KUALA LUMPUR : Panik dan
ketakutan pasti dirasai oleh sesiapa sahaja semasa berdepan dengan perompak
tetapi apakah yang wajar dilakukan pada saat-saat genting itu?
Pengalaman seorang pemuda ketika
berhadapan dengan sekumpulan penjenayah baru-baru ini mungkin boleh dijadikan
iktibar.
Beliau yang memandu sendirian di
sebuah lebuh raya di Lembah Klang pada tengah malah dengan tiba-tiba dipintas
dan dihalang laluannya oleh sebuah kereta yang dinaiki lima lelaki.
Beliau bertambah panik apabila
melihat kelima-lima lelaki itu menyerbu ke arahnya dengan seorang daripada
mereka mengacukan sebilah pisau.
Tidak ada apa yang mampu
dilakukannya selain akur dengan penjenayah itu dan merayu agar tidak dicederakan.
Tidak sampai lima minit, selepas mendapat wang dan beberapa barang lain
daripada keretanya, penjenayah itu terus berlalu.
Tindakan pemuda itu, yang tidak
melawan dan mengikut apa yang diminta oleh penjenayah demi menyelamatkan
nyawanya, adalah tindakan yang bijak menurut Master Saiful Hamiruzzaman,
Perunding Keselamatan Peribadi dan Anggota Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia
(MCPF).
Ketika berhadapan dengan suasana
genting seperti itu, apa yang perlu dilakukan oleh mangsa bukan mempertahan
wang atau harta yang dimiliki sebaliknya melepaskan diri dan menyelamatkan
nyawa.
"Namun ramai yang tersilap
langkah dan bertindak mempertahan wang dan harta tanpa mengukur kemampuan
sendiri hingga akhirnya dicederakan atau dibunuh oleh penjenayah," katanya
ketika berkongsi tip dan teknik menyelamatkan diri ketika berhadapan penjenayah
dalam bengkel Pencegahan Jenayah anjuran Pusat Kecergasan, Celebrity Fitness
di Wangsa Maju baru-baru ini.
MENANGANI PANIK
Walau sehebat mana ilmu
pertahanan diri yang dimiliki seseorang itu, ketika berhadapan penjenayah
kemahiran itu kadang kala gagal dipraktikkan dengan sempurna akibat perasaan
takut dan panik.
Lagipun lawan mereka itu mungkin
lebih hebat lagi.
Perasaan panik dan takut adalah
tindak balas lumrah pada manusia. Namun menurut Saiful, kajian yang dilakukan
menunjukkan dalam keadaan terdesak, manusia akan mempunyai lebih tenaga dan
semangat untuk melawan.
"Ketika semangat dan tenaga
untuk melawan itu tinggi, seseorang akan bertindak sama ada secara positif atau
sebaliknya. Jika positif mungkin dia boleh menyelamatkan dirinya dan jika
negatif ia boleh membawa padah," kata Saiful yang menerima gelaran Master
daripada Majlis Pertahanan Diri Sedunia.
Saiful berkata, langkah paling
mudah untuk mengatasi perasaan panik dan takut terutama berhadapan situasi
mendesak adalah dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan melepaskannya melalui
jeritan padu "huhh" seperti yang sering dilakukan dalam seni
pertahanan diri.
Nampak mudah, namun jika tidak
dibiasakan melalui latihan pernafasan dan jeritan yang betul, seseorang akan
gagal untuk melakukannya ketika berhadapan situasi genting sebegitu.
"Kena buat latihan pernafasan
dan menjerit. Harus selalu dipraktikkan sekurang-kurangnya sekali dalam
seminggu. Anda mampu melepaskan perasaan takut, panik dan segala yang negatif
dalam diri dan kembali lebih tenang serta bersemangat.
"Jeritan itu juga mungkin
boleh membantu membuatkan penjenayah terkejut dan membolehkan anda melepaskan
diri," katanya.
Namun, teknik ini tidak boleh
dipraktikkan dalam semua situasi ketika berhadapan penjenayah. Ia harus
mengikut keadaan dan persekitaran.
"Jika penjenayah mengacu
senjata seperti pisau, senjata api atau sebagainya, anda tidak boleh menjerit
kerana provokasi seumpama itu boleh menyebabkan penjenayah bertindak balas
dengan mencederakan atau membunuh mangsa.
"Jadi pertimbangan akal dan
pengetahuan risiko perlu sebelum bertindak," katanya.
BERTINDAK CEPAT
Jika sebelum ini anda berfikir,
jenayah tidak akan berlaku kepada anda dan hanya berlaku pada orang lain, anda
pasti tersilap kerana sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa sekiranya tidak
ada kesedaran dan tidak mengambil langkah-langkah pencegahan.
Penjenayah sentiasa mengintai
peluang dan ruang untuk melakukan kegiatan mereka kerana itu setiap orang harus
sentiasa berwaspada.
Tindakan pantas perlu diambil
untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa.
Saiful berkata, kajian
menunjukkan sekiranya seseorang itu gagal melepaskandiri apabila terancam dalam
tempoh 30 saat, mereka berpotensi menjadi mangsa penjenayah.
Kebiasaannya, pada lima saat
pertama kejadian mangsa akan berada dalam keadaan keliru kerana terkejut atas
apa yang berlaku.
"Jangan biarkan diri terus
dalam keadaan itu, sebaliknya mula fikirkan tindakan yang perlu diambil untuk
menyelamatkan diri.
"Dalam tempoh kurang 20 saat
itu, cuba berkomunikasi dengan penjenayah akan apa yang diinginkannya. Jika
mahukan duit, barang atau sebagainya berikan sahaja bagi mengelak diri
dicederakan kerana matlamat akhirnya adalah untuk menyelamatkan diri,"
katanya.
Saiful juga merujuk kepada trend
membimbangkan kebelakangan ini di mana penjenayah mencederakan mangsa terlebih
dahulu sebelum melakukan samun atau sebagainya.
Sekiranya penjenayah bertindak
agresif, individu boleh melakukan tindakan yang minimum seperti pijak kaki,
tendang lutut, tampar muka atau menepuk kedua-dua belah telinga bagi
membolehkannya melepaskan diri dan bukannya bertindak mempertahan diri.
"Jika berhadapan dengan
ancaman seperti orang tidak siuman atau mabuk, cuba tepuk kedua-dua belah
telinga mereka dengan tangan. Ia akan menyebabkan mereka hilang imbangan badan
dan seterusnya akan membolehkan anda melepaskan diri," katanya menerangkan
beberapa teknik mudah yang boleh digunakan.
LELAKI MANGSA TERTINGGI
PENJENAYAH?
Mengikut statistik lebih ramai
lelaki menjadi mangsa jenayah.
Kenapa lelaki sedangkan keadaan
fizikal dan kudrat mereka lebih hebat daripada wanita?
Saiful berkata, ini berlaku
kerana lelaki sering mengambil mudah soal keselamatan diri kerana sifat ego dan
beranggapan mereka mampu mempertahan diri.
"Mereka juga beranggapan
mencegah jenayah hanya untuk wanita dan kanak-kanak selain mereka mampu melawan
dengan kekuatan yang mereka ada.
"Selain itu majoriti lelaki,
kononnya menganggap mereka mempunyai kemampuan atau sudah biasa bergaduh dan
bertumbuk," katanya.
Dalam situasi bahaya seperti itu,
lelaki lebih mudah membuat provokasi atau cepat melenting sedangkan wanita pula
memberi reaksi sebaliknya di mana mereka lebih banyak menangis dan merayu untuk
dilepaskan.
"Apa yang lebih penting
adalah melakukan pencegahan awal daripada menjadi mangsa penjenayah. Selain itu
harus mempelajari cara-cara yang boleh digunakan untuk menyelamatkan
diri," katanya yang turut menubuhkan kelab KickStart yang
menawarkan program latihan intensif untuk mengkaji, mengelak atau bertindak
apabila berada dalam keadaan bahaya.
TINGKAT PENGETAHUAN
Sementara itu, Choi Kwang Ho,
Naib Presiden Jualan Celebrity Fitness Malaysia, berkata usaha yang
dilakukan dengan mengadakan bengkel pencegahan jenayah bertujuan memberi
pengetahuan dan petua berguna kepada anggota kelabnya cara menyelamatkan diri
ketika berhadapan situasi bahaya.
Beliau berkata, Celebrity
Fitness juga menyediakan latihan yang boleh digunakan sebagai langkah
menyelamatkan diri ketika berhadapan situasi jenayah melalui kelas Body
Combat.
"Melalui teknik yang diajar
oleh Master Siful dengan apa yang dipraktikkan dalam Body Combat,
diharapkan membantu ahli-ahli Celebrity Fitness dalam langkah pencegahan
dan persediaan mereka ketika berhadapan situasi bahaya," katanya. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan