Oleh: NURUL AIN MOHD HUSSAIN
KUALA LUMPUR : Sebanyak 1,675 laman sesawang telah disekat
Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dari Januari hingga Ogos
tahun ini.
Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang
Gandum berkata, daripada jumlah itu 1,585 darinya merupakan laman sesawang yang
memaparkan maklumat peribadi 'pishing'.
Manakala, bagi tahun 2011 pula sebanyak 1,475 laman sesawang telah disekat.
Joseph berkata, tindakan itu sebagai langkah penguatkuasaan yang diambil
SKMM bagi menyekat laman sesawang, portal dan blog yang menyebar fitnah.
"Secara amnya semua undang-undang dinegara ini diterima pakai dalam
menangani perlakuan sesuatu kesalahan tanpa mengambil kira perantaraan atau
platform yang digunakan.
"Justeru, kandungan di media portal adalah tertakhluk dibawah
peruntukan undang-undang negara seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,
Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan" katanya ketika menjawab pertanyaan
lisan, Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) yang mahu mengetahui bentuk tindakan yang
diambil oleh SKMM terhadap blog -blog yang menabur fitnah serta sejauh mana
pemantauan bagi memastikan penulis blog mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Beliau berkata, SKMM sentiasa memantau dan mengambil tindakan undang-undang
di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
"Di bawah seksyen tersebut,sebanyak 32 kertas siasatan telah dibuka
pada 2011.
"Manakala bagi Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 74 kes telah
disiasat melibatkan media baru," katanya.
Menurutnya, antara tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh SKMM termasuk
membuat laporan kepada pihak pentadbir laman sesawang untuk mengeluarkan atau
mengalihkan kandungan yang diadukan, mengeluarkan notis amaran kepada
pengendali laman web dan menyekat akses kepada laman web terlibat.
"Sekiranya didapati melanggar undang-undang bertulis negara ini,
tindakan menyekat akses kepada laman sesawang turut dilakukan, terutamanya
untuk laman sesawang yang berpangkalan di luar negara," katanya.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan