Oleh : Profesor Teo Kok Seong
Cadangan Laporan Awal Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk menyeragamkan beberapa
aspek kurikulum, khususnya antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis
kebangsaan, tidak diterima secara sama oleh bukan Melayu. Dua antaranya,
pemansuhan kelas peralihan dan penggunaan sukatan pelajaran sama untuk mata
pelajaran bahasa Melayu, diterima baik oleh kaum India, tetapi tidak kaum Cina.
Sebenarnya pemansuhan kelas
peralihan adalah cadangan kaum India yang diajukan ketika Kajian Semula
Pendidikan Negara. Mereka sedia menangani ketidakcekapan pelajar India dalam
subjek Bahasa Melayu, dengan cara baru, bukan melalui kelas peralihan. Ini
berlainan dengan kaum Cina yang belum sedia dengan apa cara pun dan ingin terus
menangani masalah ini dengan cara lama.
Kaum India menerima baik syor
menggunakan sukatan pelajaran sama untuk bahasa Melayu bagi Tahun Empat hingga
Enam. Sebaliknya kaum Cina yang ingin meneruskan kelas peralihan tidak
bersetuju dengan penyeragaman ini. Pelbagai alasan diberi dan boleh dikatakan
kebanyakannya memperlihat keengganan kaum Cina untuk bersifat lebih integratif
dalam menjayakan sistem pendidikan negara yang lebih bersepakat. Sistem begini
penting untuk melahirkan generasi muda yang berkongsi satu asas dan perspektif
sama mengenai nasionaliti Malaysia, dalam keadaan kita mengamal pelbagai aliran
persekolahan. kaum Cina bukan saja terus melindungi bahasa Mandarin, malah terlalu mempertahankannya sehingga boleh dianggap
melampau dalam beberapa kes"
Kebimbangan, sama ada yang
tersurat, iaitu penyeragaman ini mengurangkan masa untuk pengajaran dan
pembelajaran dalam bahasa ibunda Cina, atau tersirat, yakni akan menghakis jati
diri etnik Cina, bukan saja tidak berasas, tetapi boleh dianggap perkauman.
Kebimbangan ini memperlihat betapa tidak percayanya Cina kepada kaum Melayu.
Penyeragaman ini bertujuan
merapatkan jurang pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu, iaitu bahasa negara
kita semua, antara mereka yang menghadiri dua aliran persekolahan ini,
khususnya apabila memasuki sekolah menengah. Namun, dengan tujuan semurni ini yang
akan membolehkan pelajar Cina mengikuti semua pelajaran dalam bahasa Melayu,
lebih mudah dan jayanya pula apabila mereka berada di sekolah menengah, ia
masih diragui akan keikhlasannya.
Dengan keengganan ini dan
beberapa tindakan lain untuk mengembangkan pendidikan Cina, tidak dapat
dinafikan lagi kaum Cina bukan saja terus melindungi bahasa Mandarin, malah
terlalu mempertahannya sehingga boleh dianggap melampau dalam beberapa kes.
Mereka sanggup mengetepikan semangat di mana bumi dipijak, di situ langit
dijunjung selaku satu kerukunan, sama ada sebagai sesuatu yang diharuskan
daripada kelompok bukan asal atau untuk tujuan perhubungan yang lebih tulen
dengan kelompok asal.
Kaum Cina perlu mengikuti
semangat kaum India. Tindakan mereka bukan saja menguntungkan generasi muda
mereka yang akan dapat mengikuti pelajaran di sekolah menengah dengan lebih
berkesan. Pengetahuan dan penguasaan bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan
Tamil adalah bertahap tinggi.
Namun, lebih penting ia tidak
merumitkan lagi PPPM yang sudah direncamkan dengan pelbagai aliran
persekolahan, kini disulitkan pula oleh sekolah jenis kebangsaan yang tidak
sama ketetapannya antara aliran Mandarin dan Tamil. Ketidaksamaan ini akan
meremehkan wibawa sistem pendidikan negara ini, selain menjadikannya amat
kompleks.
Oleh itu, penyeragaman yang hanya
membabitkan kandungan, baik dari segi kosa kata dan istilah serta struktur dan
gaya bahasa Melayu perlu diterima dengan hati terbuka oleh kaum Cina.
Sebenarnya anak kecil kita bukan saja cepat memanfaatkannya, tetapi akan
menguasai bahasa Melayu tahap tinggi dengan baik sekali.
Dengan cadangan ini dalam PPPM,
anak bangsa kita, khususnya lepasan sekolah jenis kebangsaan, bukan saja mahir
dalam bahasa ibunda mereka, tetapi cekap pula dalam bahasa negara ini, iaitu
bahasa Melayu. Itulah tujuan murninya!
Penulis ialah Profesor
Linguistik di UKM
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan