Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed
Ismail
Tiga laluan strategik bina jalur pembelajaran
Apabila menamatkan alam persekolahan, kita bayangkan berakhirnya ‘dunia
buku dan belajar dan ‘merdeka’ daripada dunia itu.
Legakan perasaan pelajar
Dari satu perspektif, ia baik kerana melegakan perasaan pelajar dan graduan
selepas sekian lama berulit dengan buku, kertas kerja dan peperiksaan.
Tetapi dari sudut lain pula, ia menanamkan kefahaman bahawa belajar cuma
berlaku di alam berkenaan dan untuk mendapatkan sijil kelulusan saja.
Apabila masuk ke alam pekerjaan, minat belajar terus pudar dan perbincangan berkaitan
dengannya tidak lagi menjadi tumpuan.
Pemahaman inilah yang perlu diperbetulkan kerana belajar tiada had masa dan
tempoh. Sebenarnya semakin kita belajar semakin banyak yang kita tidak ketahui.
Menurut Sayyid Qutb dalam Tafsirnya Fi Zilal al-Quran, ilmu Allah itu tidak
terbatas luasnya dan tidak mampu dijangkau semuanya oleh manusia. Oleh itu,
hendaklah kita tidak bersikap sombong dengan sentiasa ingin mendalaminya. Apa
saja yang boleh membawa kebaikan dan kesejahteraan perlu dipelajari sama ada
secara formal atau tidak kerana ia adalah tuntutan Islam.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tuntutlah ilmu dari buaian sehinggalah ke
liang lahad”, jelas menunjukkan Islam menyarankan pembelajaran sepanjang hayat.
Tiga laluan strategik
Saya mahu berkongsi tiga laluan strategik dalam membina jalur pembelajaran
sepanjang hayat (PSH) yang boleh dilaksanakan dalam setiap aspek kehidupan
termasuklah dunia kerjaya.
Pertama, tentukan matlamat yang ingin dicapai dalam kerjaya. Dengan matlamat kerja
yang jelas dan berasaskan pencapaian yang tinggi, pekerja akan berusaha
mempelajari kaedah dan kemahiran untuk mencapainya.
Di sinilah laluan pembelajaran secara formal seperti mengikuti kursus,
bengkel dan ceramah atau secara tidak formal melalui pembacaan, perkongsian
pengalaman, perbincangan dan pandangan daripada rakan dan pakar diperoleh.
Kerja bersandarkan nasib dan tidak berdasarkan pengetahuan, amat dibenci
dalam Islam. Ibarat pepatah Melayu, "untung sabut timbul, untung batu
tenggelam”. Matlamat dapat mengelakkan kerja yang dilakukan menjadi sia-sia,
merugikan serta tidak diketahui arah tuju haluannya.
Matlamat kerja
Penentuan matlamat kerja sangat penting dalam Islam kerana ia juga
menentukan kedudukan kita di sisi Allah SWT.
Justeru itulah kita disunatkan untuk berdoa: “Ya Tuhan Kami kurniakanlah
bagi kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat serta jauhkanlah kami
daripada seksaan api neraka”.
Kedua, laluan pembelajaran sepanjang hayat juga boleh berlaku melalui usaha
memupuk keseronokan bekerja.
Keseronokan bekerja bukan sekadar untuk menjamin penghasilannya, tetapi di
sepanjang usaha itu banyak pengetahuan boleh dipelajari kadangkala tanpa
disedari.
Contohnya, untuk menimbulkan keseronokan, seseorang pekerja atau majikan
akan mengenal pasti perkara yang boleh menimbulkan minat dan mengelakkan
kebosanan seperti mewujudkan suasana persekitaran bilik atau dekorasi dan susun
atur perabot dalam ruang pejabat yang bersih, cantik dan kemas.
Usaha mengenal pasti bahan, kualiti perabot dan dekorasi pejabat untuk
tujuan membuka ruang pengetahuan yang lain pula daripada bidang kerja.
Ketiga, menghargai pandangan rakan, majikan dan pelanggan dan belajar daripada
kejayaan dan kegagalan orang lain. Ia adalah laluan percuma untuk pekerja
mempelajari sesuatu yang baik. Ia boleh diperoleh sama ada melalui mesyuarat,
perbincangan meja bulat mahupun aduan dan maklum balas.
Malah, kesanggupan untuk belajar daripada kesilapan adalah guru yang paling
efektif. Sabda Rasulullah SAW “Kamu lebih mengetahui urusan duniamu”. (Riwayat
Muslim).
Kejayaan orang lain seperti kemampuan membuat keputusan yang tepat, inovasi
dan idea kreatif adalah contoh yang boleh dipelajari asalkan ia diperoleh
dengan cara yang benar dan halal.
Justeru, sama ada disedari atau tidak, ketiga-tiga faktor ini mampu menjadi
tapak dan membuka laluan menimba pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang
bermanfaat untuk merealisasikan pembelajaran sepanjang hayat di tempat kerja.
Setiap yang berlaku dalam kehidupan itu tiada yang sia-sia, penuh hikmah
dan mampu menjadi wasilah untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Cuma
bergantung sejauh mana kita mengamati, menghayati dan menerimanya sebagai input
untuk memberi pelajaran dan pengajaran.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan