BERIKUT ADALAH TEKS UCAPAN PENUH BAJET TAHUN 2013
OLEH YAB DATUK SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK, PERDANA MENTERI DAN MENTERI
KEWANGAN KETIKA MEMBENTANG RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2013) DI DEWAN RAKYAT
PADA JUMAAT, 28 SEPTEMBER 2012
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta
bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk
perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk
perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.
MUKADIMAH
Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia
Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah yang
diturunkan di Madinah, bahawa :
"Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja
kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk
menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap
sesuatu."
Tuan Yang di-Pertua,
1. Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia,
penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak Kerajaan
semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008.
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah rahmatNya jua, kita telah
menyaksikan sepanjang tempoh tersebut, melalui usaha kolektif rakan-rakan
anggota pentadbiran dengan sokongan ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan
seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada
kesan terburuk akibat kegawatan kewangan global. Bahkan, ekonomi negara telah
diletakkan dilandasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah
negara maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah
dipertingkatkan secara berterusan.
2. Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan
Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua
rakyat. Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun lalu, pada
setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan
kepercayaan mereka kepada Kerajaan yang sama.Terima kasih kita ucapkan atas
kepercayaan tersebut. Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak
pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba
pada julat berganda.
3. Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun
cakerawala.Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk
dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa. Sebagai Kerajaan yang
bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat. Kita tidak
pernah mendodoi rakyat dengan dogengan lipur lara sebaliknya sentiasa menawarkan
penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat.
4. Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan
ekonomi berteraskan rakyat.Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat.Ia merupakan
manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat.Ia sumbangan masyarakat desa dan
bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang,
pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah dan karyawan.Didukung pula para
penjawat awam dan usahawan. Di atas segalanya, ia diuruskan secara teliti dan
berhemah oleh Kerajaan yang meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya.
Inilah formula kejayaan Malaysia.
5. Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia
bukan perkara mudah.Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat
Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Hakikat rakyat
telah memberi mandat kepada Kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak
1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh Kerajaan sedia ada.
6. Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan Kerajaan selama
ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan mehnah
melanda. Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan
sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletakkan
kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika.
PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013
Tuan Yang di-Pertua,
7. Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus
berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar.
Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari akomodatif telah
membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh. Dalam tempoh separuh
pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong,
terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta. Negara
terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih berjumlah 13.6 bilion
ringgit selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai
destinasi pelaburan pilihan utama.
8. Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan
perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang
kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan
swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai 127.9 bilion ringgit. Prestasi ini jauh
lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak 81 bilion ringgit pada tahun
2009. Tren ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama
dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi.Ini
mendorong sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus
berbanding 4.6 peratus pada tahun 2011.
9. Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham
mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks Komposit Bursa
Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4 September 2012.
Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus daripada 999 bilion
ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion ringgit pada akhir Julai
2012.Pendapatan per kapita pula meningkat kepada hampir 31 ribu ringgit pada
tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit pada tahun 2009. Rizab antarabangsa pada
14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat 432.2 bilion ringgit, mampu
membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.
10. Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka
lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada
kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam Negeri Kasar
(KDNK) nominal dijangka melepasi paras 1 trilion ringgit. Pertumbuhan lebih
baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta sebanyak 13.3 peratus
dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus meningkat kukuh 11.2 peratus
diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6 peratus.
PERUNTUKAN BAJET 2013
Tuan Yang di-Pertua,
11. Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit
bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan, menumpukan
kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut,
201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus dan 49.7bilion ringgit
bagi peruntukan pembangunan.
12. Di bawah peruntukan mengurus,sejumlah 58.6 bilion ringgit adalah bagi
Emolumen dan 33.7 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan.
Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan
Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan
baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.
13. Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan
bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian
serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1 bilion ringgit
diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan,
kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion
ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit
bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
14. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya
dianggarkan 208.6 bilion ringgit, berbanding 207.2 bilion ringgit pada tahun
2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan
Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun
2013, berbanding 4.5peratus pada tahun 2012. Ini menunjukkan Kerajaan komited
untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah.
FOKUS BAJET 2013
Tuan Yang di-Pertua,
15. Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat
di seluruh negara. Memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah
dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan
kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan
terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek
pembangunan. Oleh itu, Bajet 2013 dirangka bertemakan "MEMAKMUR NEGARA,
MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI" dengan memberi penekanan
kepada lima fokus utama.
FOKUS PERTAMA: MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN
Tuan Yang di-Pertua,
16. Fokus Pertama: Merangsang Aktiviti Pelaburan. Pertumbuhan ekonomi
negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik. Dalam tempoh
separuh pertama 2012, pelaburan swasta meningkat kepada 75.3 bilion ringgit
berbanding 59.8 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2011. Tren ini
dijangka berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat
kepada 148.4 bilion ringgit.
17. Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi
Negara.Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek
permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi projek
pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak
500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan
Sungai Klang. Manakala, 300 juta ringgit lagi untuk projek pemulihan rangkaian
paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air.
MENGGALAK PELABURAN DOMESTIK
18. Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan
penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, Kerajaan telah
menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion ringgit di
bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan memanfaatkan
aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan.
Selain itu, Kerajaan juga memperkenalkan semula insentif pengambilalihan
syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan
tempatan bergabung menjadi entiti lebih besar.
MEMPERGIAT PERUSAHAAN KECIL & SEDERHANA
19. Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana memainkan peranan
penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan
industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, dana
sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS bawah
kendalian SME Bank. Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan
dan seterusnya memajukan perniagaan mereka.
20. Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 - 2020) telah dilancarkan yang
bertindak sebagai ‘game changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui
inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif
termasuk enam Program Berimpak Tinggi dengan peruntukan 30 juta ringgit.
21. Dalam mempergiatkan Industri Halal, terutamanya membangunkan
produk-produk halal berimpak tinggiuntuk tujuan eksport, SME Bank dengan
kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak
200 juta ringgit membiayai modal kerja PKS terlibat.
22. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan
perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan pendapatan
harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda keprihatinan dengan
kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang
upaya serta kematian, Kerajaan mencadangkan skim perlindungan insurans
berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya
Syarikat Malaysia. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga
5,000 ringgit. Buat pertama kalinya, Kerajaan akan membiayai skim ini dengan
peruntukan sebanyak 16 juta ringgit setahun.
23. Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad akan memperkenalkan program
Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu memodenkan perniagaan
golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard yang lebih tinggi dan
berdaya saing dengan menggunakan model licensing atau franchising. Program ini
akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru
seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan
menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga
25 ribu ringgit bagi licensee dan 500 ribu ringgit kepada licensor.
MALAYSIA SEBAGAI HAB MINYAK & GAS
Tuan Yang di-Pertua,
24. Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak
dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia
daripada sekadar pengeluar, kepada salah satu hab dagangan minyak dan gas
bersepadu utama dunia.
25. Jadi, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan
keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya
menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan.Bagi
mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan
gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka.
Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan sebagai
tippingpointprojek perkongsian awam swasta,pengecualian cukai pendapatan 100
peratus untuk tempoh 10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian
duti setem.
26. Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai
Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak.
Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai 20 bilion
dolar AS telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery and Petrochemical
Integrated Development atau Rapid, Terminal Simpanan Minyak dan Gas di Johor,
Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah.
27. Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program Global
Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3 peratus.
Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah 400 juta tan
setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan pengecualian cukai
pendapatan 100 peratus keatas pendapatan berkanun untuk tempoh 3 tahun pertama
operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan komoditi yang diluluskan akan
diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti pertanian, bahan mentah
bertapis, logam asas dan kimia.
MERANCAK SEKTOR PELANCONGAN
Tuan Yang di-Pertua,
28. Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting
yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah pendapatan daripada sektor
pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion ringgit pada tahun 2012.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak
358 juta ringgit di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan
sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan
juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi
pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing
atau 1,500 pelancong tempatan setahun.
MENINGKAT AKTIVITI PERTANIAN
29. Di sudut lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor
pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan
kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak 5.8 bilion ringgit
kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
30. Kerajaan menyediakan sebanyak 30 juta ringgit bagi pembangunan program
pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran
buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga
melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta
penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga mempersiapkan
sebanyak 75 juta ringgit bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan
kesihatan.
31. Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA, sebanyak 432 juta ringgit
disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit. Langkah ini akan
meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada
tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini. Di samping itu, sebanyak
127 juta ringgit disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai
tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih
banyak bahan terbitan.
KELESTARIAN JAMINAN BEKALAN MAKANAN
Tuan Yang di-Pertua,
32. Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang,
kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambah baik dengan sistem pengurusan
tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan jelapang padi baru
akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan.
Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar
yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi
kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai
12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan
sebanyak 140 juta ringgit.
MEMBELA NASIB PETANI & NELAYAN
Tuan Yang di-Pertua,
33. Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan
kedudukan sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka
meningkat. Pada masa ini, Kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup 200 ringgit
sebulan yang dapat memanfaatkan 55 ribu nelayan berdaftar. Kerajaan juga
menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan
nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara.
34. Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan
dengan perlindungan maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat ini, bagi
tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan 230 juta ringgit sebagai insentif
tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Di samping itu,
berdasarkan peruntukan 300 juta ringgit pada Bajet 2012, program pembangunan
dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan.
35. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, Kerajaan
akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah
2.4 bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi
yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi - 480 juta ringgit, Pemberian
Subsidi Baja Padi - 465 juta ringgit, Insentif Peningkatan Hasil Padi - 80 juta
ringgit, Insentif Pengeluaran Padi - 563 juta ringgit, Subsidi Harga Beras -
528 juta ringgit dan Subsidi Benih Padi Sah - 85 juta ringgit.
36. Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama
pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim
Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada
pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat memanfaatkan 172 ribu
pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai 13 ribu
ringgit setiap pesawah. Buat permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta
ringgit.
37. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang
diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan seramai
1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di
antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah beberapa peserta telah berjaya
mendapat pendapatan melebihi 10 ribu ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi
usaha ini, sebanyak 41 juta ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat
kepada 6,730 peserta.
MENCERGASKAN PASARAN MODAL & KEWANGAN
Tuan Yang di-Pertua,
38. Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan
dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan menyumbang
71 peratus atau 171 bilion ringgit daripada jumlah terbitan sukuk global dalam
tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini terbukti dengan terbitan sukuk tunggal
terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai 30.6 bilion ringgit.
39. Di samping itu, industri pengurusan dana dan amanah saham menunjukkan
pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang diuruskan
meningkat kepada 451.9 bilion ringgit dan nilai aset bersih sebanyak 277.8
bilion ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
40. Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang
monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai 17.4
bilion ringgit.Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding 2011. Sejarah
tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global
Ventures Holdings dengan nilai 9.9 bilion ringgit dan IHH Healthcare Berhad
dengan nilai 6.3 bilion ringgit telah diterbitkan.Terkini, Astro akan
disenaraikan pada bulan Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar.
41. Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara, Suruhanjaya
Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan Agro Sukuk untuk syarikat
yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan kejayaan penyenaraian
FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti Agro Sukuk, ia dapat mengumpulkan
modal bagi membiayai syarikat-syarikat pertanian dan industri asas tani.
Justeru,untuk menggalakkan terbitan Agro Sukuk, Kerajaan mencadangkan
perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali
bagi tempoh 4 tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
42. Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, Kerajaan
menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah
menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit untuk membolehkan
pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai
permulaan,Dana Infra Nasional Berhad akan menerbitkan bon runcit bernilai 300
juta pada akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan projek MRT.
43. Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, Kerajaan
mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit tersebut
diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa
yang sama, pelabur individu pula, diberi pengecualian duti setem ke atas surat
cara yang terlibat dalam urusniaga bon dan sukuk runcit.
44. Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi
memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal Malaysia di
peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan bersepadu dengan
menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia sebagai
destinasi pelaburan dan pendanaan.
45. Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong
pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate
Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor
swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan industri
sekuriti dan derivatif.
MENGGALAKKAN AMANAH PERNIAGAAN (BusinessTrust)
46. Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai kelebihan
tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk memperoleh sumber
kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, Kerajaan telah meminda
Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan pilihan pengendalian
perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah perniagaan (business trust).
47. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi
layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi menggalakkan
pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah milik perniagaan, aset
dan hartanah milik syarikat kepada amanah perniagaan diberi pengecualian duti setem
dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan
amanah perniagaan.
48. Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang
berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang munasabah.
Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah 9.3 bilion ringgit nilai terbitan
bon kepada 30 syarikat dengan 4.2 bilion ringgit bon dan sukuk telah
diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat menjana aktiviti ekonomi
dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur, perladangan, minyak dan
gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan.
49. Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, Kerajaan akan
menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak 400 juta ringgit dalam tempoh 2
tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara 4 hingga 6
bilion ringgit.
50. Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal sebagai
usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk bersaing dalam
landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan memberi fokus
kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan menyokong produk
inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu, sejumlah 100 juta
ringgit akan disediakan kepada Yayasan ini melalui Tabung Pembangunan Pasaran
Modal di bawah kawal selia SC.
51. Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab
kewangan antarabangsa serta menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan Tun Razak
Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 26
bilion ringgit. TRX akan memberi peluang pelaburan baru dengan menghubungkan
komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX dijangkakan menarik 250 syarikat
perkhidmatan kewangan antarabangsa dan menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan
mahir dan berpengetahuan.
52. Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan
Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan bagi
tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti setem, elaun
bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX
Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja
pembinaan awal TRX berjalan lancar mengikut jadual. Manakala, pengalihan
kemudahan utiliti sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan
dijangka selesai pada Oktober 2012.
WAKAF KORPORAT
Tuan Yang di-Pertua,
53. Kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri merupakan
pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah negeri.
Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada pembangunan tanah
semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk tunai, saham dan
instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai wakaf korporat. Selaras
dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah JAWHAR akan diberi tanggungjawab
untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan
Agama Islam Negeri. Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan wakaf
korporat di Malaysia.
PEMBANGUNAN USAHAWAN BUMIPUTERA
Tuan Yang di-Pertua,
54. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera dapat
bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan
berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada tahun
2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus berbanding 22 peratus
pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah meningkatkan penglibatan syarikat
Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama projek MRT. Sesungguhnya,
penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek berimpak tinggi seperti MRT akan
meningkatkan keupayaan dan kemahiran syarikat Bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak
9 bilion ringgit atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT
diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.
55. Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS Bumiputera untuk
berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi.
Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion ringgit akan
disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu PKS tempatan bagi
tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan
aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.Setakat ini, 2 GLC
telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dijual kepada
pelabur-pelabur Bumiputera.
56. Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan dana
sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan akses
pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga 2.5 juta
ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana Skim ini yang
dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900 juta ringgit. Bagi
menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati kemudahan Skim ini, Kerajaan
akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga 31 Disember 2013,
memperluas skim ini kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi dan
meningkatkan kelayakan dana pemegang saham syarikat daripada 10 juta ringgit
kepada tidak melebihi 20 juta ringgit.
57. Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi kekangan
kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung Ekonomi Kumpulan
Usaha Niaga, usahawan kecil kini mampu memulakan dan memajukan lagi perniagaan
mereka. Sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan pinjaman sebanyak 2.24 bilion
ringgit kepada 224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5
juta ringgit kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan
Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, Kerajaan menyediakan peruntukan
sebanyak 350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta ringgit kepada
masyarakat India.
FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN
Tuan Yang di-Pertua,
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025
58. Fokus Kedua: Memperkasa Pendidikan dan Latihan. Sememangnya sejak
merdeka, Kerajaan telah menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama
negara. Kerajaan juga menyedari pelaburan dalam bidang ini adalah prasyarat
kepada sebuah negara yang makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu,
setiap tahun menyaksikan peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada
keseluruhan bajet. Namun, didapati hasil yang diperolehi tidak setara dengan
pelaburan yang telah dibuat. Maka, pada 11 September lepas, Kerajaan melalui
Kementerian Pelajaran telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan sistem pendidikan negara akan mampu
mengoptimumkan potensi setiap anak Malaysia.
59. Bagi Bajet 2013, sebanyak38.7 bilion ringgit telah diperuntukkan kepada
Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan.
60. Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya kompetensi dan kualiti
guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem pendidikan
negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini,di samping 38.7 bilion ringgit
peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi perbelanjaan mengurus dan
pembangunan, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta
ringgit bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras,
yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui
pendekatan Higher Order ThinkingSkills. Peruntukan ini juga merangkumi
penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery Unit bagi memantau
dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.
Tuan Yang di-Pertua,
61. Pada pembentangan Bajet 2012, Kerajaan telah menyediakan sebanyak 1
bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan
Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih
bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok
tambahan.Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan
1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini. Daripada jumlah ini, 400 juta
ringgit akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit kepada
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil,
100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan, 100 juta ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta ringgit kepada
Maktab Rendah Sains MARA.
MEMPERKUKUH PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Tuan Yang di-Pertua,
62. Melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak, kualiti pendidikan
prasekolah amat penting sebagai platform melengkapkan kanak-kanak dengan
pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion ringgitdisediakan bagi tujuan
pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian
Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional. Sebagai
tambahan, sebanyak 380 juta ringgit disediakan di bawah Kementerian Pelajaran
untuk penempatan guru prasekolah.
63. Berhubung perkhidmatan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang
berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di
samping membangunkan perkembangan minda yang positif,Kerajaan mencadangkan
insentif-insentif berikut:
Pertama: Geran pelancaran 10 ribu ringgit kepada penyedia Pusat Pendidikan
Awal Kanak-kanak swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang
berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat;
Kedua: Potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada
pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan
kanak-kanak akan diberi kepada majikan;
Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun dan elaun bangunan
industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat
jagaan kanak-kanak swasta; dan
Keempat : Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun dan elaun
bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun kepada pengusaha pra-sekolah
swasta.
64. Pada masa ini, kita dapati ramai kanak-kanak kurang upaya dari keluarga
berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana kekurangan
TASKA OKU. Untuk ini Kerajaan akan melaksanakan projek perintis TASKA OKU bagi
6 kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi downsyndrome, autisme, penglihatan,
pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran.
LATIHAN & KEMAHIRAN
65. Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan
inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baru selaras
dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan
maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion ringgit akan
disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional.
66. Setiap tahun hampir 180 ribu graduan berkelulusan diploma dan sarjana
muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk membantu
mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan akan melancarkan Graduate
Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka kerja ini akan
memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini,
Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce dengan peruntukan 200
juta ringgit.
67. Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau
dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran
graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training di syarikat swasta
melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat.
Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun 2016.
68. Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta ringgit kepada Perbadanan Tabung
Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani
latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih
di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan juga
memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf serta pembelian peralatan
Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.
69. Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan
matlamat mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi
tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan
diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri
terpilih termasuk industri minyak dan gas, perkapalan, ICT, kreatif serta
bioteknologi. Bagi tahun 2013, dijangka seramai 5,000 pelatih akan
menyertainya. Di samping itu, Petronas akan menggunakan kemudahan Institut
Kemahiran Belia Negara di Pengerang, Johor untuk melatih seramai 300 orang
belia menjelang akhir tahun ini dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi
keperluan projek RAPID.
70. Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya
dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan
dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan
akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit untuk melatih 3,200
pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras
permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan
Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional.
71. Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan
produktif dalam menyumbang kepada pembangunan syarikat dan ekonomi negara,
aspek kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan menyediakan
peruntukan sebanyak 200 juta ringgit bagi membolehkan ahlinya seramai 1.4 juta
orang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di hospital Kerajaan atau
klinik panel PERKESO. Pemeriksaan kesihatan ini bertujuan untuk mengesan
penyakit tidak berjangkit, kepada semua pekerja yang berumur antara 40 hingga
55 tahun.
FOKUS KETIGA: MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT
PRODUKTIVITI
Tuan Yang di-Pertua
HARTA INTELEK (IP) SEBAGAI CAGARAN
72. Fokus Ketiga: Membudayakan inovasi meningkat produktiviti. Bagi
membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen
untuk mendapatkan pembiayaan memajukan perniagaan,satu model penilaian harta
intelek akan diwujudkan bagi membenarkan ia dinilai secara komersial dan
seterusnya digunakan sebagai cagaran memperoleh pembiayaan dari institusi
kewangan. Bagi maksud ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah 200 juta
ringgit. Skim ini akan ditawarkan oleh Malaysia Debt Ventures. Kerajaan akan
memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus dan jaminan sebanyak 50 peratus
melalui Credit Guarantee Corporation; dan
Kedua: Menyediakan peruntukan sebanyak 19 juta ringgit bagi program latihan
penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta
mewujudkan platform pasaran harta intelek.
73. Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai penemuan
dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk dikomersialkan.
Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 600 juta ringgit kepada 5 buah
universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam
bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa.
74. Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D institusi
penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada bagi
pengkomersialan penemuan R&D berasaskan aktiviti sumber diperluaskan kepada
aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan
Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah:
Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiarinya yang
menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai
bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat dalam syarikat subsidiari
tersebut; dan
Kedua: Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan
penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke
atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun.
MEMPERGIAT PELABURAN MODAL TEROKA OLEH PELABUR
INDIVIDU
75. Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati mereka mempunyai
idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa
namun berhadapan sumber pembiayaan terhad. Oleh itu, sebagai sumber pembiayaan
alternatif, penglibatan secara langsung pelabur pemangkin atau angel investors
di peringkat awal perniagaan adalah amat penting bagi merealisasikan pelaburan
dan daya saing syarikat teroka. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan potongan
cukai bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka
dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya.
MENYEMARAK INOVASI INKLUSIF
Tuan Yang di-Pertua,
76. Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus merancang dan
melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan, kreativiti dan
inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi,
inovasi akan terus diperkukuh dan diarusperdanakan dalam semua sektor dan segenap
lapisan masyarakat. Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama agensi Agensi Inovasi
Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
PEMBANGUNAN TEKNOLOGI HIJAU
77. Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi
Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk tempoh 3 tahun,
yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini membolehkan syarikat
pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah dengan
Kerajaan menanggung subsidi 2 peratus daripada jumlah kadar faedah dan jaminan
Kerajaan 60 peratus. Sehingga kini, hampir 800 juta ringgit telah diluluskan
kepada 50 syarikat tempatan. Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan
produk berasaskan teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak 2
bilion ringgit dan tempoh permohonan skim SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh 3
tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2015.
FOKUS KEEMPAT: KONSOLIDASI FISKAL DAN MEMPERCEKAP
PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
Tuan Yang di-Pertua,
78. Fokus Keempat: Konsolidasi Fiskal dan Mempercekap Penyampaian
Perkhidmatan Awam. Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit
fiskal terus berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai
bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi perlu memastikan
peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi perkara yang benar-benar
perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar dan program negara.
79. Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi
paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3
peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk
memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan
memastikan semua perolehan dan pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value
for money.
80. Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar,
kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan
sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi
rumah. Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem
cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya
memanfaatkan semua rakyat Malaysia.
81. Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono
tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan
mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta
sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun
pengangkutan awam akan terus dilindungi.
82. Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu
imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus
utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari
mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku.
83. Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan
oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya.
Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan program
penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif.
Tuan Yang di-Pertua,
84. Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan
budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja pula mestilah cepat,
tepat dan berintegriti. Langkah ini akan mencetuskan paradigma baru dan
seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam
lebih efisien dan efektif serta lebih responsif.
85. Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat
bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu,
Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan yang telah berkhidmat
sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada720 ringgit
kepada 820 ringgit. Pelarasan pencen ini akan mengambil kira bayaran pencen
bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk
penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak 60 juta ringgit
setahun.
86. Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, Kerajaan mencadangkan
caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada
300 ringgit kepada 150 ringgit untuk tempoh sah laku 5 tahun. Manakala, bagi
caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada 80
ringgit. Pengurangan caj bayaran pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak
yang berumur 12 tahun ke bawah. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada
Januari 2013.
PENAMBAHBAIKAN SKIM PERKHIDMATAN ANGKATAN TENTERA
Tuan Yang di-Pertua,
87. Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan hala tuju
strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan bersetuju untuk menambah
baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim
perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai
ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar
kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan Diploma berdasarkan
skop tugas.
88. Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju untuk
meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah kenaikan
secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke
Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi syarat-syarat serta prestasi yang
memuaskan. Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi
anggota ATM. Usaha ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan
melibatkan peruntukan sebanyak 107 juta ringgit.
89. Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif
khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM
seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan
implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit.
90. Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai
pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan
mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada 4
ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6 ringgit sejam dan RM5.80 sejam kepada
RM7.80 sejam melibatkan 65 ribu anggota simpanan angkatan tentera yang
merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan
Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA,
JPAM dan PVR sebelum ini.
91. Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu
bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun
serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak 1
ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak 224 juta ringgit
yang melibatkan 224 ribu bekas tentera ini akan dikongsi bersama oleh Kerajaan
dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
92. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans
Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan
peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum
sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu anggota tentera dan polis.
93. Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun
untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh
Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan. Sebagai sebahagian daripada
usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan Kerajaan,
BPP akan disusun semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank komersial
untuk menguruskan pinjaman perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari
2013. Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam
akan tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4
peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.
94. Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap
permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit bagi
setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan 2
ringgit bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban kewangan dan
memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang
proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira
jumlah pinjaman yang dipohon.
95. Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup
bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat
ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun
pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih. Skim perkhidmatan yang
terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai
Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi,
Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi
Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu
Kesihatan Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta
ringgit akan disediakan.
FOKUS KELIMA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT
Tuan Yang di-Pertua,
96. Fokus Kelima: Mensejahterakan rakyat. Kerajaan juga akan menyediakan 6
bilion ringgit pada tahun 2013 di bawah Pakej Rangsangan Khas yakni PFI 2 untuk
melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat
dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. Antara projek yang telah dikenal pasti
termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah serta klinik kesihatan, projek
perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan
sukan.
MEWUJUD KEJIRANAN YANG SELAMAT & HARMONI
Tuan Yang di-Pertua,
97. Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah
sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan kadar jenayah
akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah 591juta
ringgit akan disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan langkah-langkah
berikut:
Pertama : Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia pada 2013
untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta menaik
taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden;
Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan perumahan.
Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan
sebanyak 20 juta ringgit;
Ketiga: Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000
orang dengan peruntukan 70 juta ringgit bagi membantu polis membanteras
jenayah; dan
Keempat : Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV
sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan
Sarawak.
Tuan Yang di-Pertua,
98. Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan anggota
Polis DiRaja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan saudari dan
saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya dalam
perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil maklum kita
tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan telahpun
mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar kajian komprehensif dilakukan
untuk menambahbaik laluan kerjaya warga PDRM. kajian dan segala cadangan yang
dibuat hendaklah merundingi semua "stakeholder" dan hendaklah
diselesaikan dalam masa secepat mungkin.
99. Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah
mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan dan
telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit kepada Yayasan Bantuan
Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah 20 juta ringgit lagi peruntukan
untuk tahun 2013.
Tuan Yang di-Pertua,
100. Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama
Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang
selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif
berikut:
Pertama : Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan
aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, Kerajaan bercadang memberi
geran berjumlah 10,000 ringgit kepada 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar
dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, dengan kos sebanyak 40 juta
ringgit;
Kedua : Mempertingkatkan peranan rukun tetangga dalam membantu menjaga
keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan mensasarkan 6,500 penubuhan
kawasan rukun tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan 39
juta ringgit bagi membiayai aktiviti KRT;
Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,00 anggota RELA
yang aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta ringgit; dan
Keempat: Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan alat kawalan
keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan,
berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah galakan Elaun Modal
Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini turut diberi
kepada syarikat pemaju perumahan.
SPRM
Tuan Yang di-Pertua,
101. Pastinya, Kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah. Bagi
tahun 2013, sebanyak 276 juta ringgit akan diperuntukkan kepada SPRM bagi
membanteras rasuah. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambah sebanyak 150
perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai 5,000 anggota. Langkah ini
diharap akan dapat menyokong usaha Kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam
Indeks Persepsi Rasuah.
MEMACU TRANSFORMASI KOMUNITI
Tuan Yang di-Pertua,
102. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar atau RTP
bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti di bandar
pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau UTP. Sejumlah
200 juta ringgit akan disediakan bagi maksud ini. Bagi memastikan penyelarasan
strategik di antara RTP dan UTP, National Strategic Coordination Unit akan
diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan.
103. Urban Transformation Program adalah inisiatif Kerajaan dalam
pembangunan komuniti bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Kerajaan
dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses. UTC dilaksanakan dengan
mengubahsuai bangunan Kerajaan sedia ada yang kosong atau mengoptimumkan
penggunaan bangunan dengan kos yang minimum. Sebagai contoh, di UTC, rakyat
boleh membuat pasport dalam tempoh satu jam sahaja, membayar zakat, bil
utiliti, cukai pintu, membeli kain dan buku serta menjalankan aktiviti riadah
seperti futsal dan gim. Keunikan UTC ini, ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi
hingga 10 malam, 7 hari seminggu.
104. Di bawah UTP, Kerajaan telah melancarkan 2 Pusat Transformasi Bandar
atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL telah menerima
purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan diperhebatkan dan
dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama, iaitu Alor Setar, Kuantan,
Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.
PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR
105. Di luar bandar, Kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar
Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi menyediakan
sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan
pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat
perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga. Berdasarkan
manfaat yang diterima, Kerajaan akan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor,
Pahang, Sabah dan Sarawak. Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan
Info Desa seluruh negara sebagai Mini-RTC.
PEMBANGUNAN LUAR BANDAR & MASYARAKAT ORANG
ASLI
106. Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi mengurangkan jurang
pembangunan bandar dan luar bandar. 4.5 bilion ringgit akan disediakan bagi
melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013 termasuk:
Pertama : Sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan 441
kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang memanfaatkan
220 ribu penduduk;
Kedua : Sebanyak 1.6 bilion ringgit diperuntukkan untuk projek
infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek bekalan air kepada 24 ribu buah
rumah dan projek penyambungan bekalan elektrik kepada 19 ribu buah rumah;
Ketiga : Sebanyak 137 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai Program
Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di seluruh negara dan memanfaatkan 38
ribu penduduk. Program utama termasuk menaik taraf kilang pemprosesan hasil
laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan pusat pemasaran serta menambah
baik pakej dan aktiviti homestay serta rekreasi;
Keempat : Sebanyak 88 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan program
pembangunan ekonomi dan projek bekalan air bagi masyarakat Orang Asli; dan
Kelima : Sebanyak100 juta ringgit bagi membekal 40 ribu tangki air
menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di Sabah
dan Sarawak.
KESIHATAN ASAS KESEJAHTERAAN
Tuan Yang di-Pertua,
107. Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan
kesihatan yang memuaskan. Bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan sebanyak
19.3 bilion ringgit untuk perkhidmatan mengurus dan pembangunan.
108. Pembukaan Klinik 1Malaysia telah mendapat sambutan baik dan memberi
manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses bagi mendapatkan
rawatan. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 20 juta ringgit bagi membuka
tambahan 70 klinik pada tahun 2013. Klinik 1Malaysia juga akan mula menyediakan
perkhidmatan ujian kolesterol dan glukosa serta ujian urin kepada mereka yang
memerlukan. Selain itu, sebanyak 100 juta ringgit akan diperuntukkan untuk
membaik pulih 350 klinik di seluruh negara,di samping menambah 150 buah mesin
dialisis di pusat hemodialisis Kerajaan seluruh negara.
Tuan Yang di-Pertua,
109. Memang benar, wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga
bahagia malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Untuk itu,
Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyokong dwi peranan wanita ini
dengan melaksanakan langkah-langkah berikut:
Pertama : Seramai 500 wanita akan dilatih di bawah Program Pengarah Wanita
untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat;
Kedua : Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) akan
dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada ibu tunggal
dalam bidang keusahawanan; dan
Ketiga : Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50 ribu
usahawan kecil, terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan
jualan secara atas talian dengan geran seribu ringgit melalui peruntukan 50
juta ringgitoleh SKMM.
Keempat : Peruntukan sebanyak 25 juta ringgit untuk kemudahan pemeriksaan
percuma ujian Mamogram. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan seramai 100
ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas.
PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
Tuan Yang di-Pertua,
110. Sesungguhnya Kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang
bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak
ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Justeru, program Kebajikan Rakyat
1Malaysia atau KAR1SMA di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 1.2 bilion ringgit meliputi program
bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta
bantuan penyakit kronik.
111. Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin yang
bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan
rendah. Antara program di bawah inisiatif ini adalah Azam Kerja,Azam Tani, Azam
Niaga dan Azam Khidmat. Untuk ini, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 400 juta
ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta.
112. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan 2 pusat Anjung Singgah
bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka yang
memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat pekerjaan atau
kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya, Kerajaan menambah lagi 6 pusat
Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan 5 Anjung Kasih di Hospital Sibu,
Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara
dan selesa kepada pesakit miskin atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit
yang sedang menerima rawatan di hospital Kerajaan.
BELIA & SUKAN
Tuan Yang di-Pertua,
113. Sukan adalah pemangkin perpaduan nasional yang terbaik kerana
melibatkan semua golongan masyarakat. Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol
Anne David, Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang dan Muhamad Ziyad adalah antara
hero dan heroin sukan yang dikagumi.Kejayaan dan pencapaian mereka di peringkat
antarabangsa cukup membanggakan.Kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam
memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan. Untuk itu, bagi
tahun 2013 sebanyak 738 juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan
sukan.
114. Kerajaan akan memperuntukkan 15 juta ringgit bagi mempersiapkan para
atlet ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013, Sukan Para ASEAN
2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014. Sebagai tambahan juga, 50
juta ringgit lagi diperuntukkan untuk tempoh 4 tahun khusus bagi persiapan
Sukan Olimpik Rio 2016 di bawah program Road to Rio.
115. Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan badminton,
Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan Akademi
Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
116. Dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi,
berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing, Kerajaan melancarkan
program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara.Kerajaan
juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan
belia terbesar negara bersempena dengan perisytiharan tahun 2013 sebagai tahun
kesukarelaan nasional.
117. Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan
nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan
sebanyak 50 juta ringgit. NEF akan menjadi platform bagi program latihan dan
bimbingan.
118. Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan
sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana pinjaman mudah ini
adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar faedah
pinjaman sebanyak 2 peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak 100 ribu ringgit
serta tempoh bayaran balik selama 7 tahun.
119. Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan pembangunan
negara.Untuk itu, Kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia
For Youth atau 1M4U untuk mereka mempersembahkan idea-idea kreatif dan inovatif
menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan. 3 idea
terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
120. Sebahagian besar daripada 22 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan
telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan belia. Oleh itu, bagi
membuka akses golongan muda kepada lebuhraya maklumat, satu pakej khas akan
diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi. Melalui Pakej Komunikasi
Belia, rebat 200 ringgit akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit
telefon mudah alih pintar 3G melalui pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada
belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan
ke bawah. Sebanyak 300 juta ringgit telah disediakan danakan memanfaatkan 1.5
juta belia.
121. Menjengah peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses
pembangunan negara, kita maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur
semata-mata pada pendapatan perkapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut diukur
menggunakan pelbagai dimensi. Para karyawan memainkan peranan penting dalam
meningkatkan peradaban nasional. Sebagai menghargai peranan mereka ini,
Kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah 6 juta ringgit sebagai bantuan
pentadbiran dan kegiatan kepada semua persatuan yang berdaftar.
MEMPERLUAS JARINGAN PENGANGKUTAN AWAM BANDAR
Tuan Yang di-Pertua,
122. Bercakap pula ehwal perkhidmatan pengangkutan awam yang baik,ia adalah
nadi kepada pembangunan sesebuah komuniti. Lanjutan daripada kejayaan
pengenalan RapidKL dan RapidPenang, Kerajaan akan melancarkan Rapid Kuantan
mulai 1 Disember 2012 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berkualiti
di Kuantan yang dapat memanfaatkan rakyat teramai. Syarikat Prasarana juga
dalam proses untuk memperluaskan perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh,
Seremban, Kuching dan Kota Kinabalu.
123. Kerajaan memandang serius kepentingan pengangkutan bagi orang ramai
terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di bandar besar. Pada masa ini,
golongan OKU, pesara dan pelajar telah menikmati diskaun 50 peratus kadar
tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB. Sebagai lanjutan, suka
saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan diskaun 50
peratus kadar tambang ini, kepada semua warganegara Malaysia yang berpendapatan
3,000 ringgit dan ke bawah.
Tuan Yang di-Pertua,
124. Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas
paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat
Malaysia berpeluang untuk memiliki rumah mereka sendiri. Ini bukan sahaja satu
imperatif yang bersifat ekonomi, malahan ia adalah imperatif moral bagi sebuah
Kerajaan yang bertanggungjawab. Oleh itu, Kerajaan akan menjadikan hasrat ini
sebagai prioriti berterusan. Bagi tahun 2013 sahaja, suka saya umumkan,
Kerajaan akan memperuntukkan 1.9 bilion ringgit bagi membina 123 ribu unit
rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik. Inisiatif ini akan
dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan
Perumahan Negara.
125. Sebanyak 500 juta ringgit akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk membina
50 ribu unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan
antara 100 hingga 400 ribu ringgit seunit. Antara bandar-bandar utama tersebut
adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu, Seremban dan Kuantan.
126. Di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara
Perumahan berjumlah 500 juta ringgit untuk membina 30 ribu unit rumah secara
usaha sama dengan pemaju perumahan swasta. Harga rumah yang ditawarkan di bawah
program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding dengan harga di pasaran
dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka.
127. Manakala sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan melalui SPNB untuk
membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan
sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik. Projek perumahan SPNB
yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos
sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh. Unit
kediaman ini akan dijual pada harga sekitar 120 ribu hingga 220 ribu ringgit
seunit.
128. Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB akan membina sebanyak
21,000 unit rumah untuk tahun 2013. Di bawah program ini, SPNB akan membina
rumah berharga 65 ribu ringgit dengan subsidi sebanyak 20 ribu ringgit serta
subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak 2 peratus.
129. Selain itu, peruntukan sejumlah 543 juta ringgit akan disediakan bagi
Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan
Rakyat melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah
Industrialised Building System. Kesemua unit kediaman ini akan dijual antara 30
hingga 40 ribu ringgit seunit berbanding harga pasaran sekitar 120 ribu ringgit
seunit. 20 peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan
sebahagian kepada golongan OKU.
130. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah yang
pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui bajet yang lalu,
akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan
daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit sebulan atau 10,000 ringgit sebulan
bagi pinjaman bersama suami isteri. Di samping itu, syarat keperluan simpanan 3
bulan deposit serta tempoh minimum bekerja 6 bulan juga akan dimansuhkan.
Tuan Yang di-Pertua,
131. Dalam Bajet 2009, Kerajaan telah pun memberi pengecualian duti setem
50 peratus ke atas surat cara perjanjian pindah milik dan pinjaman sebuah rumah
kediaman pertama yang berharga sehingga 350 ribu ringgit. Kerajaan bercadang
melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan
had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga 400 ribu ringgit.
KAJIAN SEMULA CUKAI KEUNTUNGAN HARTANAH
132. Menyangkut hal penawaran hartanah yang terhad terutamanya di kawasan
bandar, ia membuka ruang kepada aktiviti spekulasi. Dengan itu, Kerajaan
mencadangkan cukai keuntungan harta tanah ke atas keuntungan pelupusan hartanah
yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh perolehan
hartanah berkenaan, dikenakan pada kadar 15 peratus dan 10 peratus bagi
pelupusan hartanah dalam tempoh 2 hingga 5 tahun. Bagi hartanah yang dilupuskan
selepas tempoh 5 tahun daripada tarikh perolehannya, RPGT tidak dikenakan.
Sementelahan itu, keuntungan daripada pelupusan sebuah rumah kediaman sekali
dalam seumur hidup dan pelupusan hartanah atas dasar kasih sayang antara suami
dan isteri, ibu bapa dan anak, datuk atau nenek dan cucu dikecualikan daripada
RPGT.
GALAKAN CUKAI UNTUK MEMULIH PROJEK PERUMAHAN
TERBENGKALAI
133. Selanjutnya, bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit
kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat
memulihkan 30 projek rumah terbengkalai. Sebagai tambahan untuk menggalakkan
penyertaan sektor swasta, Kerajaan akan menyediakan insentif cukai seperti
berikut:
Pertama: Institusi perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan
faedah yang diterima daripada kontraktor penyelamat;
Kedua : Kontraktor penyelamat diberi potongan cukai 2 kali ke atas bayaran
faedah dan semua kos langsung dalam mendapatkan pinjaman;
Ketiga : Kontraktor penyelamat diberi pengecualian duti setem ke atas semua
jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan pindah milik tanah atau rumah
dan surat cara pinjaman bagi membiayai kos pemulihan; dan
Keempat : Pembeli asal rumah terbengkalai diberi pengecualian duti setem ke
atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi tujuan mendapat pembiayaan
tambahan dan pindah milik rumah.
BANTUAN & INSENTIF RAKYAT
Tuan Yang di-Pertua,
BR1M
134. Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk
rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif
tertinggi.Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang
akan membahayakan masa depan orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak, yang
sanggup mengatakan apa sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang tak perlu
bayar, hatta menjanjikan syurga semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku
Menteri Kewangan, tidak akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit.
Pendek kata, Kerajaan ini tidak akan mengaburi mata rakyat.
135. Menyedari hakikat inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif
rasionalisasi subsidi dan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi
daripada subsidi pukalyang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang
yang berada pun memperoleh, kepada subsidi yang bersasar. Di bawah prinsip ini,
subsidi akan diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang
betul-betul memerlukannya. Hakikatnya, jika Kerajaan terus memberi subsidi
secara pukal, ia akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya
rakyat menanggung akibat, seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di
dunia. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut
berlaku.
136. Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi
bersasar, Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmenrakyat Malaysia dapat
mengongsi kemakmuran negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi nasional
terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus dijana. Sukacita saya
mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0. Kriteria penerima
tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah.
Sebagai tambahan, sukacita juga saya mengumumkan pemberian BR1M 2.0 ini
diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang
berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan kepada
individu bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit.
137. Hakikatnya, bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah
satu langkah populis malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab dan
mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3 juta isi
rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit. Ia
akan dibayar mulai awal tahun 2013. Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M
sedia ada tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru
boleh mula mendaftar mulai November 2012 secara atas talian atau melalui
kaunter di Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil
Dalam Negeri seluruh negara.
Tuan Yang di-Pertua,
138. Gula yang diambil secara berpatutan adalah baik, namun sekiranya
diambil secara berlebihan ia mampu menjadi racun. Setakat ini, sekitar 2.6 juta
rakyat Malaysia mengidap diabetes. Oleh itu, Kerajaan bercadang mengurangkan
subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai 29 September 2012. Kerajaan
menyeru kepada para peniaga bahawa janganlah membebankan saudara se-Malaysia
dengan kenaikan harga. Sebaliknya kurangkanlah kandungan gula.
139. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan masih lagi menanggung subsidi
gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 278 juta
ringgit. Malah pengurangan subsidi ini disokong oleh persatuan-persatuan
pengguna dan pengamal kesihatan.
140. Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan
minyak masak yang semakin meningkat, Kerajaan akan menyediakan peruntukan
sebanyak 1.5 bilion ringgit bagi menstabilkan harga minyak masak di pasaran.
141. Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak adalah
lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan
pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan harga barangan dapat
dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program
Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan serta pembukaan Kedai Rakyat
1Malaysia. Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 386 juta ringgit
bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan Sarawak serta Labuan
dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam dengan membuka sebanyak
57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari Semenanjung Malaysia
ke Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke kawasan pedalaman.
Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14 kg setong dijual
pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak tersebut boleh
dibeli hanya dengan RM26.60 setong.
142. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik
menggunakan perkhidmatan feri dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan
memberi diskaun tambang kepada semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping
itu, diskaun sebanyak 50 peratus turut diberi ke atas tambang feri untuk
kenderaan komersial yang mengangkut barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.
MEMPERMUDAH IBADAH HAJI
Tuan Yang di-Pertua,
143. Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju Baitullah. Dalam
Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat pendaftaran awal
menunaikan rukun ke-5 ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak 1,300 ringgit.
Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah menggunakan inisiatif
ini. Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal haji, saya ingin
mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini dibenarkan
mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan kos
tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum
pengeluaran sehingga 3 ribu ringgit.
KAJIAN SEMULA CUKAI PENDAPATAN INDIVIDU & KOOP
Tuan Yang di-Pertua,
144. Kerajaan prihatin ke atas peningkatan kos sara hidup rakyat serta
tanggungan cukai pendapatan mereka. Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20
jenis pelepasan cukai individu dan 2 rebat cukai. Berikutan pelepasan dan rebat
cukai ini, hanya 1.7 juta orang sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan
guna tenaga iaitu seramai 12 juta orang.
145. Dalam proses peralihan daripada sistem cukai sedia ada yang berasaskan
pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan saksama, Kerajaan
mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata peratusan bagi
setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500 ringgit sehingga 50
ribu ringgit. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170 ribu pembayar cukai
daripada membayar cukai serta pembayar cukai pendapatan sedia ada juga
menikmati penjimatan bayaran cukai mereka. Sebagai contoh, golongan profesional
muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan 5 ribu ringgit, akan
menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga 425 ringgit seorang.
146. Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan koperasi,
Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan antara 1
hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan ini,
seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk
meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan.
MERINGANKAN BEBAN PENGUSAHA BAS SEKOLAH
Tuan Yang di-Pertua,
147. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas
ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah
yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat
menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian
besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan
mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10
ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk
menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang
berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN
ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.
148. Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri,
hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan
perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan seramai 2 juta
pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak 100 ribu ringgit dan kos premium
sebanyak 40 juta ringgit untuk tempoh 2 tahun yang akan diselia oleh
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat.
MENGURANGKAN KOS PEMBELAJARAN PELAJAR
Tuan Yang di-Pertua,
149. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan pelajar terutama mereka yang
datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Kerajaan sentiasa menyediakan
peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang merangkumi
bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama, Rancangan Makanan Tambahan,
pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan persekolahan. Untuk ini,
sebanyak 2.6 bilion ringgit diperuntukkan pada tahun 2013.
150. Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan
persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi
meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana,
Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan 100 ringgit
kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai
Januari 2013 dan bermanfaat kepada 5.4 juta pelajarmelibatkan peruntukan
sebanyak 540 juta ringgit.
151. Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia kepada setiap
pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya mengumumkan, bahawa nilai baucar akan
ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit. Langkah ini melibatkan
peruntukan 325 juta ringgit dan akan memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajardi
seluruh negara.
Tuan Yang di-Pertua,
152. Kerajaan juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi
anak-anak. Bagi membantu meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan
mencadangkan pelepasan cukai sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak
sebanyak 4,000 ringgit seorang sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit
mulai tahun taksiran 2013. Langkah ini menunjukkan komitmen dan tumpuan
Kerajaan ke atas pelaburan bagi meningkatkan tahap pendidikan generasi muda
yang akan memberi manfaat kepada negara pada masa hadapan.
153. Bagi menggalakkan sikap menabung untuk pendidikan, sukacita juga saya
mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang telah pun diberi sehingga 3,000
ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan kepada 6,000 ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
154. Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia
adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia
akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh itu, bagi memudahkan proses
pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa insentif. Pertama, bagi
peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun selepas
pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013, diskaun 20
peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman mereka.
155. Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara konsisten mengikut
jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan diberikan.Kita
tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan supaya hutang keseluruhan
hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu perbuatan yang amat tidak
bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih 30
bilion ringgit hutang PTPTN. Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat
Malaysia? Bertanggungjawabkah jika kita yang berhutang masyarakat yang
menanggung. Itulah persoalannya.
PROGRAM JALUR LEBAR UNTUK RAKYAT TERMISKIN DI
BANDAR
156. Kerajaan akan menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013
hingga 2015 di dalam bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini
dilengkapi dengan kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan
harian dan meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan
menyediakan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.
MENGGALAKKAN AKTIVITI TANGGUNGJAWAB SOSIAL
KORPORAT
Tuan Yang di-Pertua,
157. Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat
berkaitan Kerajaan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan
dan kesejahteraan rakyat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate
Social Responsibility (CSR). Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan
aktiviti CSR, program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi termasuklah:
Pertama: Felda akan melaksana dan menyiapkan projek perumahan generasi baru
sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas 5,000 ekar tanah dalam
kawasan Felda. Projek ini akan menelan belanja sebanyak 1.5 bilion ringgit
dalam tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah memperuntukkan sebanyak 60
juta ringgit bagi membaiki rumah-rumah kampung tradisi di sekitar rancangan.
Felda juga akan berbelanja sebanyak 100 juta ringgit setahun untuk program
pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa kepada 5000 anak generasi baru,
30 peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini adalah terdiri dari anak-anak dari
luar Felda;
Kedua: Yayasan 1MDB akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian geran
pendidikan, bantuan kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di
pedalaman Sarawak, Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi
golongan miskin dan daif;
Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan memperuntukkan hampir 500 juta
ringgit untuk menjalankan CSR dalam bidang pembangunan komuniti, biasiswa,
pendidikan, sukan dan alam persekitaran.
Tuan Yang di-Pertua,
158. Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak Kerajaan tidak akan
bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan
terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang merupakan jentera
pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di peringkat daerah, pihak
berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.
159. Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan
yang dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank
Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar monetari negara dan
Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan.
160. Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya mengumumkan
pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti kita tahu, dari
jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang perayaan Aidilfitri
yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada bulan
Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan Januari
nanti. Diharapkan pemberian bonus ini akan mengurangkan beban para penjawat
awam terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal persekolahan.
PENUTUP
Tuan Yang di-Pertua,
161. Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet
terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13. Ia merupakan antara siri-siri bajet
yang akan mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.
162. Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan serta dukungan rakyat
Malaysia, Insya-Allah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan
dibentangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah status
daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah
negara maju berpendapatan tinggi.
163. Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami menyeru agar rakyat menilai
secara kritikal dan rasional akan titipan rekod kejayaan yang dimiliki oleh
Barisan Nasional. Kerajaan BN dan sebelum itu perikatan telah selama 55 tahun
mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
nama saya Redzuan Sarina Binti dari PULAU PINANG,
BalasPadamMALAYSIA. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu Rossa kerana membantu saya mendapatkan pinjaman. selama tiga bulan, saya telah mencari pinjaman untuk melunaskan hutang, setiap orang yang saya temui ditipu dan mengambil wang saya sehingga akhirnya saya melihat kisah Cik Masitah Ayob dan alamat laman web syarikat yang dikongsinya. Syarikat itu kemudian memberi saya pinjaman sebanyak RM470,000 yang saya mohon. syarikat juga dapat membantu anda. kerana syarikat itu juga telah menolong beberapa rakan saya yang lain. Sekiranya anda memerlukan bantuan kewangan, sila hubungi syarikat ROSSA FINANCE melalui e-mel: Rossastanleyloancompany@gmail.com
Whats-app Syarikat Mother Rossa: +1 (914) 529-5708.
Syarikat itu tidak tahu bahawa saya melakukan ini dengan menyebarkan niat baik syarikat kepada saya, tetapi saya merasakan saya harus membagikannya kepada anda semua untuk membebaskan diri daripada penipu, berhati-hati dengan peniru dan hubungi syarikat pinjaman yang betul. Di bawah ini adalah kata-kata semangat bagi mereka yang mencari pemberi pinjaman swasta yang jujur dan jujur.
"jika anda memerlukan pinjaman untuk membayar kredit dan hutang? Adakah anda memerlukan kewangan untuk menubuhkan perniagaan anda sendiri? Adakah anda memerlukan pinjaman untuk menjalankan projek besar? Adakah anda memerlukan pinjaman kuliah? Adakah anda memerlukan dana untuk pelbagai tujuan lain?" ? Inilah e-mel saya untuk sebarang pertanyaan mengenai ibu rossa,
e-mel saya: redzuansarinabinti2020@gmail.com
E-mel ibu rossa: Rossastanleyloancompany@gmail.com
nombor telefon bimbit +601616345654
Terima kasih kerana membaca dan selamat maju jaya
MUNGKIN ALLAH memuji nama saya Humaira Kiyoraka, saya berasal dari bandar Jayapura, Indonesia. Saya ingin menggunakan media ini untuk memberitahu semua dalam kumpulan ini yang mencari wang pinjaman agar sangat berhati-hati ,. beberapa bulan yang lalu, saya mengalami kekurangan kewangan dan bank enggan memberikan pinjaman kerana saya tidak mempunyai jaminan sehingga saya memutuskan untuk mencari pinjaman dari Man di Malaysia dan saya tertipu oleh orang-orang di Malaysia. Saya hampir kehilangan harapan sehingga seorang rakan saya yang telah menukar adik perempuan saya, Puan Mira Binti Muhhamed, yang merujuk saya kepada pemberi pinjaman yang sangat dipercayai dan tulen yang disebut Rossastanley, pemberi pinjaman swasta, ketika dia memberitahu saya tentang hal itu, saya bertanya kepadanya bagaimana mungkin? untuk mendapatkan pinjaman dari internet, tetapi dia ketawa dan memberitahu saya bahawa itu adalah pemikirannya pada awalnya tetapi dia memutuskan untuk menghubungi Puan Rossa stanley dan bahawa ketika pinjaman itu diluluskan, dia tidak mempercayainya sehingga ibu Rossa menjelaskan kepadanya bahawa PBB adakah yang menyokong mereka dari segi kewangan untuk membantu orang miskin dari ASIA jadi saya memutuskan untuk menghubungi penjagaan pelanggan syarikat pinjaman Rossa stanley ibu melalui e-mel dan dengan segera mereka menjawab bagaimana mereka dapat membantu jadi saya memberitahu mereka Puan Mira Binti Muhammed memberi saya hubungan syarikatnya dan saya telah mengisi borang dan lihatlah pinjaman saya telah diluluskan. Bahagian yang mengagumkan adalah kadar faedah rendah hanya 2% jadi saya terus memohon pinjaman sebanyak Rp750,000,000.00 dan lihatlah setelah melalui proses pengesahan, pinjaman saya Rp750,000,000.00 telah diluluskan dan mereka meminta butir-butir bank saya, saya segera menghantar butiran Akaun Bank Negara Indonesia (BNI) saya dan Lihatlah pinjaman saya telah dipindahkan ke AKAUN saya, saya tidak dapat TERIMA KASIH IBU ROSSA cukup dan saudari tersayang Mira Binti Muhammed Dan juga United Nation untuk skim Kredit yang indah ini, jadi nasihat saya untuk anda semua adalah jangan menghubungi semua pemberi pinjaman palsu ini tetapi hubungi pelanggan pelanggan syarikat pinjaman ibu rossa melalui e-mel untuk keperluan pinjaman yang cepat dan anda akan memberi keterangan seperti saya juga e-mel pelanggan pelanggan syarikat Rossa Rossastanleyloancompany@gmail.com, tetapi jika anda memerlukan pertolongan dalam memproses pinjaman anda, sila tulis saya di humairakiyoraka@gmail.com atau kakak tersayang di Mirabintimuhammed@gmail.com dan anda pasti akan menjadi seperti kami yang kini memberi keterangan kepada ibu rossas bantuan kewangan yang besar, Semoga ALLAH memberkati anda semua
BalasPadamSaya Suryanto dari Indonesia di Kota Palu, saya mencurahkan waktu saya di sini karena janji yang saya berikan kepada LADY ESTHER PATRICK yang kebetulan adalah Tuhan yang mengirim pemberi pinjaman online dan saya berdoa kepada TUHAN untuk dapat melihat posisi saya hari ini.
BalasPadamBeberapa bulan yang lalu saya melihat komentar yang diposting oleh seorang wanita bernama Nurul Yudianto dan bagaimana dia telah scammed meminta pinjaman online, menurut dia sebelum ALLAH mengarahkannya ke tangan Mrs. ESTHER PATRICK. (ESTHERPATRICK83@GMAIL.COM)
Saya memutuskan untuk menghubungi NURUL YUDIANTO untuk memastikan apakah itu benar dan untuk membimbing saya tentang cara mendapatkan pinjaman dari LADY ESTHER PATRICK, dia mengatakan kepada saya untuk menghubungi Lady. Saya bersikeras bahwa dia harus memberi tahu saya proses dan kriteria yang dia katakan sangat mudah. dari Mrs. ESTHER, yang perlu saya lakukan adalah menghubunginya, mengisi formulir untuk mengirim pengembalian, mengirim saya scan kartu identitas saya, kemudian mendaftar dengan perusahaan setelah itu saya akan mendapatkan pinjaman saya. . Lalu saya bertanya kepadanya bagaimana Anda mendapatkan pinjaman Anda? Dia menjawab bahwa hanya itu yang dia lakukan, yang sangat mengejutkan.
Saya menghubungi Mrs ESTHER PATRICK dan saya mengikuti instruksi dengan hati-hati untuk saya, saya memenuhi persyaratan mereka dan pinjaman saya disetujui dengan sukses tetapi sebelum pinjaman dipindahkan ke akun saya, saya diminta membuat janji untuk membagikan kabar baik tentang Mrs. ESTHER PATRICK dan itulah mengapa Anda melihat posting ini hari ini untuk kejutan terbesar saya, saya menerima peringatan Rp350.000.000. jadi saya menyarankan semua orang yang mencari sumber tepercaya untuk mendapatkan pinjaman untuk menghubungi Mrs. ESTHER PATRICK melalui email: (estherpatrick83@gmail.com) untuk mendapatkan pinjaman yang dijamin, Anda juga dapat menghubungi saya di Email saya: (suryantosuryanto524@gmail.com)
Kami di sini untuk menyediakan pinjaman antara minimum $10,000.00 hingga maksimum $100,000,000.00, iaitu jika anda ingin memohon dalam dolar. Walaupun anda dari Indonesia, anda boleh memohon pinjaman sekurang-kurangnya Rp 100juta. maksimum Rp 25 bilion jadi walaupun anda dari Malaysia anda boleh memohon pinjaman minimum Rm 30k dan maksimum Rm 850k. Anda juga boleh memohon dalam mata wang lain yang tidak disebutkan di atas, kami sentiasa di sini untuk menyediakan pinjaman yang anda perlukan untuk menampung semua perbelanjaan kewangan anda pada kadar yang sangat rendah, kerana kami telah melakukan ini selama bertahun-tahun dan ia telah berjaya dan bermanfaat untuk kedua-duanya. pemberi pinjaman dan peminjam, jadi kami ada testimoni di mana-mana<<<<>> >> Testimoni terakhir Farouk dari Malaysia dengan jumlah RM 2.3 juta dan juga Indra dari Indonesia dengan jumlah Rp 570 juta, jadi tolong jangan' t mengetepikan transaksi yang sangat mesra kepada pelanggan ini<<<<<>>> >>>>
BalasPadamButiran Perhubungan Ada Di Bawah
Company name: ISKANDAR LESTARI LOAN COMPANY
e_mail::>[iskandalestari.kreditpersatuan@gmail.com]
WhatsApp::[+6282274045059]