Ahad, 28 Oktober 2012

ISU KENEGARAAN : Melayu menjadi faktor pengimbang


NAMA PROF. DATUK DR. SIDEK BABA sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebagai tokoh ilmuan pelbagai jawatan telah disandangnya. Pernah menjadi Timbalan Rektor HEP dan Disiplin Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kini masih setia di sana sebagai Professor Pendidikan di Kuliyyah Pendidikan.

Beliau juga telah menghasilkan lebih 20 buah buku mengenai pemikiran Islam dan umat Melayu. Kini pada usia 66 tahun, beliau masih aktif berceramah di dalam dan luar negara, juga sebagai Ahli MAIS, Ketua Dakwah Selangor, Lembaga Penasihat Pendidikan Kebangsaan dan banyak lagi.

Sebagai tokoh ilmuan, Dr. Sidek melihat apa yang melanda terhadap orang Melayu sekarang ini adalah satu malapetaka yang mampu memecahbelahkan umat.

“Umat yang kuat, hebat dan memiliki jiwa besar adalah umat yang dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit dengan bijaksana. Islam mengajar umat Melayu mengenai persaudaraan dan wahdah.

Katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, umat Melayu harus reflektif mengenai kekuatan silam. “Islam bukan sekadar agama yang memberi kekuatan rohaniah tetapi juga pedoman amaliah. Sumber yang sangat penting ialah menguasai dan mengembangkan ilmu yang sifatnya berketamadunan.

Katanya lagi, “Islam dan Melayu adalah suatu simbiosis. Melayu yang menjadikan Islam sebagai sumber kekuatan bakal menempa perubahan dan mampu menghadapi cabaran kemajuan dan hari depan,".

MINGGUAN: Mengenai umat Melayu akhir-akhir ini, apakah Datuk membayangkan sebagai sesuatu yang sihat atau sebaliknya?

SIDEK: Pada asasnya polemik adalah sesuatu yang baik. Kebebasan memberi pandangan yang berkualiti, kritik yang membina, hujah yang baik adalah sesuatu yang berguna. Ia adalah kebebasan yang perlu diraikan. Tetapi polemik yang berasaskan emosi dan persepsi semata-mata boleh memudaratkan. Hujah-hujah dangkal tanpa adanya pemeriksaan terhadap fakta dan data boleh membawa kekeliruan. Ia boleh menimbulkan fitnah. Pada zaman media baru ini orang sering menyalahgunakan saluran maklumat dan sumber maklumat. Polemik harus mampu memberikan kematangan dan kedewasaan kepada umat Melayu. Islam harus dijadikan ukuran menilai supaya hujah yang diberi tidak tersasar. Umat Melayu di Malaysia adalah cerminan Islam.

Islam menganjurkan adab dalam menyantuni pendapat. Adab adalah disiplin akal, hati dan amal. Apabila akal memiliki disiplin tinggi menyerap pemikiran yang benar dan bermanfaat ia baik untuk disiplin hati. Timbangan hati menjadi lebih telus dan ketelusan akal budi insan memberi pencerahan kepada amal. Sekiranya ini terjadi, umat Melayu bakal menjadi umat contoh. Contoh ini apabila diterjemahkan dalam ilmu, pendidikan, sosial, ekonomi, pemikiran dan gaya hidup yang beradab, ia bakal melakukan lonjakan.

Sebaliknya umat Melayu yang gopoh, tidak mampu mengimbangi antara idealisme dan realiti, tidak memahami jalur sejarah atau perkembangan budaya, hilang jejak dan tapak dalam mengejar kemajuan bakal menimbulkan masalah dalam proses pembangunan umat. Umat Melayu perlu insaf bahawa wahdah atau kesatuan adalah kekuatan. Perpecahan boleh membawa bencana. Hanya kebijaksanaan membaca senario, faham mengenai faktor sebab-akibat, ikhlas dalam melakukan sesuatu, jauhkan dendam kesumat dan kebencian menjadi faktor penyumbang kepada binaan adab dan tamadun.

MINGGUAN: Apakah Umat Melayu sudah kehilangan fokus utama hingga menyebabkan prioriti kemaslahatan umat semakin tidak terarah?

SIDEK: Makna umat dalam tradisi Islam adalah sesuatu yang murni. Apalagi bila ia dikaitkan dengan konsep ummatan wasatan atau umat berimbang seperti yang terungkap dalam al-Quran. Melayu ialah suatu bangsa yang Allah ciptakan supaya dapat melakukan proses litaarrafu atau kekenalan seperti yang terungkap dalam Surah al Hujurat - 13 supaya memiliki daya kesalingan yang tinggi. Memperkukuh makna umat dalam pengertian memanfaatkan faedah berbanding dari sumber lain supaya terbentuk tasawwur atau pandangan semesta yang baik seharusnya menjadi keutamaan umat Melayu untuk bangun sebagai umat contoh.

Bahasa Melayu, umpamanya terdapat ribuan istilah al-Quran di dalamnya. Menjadikannya sebagai bahasa ilmu adalah suatu kewajaran. Berdekad-dekad lamanya kita membina Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak saja dalam bidang diniah atau agama tetapi juga dalam bidang sains dan teknologi. Hilangnya keutamaan dalam kalangan sebahagian orang Melayu terhadap bahasanya sendiri menyebabkan mereka menjadi pengagum kepada bahasa lain Kononnya bahasa lain adalah sumber maju dan bertamadun. Bahasa memerlukan etos dan nilai yang mendukung tamadun. Inilah yang terjadi apabila bahasa Arab diperkasakan ia menjadi sumber tamadun. Sekiranya Bahasa Melayu diperkasakan sebagai bahasa intelektual, bahasa ilmu, kajian dan penyelidikan, bahasa pengkaryaan ia bakal muncul sebagai bahasa peradaban.

MINGGUAN: Pada hemat Datuk di mana letaknya titik keseimbangan hubungan Melayu dan Islam dalam konteks masyarakat Malaysia?

SIDEK: Islam tidak sekadar suatu sistem kepercayaan. Ia adalah juga sebagai suatu cara hidup. Ciri-ciri kesejagatan Islam menjadikannya dianut oleh pelbagai bangsa. Hal yang sama juga terjadi kepada bangsa Melayu. Apabila Islam membentuk tasawwur dan pemikiran orang-orang Melayu, ia menyebabkan cara berfikir dan bertindak orang Melayu berubah. Islam dan Melayu adalah suatu simbiosis. Melayu yang menjadikan Islam sebagai sumber kekuatan bakal menempa perubahan dan mampu menghadapi cabaran kemajuan dan hari depan.

Umat Islam pernah membangun tamadun contoh yang menjadi sumber ikutan Barat dan Timur. Umat Melayu harus reflektif mengenai kekuatan silam. Islam bukan sekadar agama yang memberi kekuatan rohaniah tetapi juga pedoman amaliah. Sumber yang sangat penting ialah menguasai dan mengembangkan ilmu yang sifatnya berketamadunan. Disini pentingnya dakwah dan tarbiyah berlaku secara berterusan di kalangan umat Melayu. Keinsafan terhadap Islam bukan sekadar batini tetapi harus didukung dengan kekuatan ilmu yang memberi jalan kepada pencerahan terjadi.

MINGGUAN: Apakah memperkukuh ikatan umat Melayu boleh menyebabkan hubungan dengan yang bukan Melayu terjejas?

SIDEK: Saya tidak fikir begitu. Umat Melayu adalah umat pengimbang dalam konteks masyarakat Malaysia. Sejarah binaan masyarakat Malaysia di mana perlembagaan memperuntukkan asas dukungan bagi kemajuan umat Melayu adalah langkah bijaksana. Dalam masa yang sama bukan Melayu mempunyai kebebasan untuk maju dalam ekonomi dan pendidikan. Bayangkan umat Melayu dalam konteks Malaysia yang terpinggir, bakal menjejaskan ketidakseimbangan dan tidak baik bagi pembangunan Malaysia. Secara jangka panjang isu merit harus menjadi fokus dan menjadi agenda utama Umat Melayu. Ia bakal menghasilkan daya saing atau sikap maju yang sihat. Faktor sosio-ekonomi yang diraikan menuntut kesabaran dan pengertian yang tinggi kerana umat Melayu sudah terjajah lebih 400 tahun.

Setengah abad membangunkannya belum cukup menjadikan umat Melayu sepenuhnya tangkas dan mandiri. Mereka perlu dibantu tanpa menafikan hak orang lain untuk membangun sama. Islam tidak harus dilihat sebagai faktor rasis atau agama perkauman. Memajukan umat Melayu dengan Islam tidak harus dilihat dengan prasangka dan niat buruk. Penerapan nilai-nilai Islam di kalangan umat Melayu dan sistem bernegara yang sedang berjalan adalah baik untuk kestabilan Malaysia. Bank Rakyat yang sedang beroperasi banyak memikat penglibatan orang-orang bukan Islam meski corak operasinya berasaskan prinsip patuh syariah. Dividennya yang tinggi membayangkan kestabilan dan keuntungan yang ada. Islam mendukung maksud amanah, adil, tulus dan telus.

Sekiranya ini dihayati dalam pengurusan dan kepimpinan di semua sektor ia bakal menghasilkan integriti. Tidakkah itu menjadi faktor penyumbang yang baik untuk semua pihak. Umat Melayu bakal menjadi umat teladan dan Bukan Melayu menjadikannya sebagai sumber ikutan. Islam mengajar umatnya memiliki watak berimbang (ummatan wasata). Sekiranya umat Melayu mendukung pekerti sebegini dalam konteks masyarakat majmuk, ia adalah baik untuk binaan masyarakat Malaysia. Umat Melayu akan rasa tidak selamat sekiranya dominasi politik berlaku secara tidak seimbang. Kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh sesetengah pihak tidak harus ditampilkan sehingga umat Melayu merasakan keterpinggiran berlaku dan boleh membawa kepada konflik.

MINGGUAN: Pendidikan merupakan wahana yang sangat penting membangun potensi umat Melayu. Apakah setakat ini Datuk berpuas hati pencapaian orang Melayu dalam bidang pendidikan?

SIDEK: Sudah tentu tidak. Sejak merdeka kerajaan berusaha membangun wahana pendidikan sebagai saluran mobiliti sosial. Pendekatan yang diambil oleh pelbagai sektor pendidikan menampilkan umat Melayu yang berilmu dan mempunyai pengkhususan dan kepakaran dalam pelbagai bidang semakin bertambah. Ia adalah suatu dasar yang bijak supaya wujud keseimbangan yang munasabah di kalangan masyarakat berbilang. Jiwa mandiri umat Melayu sudah mula terlihat. Ia memerlukan masa lagi supaya merit menjadi faktor bijaksana dalam menempa kejayaan dan pergantungan hanya perlu bagi mereka yang patut dibantu.

Mendepani cabaran globalisasi yang semakin sengit, umat Melayu harus diperkasa dengan landasan etika dan nilai murni yang tinggi di samping ilmu yang sifatnya berkembang untuk maju dan membangun. Sistem pendidikannya harus bersifat transformatif menyantuni perubahan zaman dan cabaran lingkungan. Pendidikan tidak harus dilihat sekadar suatu proses transformasi maklumat dan pengetahuan dalam orientasi peperiksaan semata-mata tetapi ilmu yang benar dan bermanfaat harus menjadi dukungan untuk perubahan diri manusia.

MINGGUAN: Apakah pertanda perpecahan dalam kuasa politik umat Melayu boleh membawa hilangnya perimbangan kuasa politik Malaysia?

SIDEK: Pada hemat saya ia memang benar. Perpecahan dalam kalangan umat Melayu dalam konteks politik Malaysia adalah suatu malapetaka. Umat yang kuat dan hebat dan memiliki jiwa besar adalah umat yang dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit dengan bijaksana. Islam mengajar umat Melayu mengenai persaudaraan dan wahdah. Ilmu Islam yang dipelajari, risalah dakwah yang disantuni, pendekatan tarbiyah yang di ungguli harus mampu mendidik umat Melayu memiliki watak kasih sayang dan belas kasihan bukannya kebencian dan dendam kesumat. Rasulullah SAW, memiliki upaya kesabaran yang tinggi dalam melakukan perubahan dan merintis jalan ke arah wahdah.

Al-Quran memberikan kita pedoman "Watawa saubil haq, watawa saubissabr" iaitu sifat sabar dalam menyatakan yang hak dan kebenaran. Menyerap kesabaran dalam politik Malaysia amat dituntut dalam kalangan umat Melayu supaya perpecahan tidak terjadi. Kalau HAMAS dan PLO di Palestin pernah berperang dan berbunuhan kerana orientasi politik yang berbeza, mengapa perkara yang sama tidak boleh berlaku di Malaysia. Jiwa besar dalam kalangan pimpinan umat Melayu perlu ada memikirkan hari depan umat dan Islam itu sendiri. Tradisi muzakarah adalah sesuatu yang unggul dalam amalan Islam. Mengapa ia tidak berlaku. Kita hanya pandai menyebut dalam syarah dan tazkirah kita.

Dalam masa yang sama kita lebih cenderung untuk menanamkan benih-benih perpecahan bukannya wahdah. Janganlah merasa seronok dengan lontaran takfir, taghut dan lain lain-lain gelaran yang hodoh untuk membezakan diri kita dengan orang lain kerana ia ibarat api yang membakar daun-daun kering di musim kemarau. Faktor perimbangan kuasa politik di Malaysia adalah amat penting. Umat Melayu sebagai umat teras mampu mendukung faktor ini supaya kemajuan dan pembangunan Malaysia berada dalam keadaan yang lebih menjanjikan.

MINGGUAN: Apakah cara yang dianjurkan oleh Islam supaya titik pertemuan dan wahdah terjadi dalam kalangan umat Melayu?

SIDEK: Dakwah dan tarbiyah harus diperkasa dalam kalangan umat Melayu. Ilmu yang benar dan bermanfaat harus dikembangkan dalam sistem pendidikan kita. Landasan etika dan nilai harus menjadi asas fundamental membentuk watak dan peribadi umat Melayu dan Malaysia. Amanah, keadilan, kebebasan dalam batas yang terizin oleh syarak, keikhlasan melakukan sesuatu untuk kebaikan umat manusia, daya tasamuh yang tinggi tanpa mengorbankan prinsip, menyediakan model-model alternatif Islami yang sesuai untuk masyarakat berbilang, memberi keutamaan kepada amal contoh yang boleh diteladani dan memahami senario setempat dan antarabangsa secara bijaksana adalah antara ramuan terbaik membangun sebuah negara Malaysia dalam acuan kita sendiri. Justeru umat Melayu sebagai umat teras dan umat contoh harus mampu melakukan penerokaan dan memberi daya kepimpinan yang berwibawa dan stabil supaya umat Melayu dilihat sebagai tenaga pengimbang yang berkesan untuk kebaikan semua. Ia tidak mudah untuk dilakukan tetapi tekad ilmu, dakwah, politik, ekonomi dan sosial yang tinggi harus mampu diterjemahkan dalam sistem. Kejayaan Malaysia dalam banyak hal harus diperkukuh lagi supaya Malaysia menjadi tempat yang selamat untuk semua.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan