KUALA LUMPUR 20 Nov. - Tan
Sri Muhyiddin Yassin berkata, bakal guru perlu dilatih untuk menjadi seorang
pemikir dan berupaya menyelesaikan masalah serta berfikiran sebagai seorang
usahawan.
Timbalan Perdana Menteri
menjelaskan, langkah itu penting dalam usaha untuk melahirkan guru yang
memiliki kemahiran abad ke-21 dan melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.
"Saya berharap guru-guru
akan sentiasa menunjukkan dan mengamalkan pemikiran yang kreatif dan berfikir
sebagai seorang usahawan.
"Pemikiran yang kreatif,
pemikiran yang 'luar biasa' dan 'berfikir di luar kotak' merupakan pemikiran
yang mampu melahirkan senario baharu yang lebih dinamik dan mencabar serta
berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja pada suatu masa nanti," katanya
berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Institut Pendidikan Guru Dalam
Pembelajaran dan Pembangunan Guru di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua
Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Wan Khazanah Ismail dan Rektor Institut
Pendidikan Guru Malaysia, Datuk Dr. Haili Dolhan.
Beliau yang juga Menteri
Pelajaran memberitahu, dengan lahirnya insan berfikiran kreatif, Malaysia tidak
lagi bergantung sepenuhnya kepada firma asing dan mereka sudah tentu dapat
memenuhi peluang dan harapan dalam pelbagai situasi bagi menjamin kehidupan
yang lebih baik.
Kata Muhyiddin, guru-guru
seharusnya berkemampuan serta mempunyai kemahiran untuk menyelesaikan pelbagai
masalah yang bukan sahaja dihadapi oleh murid, malah dalam kalangan masyarakat
pelbagai latar belakang.
Menurut beliau, cabaran dan
masalah dalam kehidupan ini perlu diselesaikan dengan cara yang berbeza kerana
setiap manusia mempunyai kaedah penyelesaian berbeza.
"Walau siapapun kita, sama
ada seorang ustaz, ustazah, guru, mentor atau sebagainya, kita perlu memiliki
keupayaan untuk menyelesaikan sebarang masalah.
"Mereka yang memiliki
kemahiran seperti ini merupakan golongan insan yang sangat diperlukan oleh
mana-mana organisasi," ujarnya.
Muhyiddin berkata, pendidik
bertanggungjawab memastikan generasi akan datang bukan sahaja menguasai
pengetahuan tetapi juga berupaya memiliki kemahiran berfikir aras tinggi dan
berkemahiran memimpin dalam pelbagai situasi.
"Selain itu, kita juga perlu
memastikan para pelajar yang menamatkan persekolahan boleh bertutur menggunakan
pelbagai bahasa dan memiliki keperibadian yang seimbang dan harmonis
sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan,"
jelasnya.
Sumber : http :
//www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan