Selasa, 23 Oktober 2012

ISU SOSIAL : Berintegritikah rakyat Malaysia?


Oleh : Akhbar Satar

Strategi atasi masalah ketelusan perlu dicari

Beberapa hari selepas peristiwa 11 September 2001 di World Trade Center, seorang anggota bomba New York menemui sebuah bekas habuk rokok yang mempunyai logo sebuah syarikat di bawah runtuhan bangunan. Beliau terus mengembalikannya kepada tuan punya. Ia mendapat liputan meluas di Amerika Syarikat.

Di Los Angeles, seorang pemandu teksi, Adam Woldemarim diberikan ganjaran sebanyak AS$2,000 (RM6,148) oleh pemilik wang tunai berjumlah AS$221,510 (RM680,927) selepas wang yang disimpan di dalam sebuah beg komputer riba tertinggal di dalam teksinya.

Sementara di Thailand, seorang pemandu teksi memulangkan 8.2 kilogram perhiasan emas bernilai AS$410,000 (RM1.2 juta) kepada pemiliknya selepas tertinggal di dalam teksinya. Pemilik wang memberikan pemandu teksi itu emas bernilai AS$6,400 (RM19,200) sebagai ganjaran. Semua insiden ini membabitkan integriti seseorang yang patut dicontohi dan diamalkan.

Penulis cuba mencari maklumat seperti ini di Malaysia malangnya, tiada dan kalau adapun hanya membabitkan nilai yang kecil.

Jika kita merujuk kamus dwibahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), integriti bermaksud kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Integriti dipengaruhi oleh faktor sekeliling dan adalah garis panduan, penanda aras, titik rujukan atau matlamat yang digunakan untuk membuat keputusan yang bergantung kepada ketepatan dan kejujuran. Oleh yang demikian, penghayatan integriti juga adalah sejajar tuntutan Islam yang mengajar umatnya supaya menghayati akhlak mulia seperti diperjuangkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Isu integriti bukan hanya rasuah

Perlu kita ingat, isu integriti bukan hanya berfokus kepada isu rasuah, malah ia adalah konsep yang lebih besar. Amalan budaya kerja menuntut integriti merangkumi ketepatan waktu, kerahsiaan dan penyampaian maklumat, memberi perkhidmatan, perhubungan dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan sebagainya.

Jika diteliti lebih mendalam, kita dapati seseorang yang terbabit dalam rasuah, penipuan atau jenayah, biasanya bermula daripada perbuatan tidak berintegriti dalam isu kecil. Orang yang tidak berintegriti membolehkan mereka terjerumus dalam kes lebih besar seperti rasuah, pecah amanah, menipu atau menggelapkan wang syarikat.

Bayangkan seseorang pekerja yang menunjukkan mereka berkerja keras di depan bosnya, tetapi apabila bos tiada, akan menghilang atau tidak berada di tempat masing-masing. Ada dalam kalangan bos pula yang menyalahgunakan masa untuk membuat kerja peribadi. Kepemimpinan sepatutnya melalui teladan.

Setiap pekerja haruslah bergerak di atas landasan yang betul sebagai prasyarat bagi menjayakan budaya kerja cemerlang, mempunyai komitmen, memiliki kesedaran kualiti, bersedia menerima perubahan dan tiada batasan masa untuk cemerlang. Kerja yang hendak dilaksanakan perlu dilakukan dengan sepenuh hati atas mengikut kehendak organisasi dan mengetepikan kepentingan lain khususnya kepentingan peribadi.

Di luar negara, tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU) digunakan oleh orang yang berhak saja dan perkara ini jarang berlaku di negara kita. Seseorang boleh membeli akhbar yang disediakan di tempat awam dengan memasukkan wang ke dalam peti yang disediakan dan mereka hanya mengambil senaskhah surat khabar.

Ramai yang tak berintegriti

Penulis berpendapat cara ini masih tidak boleh dilaksanakan di sini kerana kemungkinan pembeli mengambil lebih daripada satu naskhah adalah besar. Sebagai contoh surat khabar yang diedarkan secara percuma, masih ada orang yang mengambil lebih daripada satu naskhah, padahal mereka perlu senaskhah saja untuk dibaca. Perkara ini berlaku kerana mereka tidak berintegriti.

Justeru, penulis berharap pemberian baucar RM250 kepada pelajar kolej untuk membeli buku, tidak disalahgunakan dengan membeli barangan lain dan mengambil resit palsu daripada kedai tertentu. Integriti tidak hanya perlu dimiliki oleh penerima baucar, tetapi juga oleh pemilik kedai buku. Begitu juga dengan pemberian RM200 kepada remaja yang tidak bekerja, pemantauan sebaik baiknya perlu dilakukan agar ia tidak disalahgunakan untuk membeli barangan yang tidak berfaedah atau disalahgunakan oleh penagih dadah.

Cari kaedah terbaik

Pihak berwajib perlu mencari strategi bagi mengatasi masalah integriti. Sekadar memberi ceramah, penulis rasa ia kurang berkesan dan tidak lagi relevan pada masa kini. Kaedah terbaik dan sesuai perlu dicari untuk menerapkan nilai murni terutama kepada generasi Y yang mempunyai fikiran yang berbeza dengan generasi sebelumnya, memandangkan golongan inilah yang akan menjadi peneraju negara pada masa akan datang.

Bagaimanapun, kita perlu ingat sebaik mana pun sistem yang diwujudkan, jika orang yang melaksanakan sistem itu tidak berintegriti, sistem tidak akan dapat berfungsi dengan baik.

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen