KUALA LUMPUR - Seramai 2,313 murid miskin termasuk 925 daripada keluarga miskin tegar akan ditawar ke Tingkatan Satu, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tahun depan dengan diberi bantuan oleh Kementerian Pelajaran.
Menurut Bahagian Pengurusan SBP
dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran, mereka merupakan antara 7,710
murid yang dipilih bagi ditempatkan di Tingkatan Satu SBP.
Murid daripada keluarga miskin
tegar yang akan dipilih perlu mempunyai sekurang-kurangnya 3A 2B dalam Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012, menurut kenyataan bahagian tersebut hari
ini.
Ia berkata kementerian telah
menerima 105,357 permohonan untuk kemasukan ke Tingkatan Satu SBP, dengan
seramai 62,338 pemohon terdiri daripada murid perempuan dan 43,019 murid
lelaki.
Tempat yang diperuntukkan ialah
untuk seramai 7,710 murid, 3,645 untuk murid perempuan dan 4,065 murid lelaki,
menurut kenyataan tersebut.
"Dasar pengambilan murid ke
SBP memberi keutamaan kepada murid yang berasal dari sekolah pedalaman dan luar
bandar. Justeru itu Kementerian Pelajaran akan menawarkan sekurang-kurangnya
5,397 atau 70 peratus tempat kepada para pelajar yang berasal dari sekolah
pedalaman dan luar bandar," menurutnya.
Menurut kenyataan itu, keputusan
pemilihan dan penempatan murid ke Tingkatan Satu SBP akan diumumkan selewatnya
16 Disember depan.
Keterangan lanjut boleh diperoleh
di laman web www.moe.gov.my dan murid yang ditawarkan juga akan
dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan