Jumaat, 5 Oktober 2012

ISU PENGAJIAN TINGGI : Kebolehpasaran Graduan Harus Langkaui Sempadan Geografi


PUTRAJAYA : Kebolehpasaran graduan yang dilahirkan oleh universiti tempatan harus melangkaui sempadan geografi kerana pasaran pada hari ini memerlukan pekerja yang memiliki pelbagai bakat dan kebolehan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kebolehdapatan kerja graduan tempatan seharusnya tinggi di semua negara Islam.

Beliau berkata demikian pada perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Global Arab-Malaysia 2012 di sini, pada Khamis.

Mohamed Khaled berharap pelbagai amalan terbaik akademik setiap universiti dapat dikongsi, diterima pakai dan dipindahkan menerusi persidangan dua hari itu.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa.

Persidangan itu bertujuan mewujudkan platform bagi ketua-ketua universiti dari dunia Arab dan Malaysia mengadakan perbincangan  antara tokoh akademik dan pihak berkuasa dalam bidang pendidikan tinggi.

Persidangan tersebut dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dan Persatuan Universiti-Universiti Arab (AArU).

Pada majlis itu, USIM dan 16 universiti Arab menandatangani memorandum persefahaman bagi menerokai perkongsian ilmu dan pengalaman, penyelidikan saintitifik dan program pertukaran staf.

Sumber : BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan