ORANG lain biasanya nampak
kekurangan dan kelemahan diri kita yang kita sendiri mungkin tidak
menyedarinya. Di sinilah perlunya memiliki sifat berlapang dada. Dengan saling
menasihati maka kita akan lebih maju, cemerlang dan terbuka kepada perubahan.
Masalah timbul apabila seseorang
itu sukar untuk dinasihati. Ada yang masam mencuka, ada yang marahkan kita
semula dan ada yang menyindir dengan kata-kata menyakitkan hati. Akibatnya,
ramai yang ambil langkah selamat dan membiarkan sahaja si Luncai terjun dengan
labu-labunya. Namun, membiarkan orang itu begitu sahaja bukanlah satu langkah
bijak kerana ada ketikanya apa yang dilakukan olehnya itu memberi kesan kepada
orang sekeliling. Misalnya, kalau seorang pekerja di sebuah organisasi suka
menipu, maka membiarkan dia begitu sahaja akan memburukkan imej organisasi itu
sendiri. Oleh itu dia perlu dinasihati. Malah jika dia ingkar, sesuatu tindakan
perlu diambil.
Berikut beberapa langkah yang
boleh difikirkan apabila kita cuba menasihati orang lain.
Nasihatkan sahaja dan usah risau
sama ada ia diterima atau tidak. Apabila menasihati seseorang, kita bukannya
mahu menunjukkan yang kita ini lebih baik. Sebaliknya tujuannya hanya satu,
iaitu membantu orang itu agar menjadi lebih baik dan cemerlang. Keikhlasan
adalah elemen penting apabila menasihati orang. Apabila kita menasihati
daripada hati, ia juga akan sampai ke hati. Usah terlalu fikirkan sama ada
nasihat kita itu diterima atau tidak sebab yang memberikan hidayah itu Allah.
Tugas kita menyampaikan sahaja.
Apabila menasihati, nyatakan
sahaja perkara betul yang perlu dilakukan tanpa perlu menyebut apa kesalahan,
kekurangan atau keburukan orang itu. Misalnya, apabila seseorang itu sering
bercakap bohong maka tidak perlu ulas tentang cakap bohongnya itu. Sebaliknya,
jelaskan sahaja padanya yang kita lebih suka jika dia bersifat berterus terang
dan berkata benar.
Pilihlah masa yang sesuai apabila
memberikan nasihat. Masa yang paling sesuai adalah ketika kesalahan atau
kesilapan itu berlaku. Namun, jika ia berkaitan dengan perangai buruk maka
pilihlah waktu orang itu dalam keadaan tenang dan bersedia. Jelaskan dahulu
bahawa ada sesuatu perkara penting yang kita mahu sampaikan, itu pun jika dia
mahu mendengarnya. Kita tidak mahu niat baik disalah tafsir lalu merenggangkan
hubungan.
Semak semula cara kita
menasihati. Mungkin pemilihan perkataan atau cara penyampaiannya salah. Ada
ketikanya seseorang itu tidak boleh menerima nasihat yang diberikan kerana cara
penyampaian kita seolah-olah mengaibkan, memburukkan, mencari salah dan
menunjukkan kita ini bagus. Mungkin juga intonasi suara yang digunakan kurang
sesuai atau pemilihan kata-kata agak kasar atau bersifat menyerang. Sebab
itulah penting bagi kita membina hubungan baik (rapport) terlebih dahulu
sebelum menasihati. Usah main terjah sahaja.
Betulkan diri kita dahulu sebab
orang lebih percaya apabila kita boleh dicontohi dan dipercayai. Kadang kala
kita ini bagaikan ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sebelum
menasihati orang lain, nasihatlah diri sendiri dahulu. Malah sepanjang proses
menasihati seseorang itu juga kita perlu sentiasa cermin diri sendiri. Sebab
ketika menasihati itu, mungkin datang idea atau ilham yang boleh kita
manfaatkan sama.
Kita juga perlu belajar menerima
nasihat, baru dia tahu yang kita ikhlas. Usah jadi orang yang sekadar pandai
menasihati tetapi tidak pandai menerima nasihat. Nasihat menasihati adalah
proses dua hala. Hari ini kita nasihatkan dia, esok dia pula nasihatkan kita.
Sikap saling menasihati dan berlapang dada sebegini akan mewujudkan suasana
yang harmoni serta membina semangat kerja berpasukan yang tinggi. Sebab asas
kepada kekuatan ummah itu adalah saling mempercayai. Apabila kita menasihati
orang lain dan dalam masa yang sama boleh pula menerima nasihat maka ia
menyuburkan sikap saling mempercayai dan saling memerlukan antara satu sama
lain.
Rajin tingkatkan ilmu sebab orang
suka berkawan dengan orang yang ada ilmu. Mereka akan lebih hormat pada kita
dan itu kelebihan yang boleh kita manfaatkan bagi kebaikannya juga. Semua orang
sayangkan orang yang mempunyai pengalaman, berilmu dan memiliki kemahiran yang
tinggi. Orang seperti ini sentiasa diminta pendapatnya dan dijadikan pakar
rujuk dalam sesuatu perkara. Oleh itu, kita perlu tingkatkan kualiti diri dalam
aspek ketinggian ilmu agar dengan kuasa ilmu yang ada maka bolehlah kita
mempengaruhi dan mendorong orang lain ke arah kebaikan.
Kasihanilah orang itu dan
doakannya. Kalau orang itu tahu apa yang kita tahu maka dia tidak akan lakukan
apa yang kita tidak lakukan. Tetapi disebabkan kejahilannya, atau kedangkalan
fikirannya, maka dia melakukan sesuatu yang merosakkan diri dan masa depannya.
Apabila telah dinasihati tetapi dia tidak mahu menuruti maka tiada apa lagi
yang boleh kita lakukan kecuali kasihankannya dan doakan agar Allah berikannya
petunjuk dan hidayah. Kerana selemah-lemah iman ialah orang yang membenci dalam
hati akan satu perbuatan yang keji. Namun, yang dikeji itu adalah perangai atau
sikapnya bukanlah orangnya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan