Selasa, 23 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Dipersembah Kepada Majlis Raja-Raja


KUALA LUMPUR : Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang lengkap, akan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat restu peringkat tertinggi itu, bagi pelaksanaannya yang berupaya membawa anjakan besar terhadap sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menghargai cadangan dan pandangan yang dikemukakan Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah itu kerana semua pihak termasuk peringkat tertinggi yang menanungi rakyat perlu terlibat secara langsung dalam pelan itu.

"Saya hargai cadangan baginda. Harapan kita agar Raja-Raja memberi perkanan kepada pelan ini. Kita akan buat satu persembahan kepada Raja-Raja kalau itu diperkenankan nanti untuk taklimat mengenai apakah yang terkandung dalam PPPM yang disediakan ini," katanya di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Cemerlang Malaysia 2012 'Pendidikan di Malaysia Melangkaui 2020' dan menyampaikan watikah pelantikan pengetua cemerlang baharu kepada 112 penerima.

Ketika merasmikan konvensyen itu semalam, Raja Dr Nazrin menyarankan supaya kerajaan mengemukakan PPPM pada Persidangan Majlis Raja-Raja agar ia mendapat perkenan sebelum dilaksanakan nanti.

"Bagaimanapun, sama ada ia dijadikan sebahagian manifesto atau tidak, dokumen itu akan tetap menjadi dokumen awam dan kita akan laksanakan untuk kepentingan negara. Ia akan bermula pada 2013 dan kita tidak boleh simpan terlalu lama," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai MCA yang menolak cadangan di dalam PPPM untuk melaksanakan kurikulum Bahasa Melayu yang sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Muhyiddin berkata MCA perlu meneliti cadangan yang terkandung di dalam pelan itu.

Pelaksanaannya bermula dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014. Ia membawa kebaikan kepada pelajar berbangsa Cina dalam meningkatkan tahap penguasaan Bahasa Melayu, katanya.

"Saya terima laporan daripada MCA, kalau mereka tidak setuju kita akan ikut pandangan mereka, tengok dulu kandungan (cadangan itu), jika susah bagi mereka, maka okay, kita akan teruskan dengan kelas peralihan.

"Jika mereka masih tidak mahu, okay juga, kita tidak paksa jika mereka mahuanak mereka kurang menguasai Bahasa Melayu, bukan ada niat politik tetapi kitamahu anak-anak Cina baik Bahasa Melayu mereka seperti orang Melayu," katabeliau.

Muhyiddin berkata cadangan itu adalah untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu tanpa menjejaskan bahasa ibunda murid-murid di SJKC dan SJK Tamil kerana pencapaian Bahasa Melayu di antara SK dan SJK agak jauh.

Beliau berkata sekiranya ia dapat dicapai, murid itu tidak perlu lagike kelas peralihan selama setahun dan ia dapat menjimatkan masa.

"Cadangan kita ialah masuk ke darjah empat, lima dan enam kita akan tingkatkan standard Bahasa Melayu, berikan latihan yang lebih baik supaya setanding. Ada istilah yang digunakan di SK ada tetapi SJK tak ada. Jadi kita akan tingkatkan dari segi perkataan dan tatabahasa," katanya.

Mengenai anjakan kelima di dalam PPPM bahawa pengetua dan guru besar cemerlang akan ditempatkan di sekolah-sekolah luar bandar dan kawasan miskin bandar bagi meningkatkan prestasi sekolah, beliau berkata ia bagi menguji kecemerlangan selain memberikan cabaran kepada mereka sama ada mereka mampu melakukannya atau tidak.

"Saya percaya mereka kompeten, ia adil, jangan pengetua terbaik ke sekolah terbaik, kita nak uji kecemerlangan mereka dan hantar mereka ke sekolah yang kurang cemerlang dan lihat sama ada mereka boleh menjadikan sekolah itu lebih baik atau tidak," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan