Sabtu, 29 September 2012

ISU SOSIAL : Keruntuhan moral: Di manakah salahnya?


Oleh : DR ISMAIL IBRAHIM

Perbuatan warga kita melanggar undang-undang trafik   adalah merupakan soal moral yang kelihatan mulai terhakis dengan seriusnya di negara kita. Kita jangan menganggap bahawa melanggar undang-undang trafik atau lalu lintas itu satu perkara kecil yang tidak termasuk dalam perlanggaran moral atau akhlak yang baik kerana daripada melanggar peraturan lalu lintas inilah membawa seseorang itu kepada persediaannya untuk melanggar peraturan dan undang-undang yang lain, seperti peraturan dan adab menghormati  harta benda orang lain, maruah orang lain, kehormatan anak gadis dan wanita-wanita lain, hinggalah kepada menghormati nyawa orang dan seribu satu masalah lain lagi yang sering dilanggar dan dicabuli di dalam masyrakat kita pada hari ini.

Ketua Pengarah JPJ  pada 26 September yang lalu memberitahu media bahawa sistem pemasangan kamera untuk mengawasi lalu lintas dan menangkap pesalah lalu lintas telah dilaksanakan untuk mendidik para pengguna jalan raya supaya sentiasa mengikut peraturan. Pemasangan kamera tersebut  dapat mengurangkan kemalangan kepada diri para pengguna jalan raya itu sendiri dan orang-orang lain yang  tidak berdosa  akibat  kecuaian para pengguna lalu lintas yang tidak bermoral dan tidak patuh kepada undang-undang.

Ketua Pengarah JPJ itu menjelaskan bahawa dalam masa dua hari sahaja sistem kamera itu dipasangkan hanya di beberapa tempat tertentu sahaja yang sering mengalami kemalangan serius di Perak, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Daripada 2,952 pesalah yang telah dikesan dengan kamera itu, 809 kerana memandu laju melebihi had laju yang telah ditetepkan dan 2,143 kerana melanggar lampu isyarat. Itu baru dua hari, dan tidak pula meliputi seluruh negara, dan itu pun telah terdapat  tanda amaran kepada para pengguna jalan raya yang memberitahu bahawa di hadapan terdapat kamera dalam sistem kamera Automated Enforcement System (AES)! Jadi semua pemandu telah tahu bahawa di hadapan terdapat kamera yang akan menangkap mereka yang buat salah!

Kita jangan ingat bahawa perkara ini perkara kecil, apa sangat melanggar lampu isyarat, atau memandu laju, kerana yang harus kita ingat ialah prinsip manusia ini yang seharusnya hidup berperaturan, beradab, mentaati undang-undang, malah yang penting sekali ialah hidup berdisiplin dan berkelakuan yang menunjukkan bahawa manusia ini haruslah bertamadun dan berperadaban, malah agama kita sendiri mengajar kita berperaturan dalam sembahyang, puasa dan sebagainya, budaya kita juga mengajar kita beradab dalam makan minum dan bergaul dengan orang tua serta ibu bapa dan anggota masyarakat umum, malah peraturan juga harus dihormati, jangan menyakiti orang lain, menipu, mencuri, merompak dan membunuh, peraturan juga terdapat untuk menusia memenuhi tuntutan jasmaninya, memenuhi tuntutan fitrah nafsunya berkelamin, jangan menceroboh dan merogol dan sebagainya.

Semuanya ini datang sekali gus apabila manusia hidup berdisiplin dan bertamadun, dan sesiapa yang melanggar peraturan ini seharusnya merasa malu dengan dirinya sendiri dan malu dengan orang lain, apa lagi malu dengan Rasulullah dan malu kepada ALLAH, Tuhan yang maha esa. (Cubalah tonton program TV Al-Hijrah "kalau Rasulullah masih berada bersama kita, "Lau Kana Bainana"). Oleh itu mentaati peraturan lalu lintas juga termasuk dalam perilaku yang menunjukkan seorang itu bermoral atau pun tidak.

Kita hairan melihat telatah pelik sesetengah pemandu kita yang melanggar lampu isyarat, iaitu lampu isyarat telah menyala merah, tetapi mereka  terus memandu dengan muka yang selamba, seolah-olah merasa megah apabila dapat melanggar peraturan, dan ketika memandu di atas jalan raya, mereka memotong saja kereta lain  yang  meluncur di jalan raya mengikut had laju yang telah ditetapkan, termasuk lori dan bas, seolah-olah merasakan bahawa merekalah hero dan wira dalam dunia ini.

Apakah selama ini kita belum membangun dengan agak maju dan ke hadapan dalam pembangunan infrastruktur dan pembangunan kemudahan awam seperti  perumahan, jalan raya, kenderaan awam, kompleks membeli-belah, sekolah, kolej dan universiti?

Kalau semuanya  itu telah membangun dengan agak baik, ditambah pula dengan kadar penggangguran yang semakin kurang, harga barang yang terkawal, peningkatan ekonomi keluarga dan individu yang agak baik, kemudahan pendidikan yang meliputi segala peringkat masyarakat, maka yang kurangnya tentulah apa-apa yang ada dalam diri dan hati kita sendiri, dalam hati nurani dan jiwa kita sendiri, termasuk kesedaran hendak menjadi orang yang baik atau tidak, hendak menghormati undang-undang atau tidak.

Di Australia umpamanya sistem AES itu telah dilaksanakan, dan ketika  penulis ke sana beberapa bulan yang lalu nampaknya orang di sana amat berdisiplin semasa memandu, mungkin kerana mereka telah dididik oleh kamera ini, tetapi di tempat yang tidak ada kamera ini pun mereka kelihatan masih mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas, apakah mereka lebih baik daripada kita dari segi adab dan disiplin, atau ajaran agama mereka?

Oleh itu nampaknya masalah kejatuhan moral dan akhlak sekarang merupakan satu masalah besar dalam masyarakat kita. Akibatnya setiap hari kita membaca dan menonton segala macam pencerobohan dan keganasan yang berlaku, penipuan, pembunuhan, pencabulan dan sebagainya, yang sekali gus menambah tugas polis dan penguat kuasa undang-undang kita.

Di manakah salahnya? Mungkin kita dapat sama-sama membincangkan hal ini seterusnya pada kesempatan yang lain.

Sementara itu, para pemandu kenderaan semua, ketika memandu di jalan raya, pandang-pandanglah sikit tanda jalan kerana terdapat satu tanda baru tentang AES ini iaitu di hadapan ada kamera yang mengintip kita, dan kamera ini tidak boleh disuap atau diberikan rasuah, dia bukan manusia, tetapi nampaknya manusia hari ini tidak mahu dididik oleh manusia sendiri, mereka lebih takut kepada makhluk lain yang bukannya bernama manusia termasuklah kamera AES!. Pelik sungguh makhluk yang bernama manusia!

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah Ikim dan bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan