Oleh : Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
ENTAH mengapa, masyarakat kurang
memahami peranan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sebagai penyokong
terhadap sistem pendidikan tinggi negara yang semakin berkembang.
Dengan kewujudan hanya 20
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sedia ada, tentu tidak mencukupi
menampung permintaan kemasukan tinggi saban tahun.
Malangnya, peranan serta kesudian
IPTS berkongsi memikul tanggungjawab itu untuk membolehkan pelajar memperoleh
akses pendidikan menyeluruh ada kalanya seperti tidak dihargai.
IPTS dianggap sebagai institusi
yang hanya layak untuk mereka yang keciciran dalam akademik selain tidak gah
pencapaiannya seperti institusi pendidikan tinggi awam.
Lebih tidak adil, apabila
pelajarnya dikatakan hanya layak memegang kategori pelajar kelas kedua biarpun
pencapaian mereka juga cemerlang setanding IPTA.
Benarkah tanggapan itu? Atau
hanya pandangan masyarakat yang masih dibelenggu tanggapan lapuk terhadap
fungsi dan peranan IPTS sebagai sebahagian akses sistem pendidikan terkini?
Bekas mahasiswa sebuah IPTS di
Selangor, Nur Jeehan Md Nasir, 21, berkata tanggapan bahawa IPTS adalah
institusi kelas kedua atau hanya untuk mereka yang gagal semata-mata adalah
kenyataan tidak beretika serta berat sebelah.
Menurutnya, semua institusi
berperanan sebagai wadah penyampaian ilmu dan pelajar pula sebagai aset bagi
meneruskan kesinambungan itu.
“Malangnya soal taraf atau
kemampuan institusi sering kali dijadikan perbandingan sedangkan ilmu boleh
dituntut di mana jua.
“Apakah kerana kami graduan IPTS,
kami dianggap kelas kedua dan tidak mempunyai kelayakan atau keupayaan seperti
graduan IPTA?” katanya.
Sikap terburu-buru masyarakat
yang mudah melabelkan pelajar IPTS sebagai mereka yang kurang bijak atau
tercicir dalam pelajaran masih tidak berubah.
Biarpun diakui pertumbuhan ribuan
IPTS kini menjadi petunjuk bahawa kemudahan serta akses memperoleh pendidikan
semakin terbuka luas, masih ada yang skeptikal dan hanya mengagungkan IPTA
sebagai satu-satunya institusi memperoleh pendidikan tinggi.
Natijahnya, ada segelintir pihak
mendiskriminasi dan mempersoalkan kemampuan graduan IPTS sekali gus menjadikan
mereka mangsa keadaan dan ketidakadilan.
Alasannya, mereka dikatakan tidak
kompetitif, tidak mempunyai pengiktirafan kelayakan segah institusi yang
mempunyai nama.
Dia tidak menyangkal tanggapan
itu tapi menyamakan kemampuan graduan tanpa memberi peluang mereka membuktikan
terlebih dulu dianggap kurang profesional.
“Apa kurangnya kami kerana modul
yang dipelajari juga hampir sama. Yang membezakan cuma lokasi.
“Justeru, mengapa kami perlu
dianaktirikan? Diskriminasi seperti ini cukup ‘kejam’ kerana kami dicantas
sebelum diberi peluang membuktikan kemampuan,” katanya.
Berkongsi pengalaman, dia
terpaksa menempuh sengsara apabila mengambil keputusan melanjutkan pengajian di
IPTS biarpun mempunyai kelayakan untuk memasuki IPTA.
“Saya tidak menyangkal ada suara
sumbang mengatakan tindakan itu seperti menempah bala sedangkan keputusan akademik
saya baik.
“Saya ada sebab tersendiri
mengapa memilih IPTS dan tidak pernah kesal memilihnya. Pada saya tempat dan
taraf bukan penentu kejayaan.
“Malah, saya bangga dengan
keputusan itu kerana hasil penat lelah mengulang kaji, akhirnya berjaya muncul
antara pelajar terbaik. Taraf institusi tidak boleh menghalang kejayaan,”
katanya yang percaya menuntut ilmu boleh dilakukan di mana - mana.
“ Yang penting kemahuan, usaha
keras dan matlamat. Jika tiada, di institusi terbaik dunia pun kita tidak boleh
berjaya,” katanya.
Rakannya, Yulieane Asy Syafieqah
Yaacub, 21, juga mempersoalkan mengapa taraf institusi perlu dijadikan modal
untuk masyarakat membuat perbandingan.
Menurutnya, sewaktu mengambil keputusan untuk melanjutkan
pengajian di IPTS, ramai kurang bersetuju dan memandang serong selain
menganggapnya tergolong kategori pelajar lemah akademik.
“Saya pelik pada mereka yang
mempunyai pandangan demikian. Walaupun jika benar keputusan akademik kurang
baik, apakah salah jika ingin melanjutkan pengajian di IPTS.
“Pendapat saya belajar di mana
pun tetap sama, kita yang menentukan sama ada mahu berjaya atau sebaliknya,”
katanya yang membuktikan keputusannya memilih IPTS sebagai destinasi pertama
mencambah ilmu di peringkat tinggi tidak sia - sia.
“Saya kini lebih bangga kerana
mampu membuktikan keputusan melanjutkan pengajian di situ tidak salah. Saya
berjaya menjadi pelajar terbaik dan kini menjejakkan kaki di IPTA.
“ Institusi dulu mungkin tidak
terkenal seperti yang lain, namun di situlah tempat saya belajar berdikari.
Pendapat saya, IPTA atau IPTS, semuanya sama.
“Yang penting keinginan untuk
berjaya. Justeru janganlah skeptikal kerana di sini juga kami mampu berjaya,”
katanya yang kini juga melanjutkan pengajian tahun pertama di sebuah IPTA awam.
Manakala Zurani Said, 25, juga
mengakui dia tersinggung dengan tanggapan pelajar IPTS sebagai kelas kedua.
Menurutnya, jika dulu diakui IPTS
sebagai tempat mereka kurang berjaya, kini sentimen sudah berubah.
“Malah majikan juga tidak memilih
graduan institusi tertentu untuk menawarkan pekerjaan kerana apa yang penting
ada kemahiran tambahan.
“Kami juga ada kelebihan itu.
Jadi apa yang membezakan kami dengan pelajar IPTA?,” soalnya.
Mengenai kehidupan bebas yang
dikatakan sering berlaku di IPTS, dia berkata semuanya bergantung pada diri
sendiri selain boleh berlaku di mana- mana saja.
“ Apa kaitan IPTS dengan masalah
ini? Apakah bermakna belajar di sini, kami bebas melanggar peraturan?
“ Silap masyarakat kerana mudah
memberi penafsiran. Saya tidak nafikan, ada pelajar begitu namun tidak adil
menganggap semuanya rosak kerana beberapa isu.
“Apakah pelajar IPTA tidak
terjebak dengan pelbagai masalah? Di mana-mana jua jika tersalah langkah memang
buruk akibatnya,” katanya.
Dia bagaimanapun mengakui,
pelajar IPTA lebih beruntung kerana menikmati pelbagai kemudahan seperti
penginapan juga pembayaran yuran lebih rendah.
“Mereka beruntung berbanding kami
yang ada kalanya terpaksa mengikat perut semata-mata untuk memastikan keperluan
belajar mencukupi. Segala kemudahan sudah disediakan.
“Bagaimanapun, dari aspek
berdikari, semuanya sama. Belajar di mana-mana pun akan mengajar pelajar
berdikari dan menentukan hala tujuan hidup sendiri,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan