang daripada program Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL);

* Sebanyak 90 orang daripada program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) IPG dan IPTA, termasuk mereka daripada Program Pelajar Cemerlang (PPC);

* Seramai 14 orang daripada program Bahasa Perancis

* Sejumlah 10 orang calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.

Muhyiddin menjelaskan, sementara SPP menyelesaikan urusan temu duga, kementerian akan membuat penempatan secara interim bagi kumpulan berkenaan mulai 16 Oktober ini manakala pelantikan tetap adalah tertakluk pada keputusan temu duga oleh suruhanjaya itu.

Bagi kumpulan yang akan menamatkan pengajian mereka selepas Jun 2012 iaitu seramai 7,755 orang, ujarnya, mereka perlu mengemukakan permohonan untuk pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 kepada SPP supaya penjadualan temu duga dapat disegerakan.

"Penempatan mereka yang lulus temu duga SPP akan dibuat pada 2013.

"Kepada mereka yang berjaya dan akan dilantik sebagai pendidik kelak, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi," kata beliau.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan