Selasa, 20 November 2012

ISU SOSIAL : Bersama berjihad memerangi rasuah


Oleh : DR AMINUDIN MANSOR

Rasuah adalah jenayah paling berbahaya dalam masyarakat dan negara. Jika gejala ini tidak diperangi secara serius rakyat dan negara akan hancur.

Amalan tidak baik iaitu rasuah menyebabkan seseorang itu sentiasa tamak, tidak pernah berasa cukup dengan apa yang ada dan tidak jujur dalam melaksanakan pekerjaan.

Justeru, rasuah jangan hanya dijadikan isu politik, tetapi semua pihak harus memandang jijik perbuatan ini dan membanterasnya.

Semua agama dan bangsa di dunia ini benci akan perbuatan rasuah yang merupakan penyakit masyarakat jika dibiarkan.

Perbuatan ini bukan sahaja keji tetapi amat dikutuk oleh ALLAH SWT. Justeru, orang yang kaya kerana hasil rasuah sering berasa tidak tenang dan diburu oleh kebimbangan dan ketakutan dalam kehidupannya.

Penegak hukum yang tegas dan adil dapat membanteras rasuah yang boleh meruntuhkan akhlak, kerukunan hidup masyarakat dan kekuatan sesebuah negara. Hukuman yang berat dapat mengelakkan rasuah dalam kalangan mereka yang mengamalkannya.

Kamus Dewan mendefinisikan rasuah sebagai pemberian (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (dulu diberi wang dari belakang ikut rusuk) juga dikenali wang “bawah meja” kini (sogok, dan suapan).

Jika dahulu perkataan tumbuk rusuk amat dibenci oleh masyarakat. Kini ia umpama penyakit yang menular secara senyap dalam masyarakat. Kini rasuah bukan hanya dalam bentuk wang malah segala kesenangan, kemewahan, hiburan dan keseronokan yang ditawarkan oleh pihak pemberi rasuah.

Agama Islam memberi amaran dengan azab yang amat pedih kepada individu yang terlibat dengan jenayah rasuah melalui sabda Rasulullah SAW: “Orang yang memberi rasuah dan menerimanya (akan dilemparkan) ke dalam api neraka di akhirat kelak”.

“Akan datang bagi manusia suatu zaman di mana orang tidak peduli apakah harta yang diperolehnya halal atau haram.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Dalam masyarakat yang mementingkan kebendaan, rasuah sangat sukar dikesan dan sangat rumit untuk diatasi. Ini disebabkan ia melibatkan beberapa individu tertentu sahaja dan dilakukan secara sulit dan terancang.

Justeru, pemberi rasuah harus faham bahawa perbuatannya itu adalah terkutuk dan penerima rasuah harus ingat wang diterima adalah haram untuk diri, anak-anak dan keluarganya.

Sementara itu, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya tentang harta yang diperoleh secara tidak halal, “Orang yang paling dirundung penyesalan pada hari kiamat ialah orang yang memperoleh harta dari sumber yang tidak halal lalu menyebabkannya masuk neraka”.

Jelaslah orang dan harta yang diperoleh daripada hasil rasuah adalah haram. Oleh itu, semua pihak mesti berusaha memainkan peranan yang tegas dalam memerangi gejala rasuah.

Orang ramai khususnya ahli masyarakat boleh menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa di peringkat bawahan yang telah dilantik untuk memerangi rasuah untuk memberi laporan segera tentang perbuatan rasuah yang diketahuinya.

Tindakan tegas mestilah diambil tidak mengira, sama ada orang yang berkuasa dan orang bawahan mestilah menerima hukuman setimpal.

Jihad memerangi gejala rasuah ini mestilah dilakukan melalui pendidikan di sekolah melalui mata pelajaran Agama Islam dan Pendidikan Moral, seminar dan penerangan jihad.

Melalui didikan dan kesedaran kepada pelajar, gejala rasuah yang dapat dikaitkan sebagai ‘najis rasuah’ dapat dibendung supaya tidak memusnahkan masyarakat dan negara.

Selain guru-guru, ibu bapa juga boleh mendidik anak-anak mereka tentang kejijikan gejala rasuah ini kepada kehidupan generasi akan datang.

Tentang didikan anak-anak ini Rasulullah SAW bersabda; “Tiadalah yang lebih utama yang dibisikkan oleh seorang ayah kepada anaknya selain daripada akhlak yang baik”. (Hadis riwayat Tarmizi).

* Penulis pengamal media. Phd Persuratan Melayu, UKM.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan