Oleh : Mohamed
Maliki Mohamad Rapiee
Pada 1952, Kesatuan Kebajikan Kanak-Kanak Antarabangsa membawa satu usul
penting ke Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu yang
mendesak agar setiap negara anggota badan dunia itu mengiktiraf Hari
Kanak-Kanak Sedunia sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib serta kebajikan
kanak-kanak seluruh dunia.
Akhirnya mulai 1953, setiap negara anggota PBB menjadikan hari Sabtu
terakhir Oktober pada setiap tahun sebagai Hari Kanak-Kanak peringkat
kebangsaan di negara masing-masing.
Ketetapan ini satu langkah penting warga dunia untuk mengambil peduli
terhadap nasib kanak-kanak sejagat yang sewaktu itu menjadi mangsa keadaan
dunia yang baru menamatkan Perang Dunia Kedua. Sejak tarikh itu banyak usaha
dilakukan agar tahap kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak
sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.
Namun, usaha mewujudkan dunia yang selamat dan sejahtera kepada kanak-kanak
bukan suatu usaha mudah yang mampu dijayakan segelintir individu atau kumpulan
atau juga sebuah negara.
UNICEF atau United Nation Children’s Fund iaitu organisasi di bawah PBB
yang bertanggungjawab mengawal selia isu pembangunan, pemeliharaan dan
pembelaan kanak-kanak seluruh dunia menyatakan bahawa tahap kesihatan dan
kesinambungan kehidupan kanak-kanak terletak di tengah kemajuan manusia. Ini
bermakna, maju mundur golongan kanak-kanak ada kaitan langsung dengan cara
pemikiran, keputusan serta tindakan golongan dewasa. Walaupun kesedaran
mengenai perlunya membela nasib kanak-kanak telah muncul sejak awal 1946, namun
ia masih gagal menghalang ancaman terhadap golongan yang lemah ini.
40,000 mati setiap tahun
Pada 1986, UNICEF menyatakan ada 40,000 kanak-kanak yang mati pada setiap
tahun. Maknanya, sejumlah besar kanak-kanak yang sepatutnya menyambung
kehidupan generasi masa depan lenyap sekelip mata akibat kejadian kebuluran,
kekurangan zat makanan, serangan penyakit, dan konflik peperangan akibat
perbezaan ideologi dan perseteruan kaum.
Kini, walaupun UNICEF kelihatan begitu serius untuk memastikan pembangunan
manusia khasnya kanak-kanak dapat dipertahankan untuk jangka masa panjang namun
ia masih gagal menyekat kejadian peperangan dan konflik terbaru sehingga
menyebabkan kematian kebuluran dan kematian kanak-kanak berterusan.
Dalam situasi kemelesetan ekonomi kini, dikhabarkan ada satu bilion umat
manusia yang jatuh miskin dan sudah pasti kanak-kanak juga menjadi mangsa yang
terburuk. Hakikatnya, dalam dunia peperangan dan kelaparan ketika setiap
orang mengejar waktu untuk hidup, maka kanak-kanak sering terkebelakang dari
segi keutamaan atau hak.
Kanak-kanak dipaksa menggalas senjata
Malah lebih buruk lagi, bukti menunjukkan terdapat kanak-kanak yang dipaksa
menggalas senjata untuk menjadi pembunuh atas kepercayaan untuk mempertahankan
maruah dan kepentingan.
Sesetengah pemimpin dan orang berpengaruh di rantau yang bergolak menipu kanak-kanak
dengan menghulur sebuku roti yang berlapikkan pisau di tangan kanan dan memaksa
kanak-kanak ini pergi ke ‘medan perang’ atas nama perjuangan, sedangkan di
tangan kirinya telah terhunus sepucuk pistol yang akan memecahkan kepala
kanak-kanak ini sekiranya mereka enggan menurut perintah.
Kanak-kanak ini membesar dengan kepercayaan palsu bahawa mereka adalah
pejuang tulen yang sama taraf seperti watak ‘Rambo’ dalam paparan perang
Amerika melawan Vietnam. Istilah kemanusiaan, kasih sayang, simpati dan
kesakitan dalam diri kanak-kanak malang ini amat jauh sekali maknanya dengan
piagam PBB terhadap kanak-kanak seperti yang dipersetujui oleh keseluruhan
negara anggotanya.
Kanak-kanak di Malaysia lebih baik
Suasana dan persekitaran yang wujud untuk kanak-kanak di Malaysia pastinya
jauh lebih baik berbanding paparan yang dinyatakan di atas. Sebahagian besar
kanak-kanak di Malaysia dilahirkan dalam suasana yang menggembirakan. Kekuatan
institusi sosial yang berasaskan nilai kekeluargaan dan ditambah lagi dengan
sokongan prasarana kesihatan yang baik menjadikan kelahiran bayi yang selamat
serta sihat amat tinggi di negara ini.
Namun, kita tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian yang ada ini.
Memahami bahawa negara masih menghadapi cabaran pembangunan yang masih belum
sekata dengan pelbagai aspek perbezaan sosioekonomi serta demografi, maka
adalah penting buat kita semua menjadikan aspek pemeliharaan, perlindungan
serta pemulihan kanak-kanak sebagai keutamaan kita. Perlu lebih banyak
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diwujudkan untuk memantau dan memperjuangkan
isu ini pada setiap sudut kehidupan.
Masih ramai kanak-kanak yang yang terpaksa berpisah dengan induk keluarga
atas masalah yang ditimbulkan oleh orang dewasa. Perceraian ibu bapa sering
menjadikan kanak-kanak mangsa keadaan yang menjejaskan keseluruhan kualiti
hidup. Masih ramai kanak-kanak (khasnya anak-anak yatim) kita yang terkeliru di
antara paksaan untuk mencari dana pengajian agama di madrasah dengan makna
tanggungjawab memenuhi tuntutan sebagai penganut yang taat.
Amatlah malang seorang anak yatim yang ditetapkan haknya sebagai asnaf
sepatutnya dilindungi umat Islam terpaksa menghabiskan sebahagian usia remaja
dengan menjadi peminta sedekah.
Penulis ialah ialah Presiden Majlis Belia Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan