Oleh : Zin Mahmud
BUKANNYA senang hidup sebagai
seorang ulat buku. Sebenarnya mereka tidak memilih untuk menjadi seorang ulat
buku. Ini semua takdir. Mereka telah dilahirkan sebagai ulat buku. Mereka tidak
boleh berbuat apa-apa. Tidak perlu kempen membaca. Mereka tidak perlukan itu
semua. Kegilaan mereka terhadap buku datang dengan sendirinya, tanpa sebarang
galakan, apatah lagi paksaan. Sedar-sedar mereka sudah menjadi ulat buku.
Mungkin ada orang kagum terhadap mereka
yang berminat membaca. Ulat buku sememangnya golongan minoriti. Tetapi
sebenarnya banyak orang tidak suka pada ulat buku. Ini kerana gila buku adalah
suatu penyakit.
Sebeanrnya penyakit ini dapat
dikesan sejak dari awal lagi. Para ulat buku seringkali adalah golongan yang
suka menyendiri. Tidak suka bersosial, lebih gemar menghabiskan masa, tenaga
dan wang ringgitnya demi buku.
Maka para ibu bapa yang mempunyai
ulat buku di kalangan anak-anak mereka pasti dapat mengesan penyakit ini dari
awal, sejak di sekolah rendah.
Ulat-ulat buku ini dengan
sendirinya, tanpa disuruh akan gemar pergi ke perpustakaan sekolah. Mereka akan
pinjam buku sebanyak mana dibenarkan, membacanya cepat-cepat dan
mengembalikannya sepantas mungkin, supaya dapat meminjam buku lain pula.
Sering kali ulat buku ini akan
segera menjadi pustakawan sekolah supaya mereka dapat hidup dikelilingi buku.
Di luar waktu sekolah, kedai buku sentiasa menjadi tumpuan mereka.
Bagi ibu bapa yang mempunyai
anak-anak berpenyakit gila buku ini, mereka akan mula menyedari kesan-kesan
negatifnya.
Ini kerana buku-buku yang dibaca
oleh ulat-ulat itu seringkali bukannya buku pelajaran untuk peperiksaan dalam
silibus nya.
Maka ulat-ulat buku ini akan
membaca apa saja yang diminatinya, seringkali berbeza daripada mata pelajaran
di sekolahnya. Jika tidak dikawal, pencapaian pelajarannya akan terjejas kerana
ulat-ulat buku ini banyak menghabiskan masa membaca buku-buku lain.
Kesan negatif lain ialah
banyaknya wang yang dihabiskan oleh kanak-kanak ulat buku ini untuk membeli
buku. Mereka sanggup berlapar supaya wang belanja makan digunakan untuk membeli
buku.
Maka dalam waktu singkat bilik
dan rumahnya akan penuh dengan buku dan majalah yang pasti dirasakan
menyempitkan dan semak bagi para ibu bapa mereka terutama yang hanya mampu
memiliki rumah kecil.
Selain itu, kesan negatif
daripada ulat buku ialah sifatnya yang tidak suka bersosial dan bersukan hingga
menjejaskan pembangunan dirinya dan kemahiran hubungan sesama insan.
Tidak kiralah apa kerjaya yang
diceburinya, penyakit gila buku ini akan berterusan hingga ke akhir hayat.
Apabila mereka mula bekerja, dengan memiliki wang sendiri, maka banyak lagilah
buku yang dibeli dan diperoleh dan seterusnya memenuhi ruang-ruang di rumahnya.
Masalah ini akan menjadi rumit
jika seorang lelaki ulat buku berkahwin dengan wanita yang tidak toleran dengan
penyakit ini.
Sejak mula berkahwin hinggalah
beranak cucu, leteran terhadap buku-buku yang terus bertambah menimbun dalam
rumah akan menjadi suatu kebiasaan.
Tetapi bagi ulat-ulat buku,
mereka tidak akan menjawab balik terhadap leteran-leteran itu. Mereka hanya
memekakkan telinga dan terus tenggelam dalam dunia pembacaannya.
Bagi isteri-isteri ulat buku,
penyakit suami mereka ini dirasakan menyempitkan hidupnya. Perebutan ruang
dalam rumah pasti berlaku. Ini kerana buku-buku memakan banyak ruang yang
berharga terutama dalam rumah teres dua tingkat dengan bilik terhad.
Soal buku sememangnya sensitif
bagi ulat buku. Jika dia mendapati bukunya diusik, apatah lagi dipindahkan ke
tempat lain, maka berangnya tidak mengenal ahli keluarga. Buku adalah
sebahagian daripada dirinya.
Tanda-tanda bahawa seseorang
lelaki itu berpenyakit gila buku sepatutnya boleh disedari oleh seseorang
perempuan sejak awal dia mula mengenal bakal suaminya.
Pastinya lelaki ini akan membawa
teman wanitanya ke tempat-tempat yang ada kedai buku. Kalau pergi ke kompleks
membeli belah, pastinya dia akan memilih tempat yang ada kedai buku.
Gaya hidup ini akan berterusan sepanjang
hayatnya. Anak-anak ulat buku juga dari awal lagi sedar bahawa ke mana saja
mereka berjalan, bapanya pasti membawa mereka ke kedai buku. Seringkali bapa
mereka akan membeli lebih banyak buku daripada anak-anaknya.
Ada masanya apabila tidak tahan
dengan protes isterinya, maka ulat buku ini akan menjalani hidup secara gerila.
Mereka membeli buku secara gelap, sembunyi-sembunyi.
Apabila membeli buku, ia akan
disorokkannya dalam kereta. Setelah keluarganya tidur, barulah dia keluarkan
buku daripada keretanya. Setelah berbulan-bulan berlalu, tiba-tiba tanpa
disedari isterinya, rumah menjadi sempit kerana penuh buku.
Tetapi sejak tahun-tahun
kebelakangan ini, teknologi maklumat telah membawa harapan baru kepada keluarga
ulat buku.
Ulat-ulat buku tidak perlu lagi
bimbang dileter atau dimarah isterinya kerana menyempitkan ruang rumah akibat
terlalu banyak buku.
Kemunculan e-buku akan
meringankan beban ulat-ulat buku daripada kemarahan keluarganya. Ini kerana
e-buku tidak lagi memakan banyak ruang. Zaman ulat e-buku sudah tiba.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan