MELBOURNE 11 Nov. - Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap lebih banyak universiti di
Malaysia mampu berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh
lima tahun lagi.
Beliau berkata, sistem pendidikan
tinggi negara bergerak pada landasan yang betul dengan Kementerian Pengajian
Tinggi memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada universiti-universiti
terlibat bergerak bagi mencapai sasaran tersebut.
"Tidak betul kalau ada
tanggapan kata, kita tidak bergerak di landasan yang betul. Ada tetapi terlalu
perlahan. Jadi kita kena lebih pantas dalam hal ini" katanya pada sesi
dialog dengan para pelajar dan profesional rakyat Malaysia di Melbourne sempena
lawatan kerja sembilan hari beliau ke Melbourne, Brisbane dan Gold Coast di
sini hari ini.
Yang turut hadir ialah isteri
beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi
Lek dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad.
Menurut Muhyiddin, kerajaan sudah
tentunya mahu mewujudkan sistem pendidikan terbaik bagi sekolah, kolej dan
universiti dan usaha gigih itu telah berterusan sejak beberapa tahun lalu bagi
memastikan Malaysia berada dalam kelompok terbaik dunia.
Timbalan Perdana Menteri yang
juga Menteri Pelajaran memberitahu, walaupun masih jauh ketinggalan berbanding
universiti-universiti ternama dunia seperti Monash University, Malaysia tidak
pernah berputus asa berusaha bagi mencapai cita-cita itu.
Menurut Muhyiddin, dakwaan
mengatakan institusi pengajian tinggi tempatan tidak setaraf dengan
universiti-universiti di luar negara juga tidak tepat kerana ada pelajar
Malaysia memilih belajar di universiti luar negara kerana mereka tidak mencapai
kelulusan yang disyaratkan.
"Pelajar-pelajar ini memilih
universiti luar negara kerana mereka tidak layak dan tidak mendapat tempat di
universiti tempatan dan universiti luar negara yang dipilih itu pula bukan yang
terbaik.
"Kalau kita nak kata semua
yang baik berada di luar dan universiti kita tidak setaraf juga tidak
betul," tegasnya.
Menurut Muhyiddin lagi, era yang
mengatakan pendidikan berkualiti hanya mampu ditawarkan di luar negara sudah
berlalu.
Katanya, akan tiba era yang mana
anak-anak tempatan tidak lagi memilih universiti luar negara untuk menyambung
pelajaran sebaliknya lebih berminat dengan universiti tempatan.
"Jangan terkejut suatu hari
nanti anak-anak kita kata, kenapa saya perlu ke universiti luar sedangkan saya
boleh belajar di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malayia atau
'Universiti Pagoh'," katanya."
Timbalan Perdana Menteri menambah
kata, bagi tujuan itu kerajaan bukan sahaja menyediakan pendidikan terbaik bagi
peringkat sekolah rendah dan menengah tetapi juga bagi pendidikan tinggi.
"Universiti kita mesti
berada dalam kelompok 100 terbaik. Kita sedang berusaha mencapainya secara
perlahan-lahan," katanya.
Muhyiddin berkata, pada masa ini
lebih ramai penuntut asing memilih untuk belajar di Malaysia malah ada juga
rakyat Australia datang ke institusi pengajian tinggi di Malaysia kerana kos
pengajiannya lebih murah.
Muhyiddin juga mahu lebih ramai
rakyat Malaysia belajar di tanah air berikutan perkembangan teknologi yang
membolehkan pengajian peringkat universiti dan kolej dijalankan menerusi online
atau secara jarak jauh.
Menurut Timbalan Perdana Menteri,
sejak tahun lalu kerajaan memperkenalkan dasar baru yang membolehkan lebih
banyak biasiswa diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk menyambung
pengajian di dalam negara.
Mereka katanya, hanya akan
dihantar ke luar negara jika bidang pengajian yang dikuti tidak ditawarkan oleh
institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara.
"Pada ketika kita menghantar
pelajar belajar di luar negara, kita juga mahu lebih ramai pelajar luar datang
melanjutkan pelajaran ke negara kita bagi menjadikan Malaysia sebagai hab
pendidikan," kata beliau. - UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan