Oleh : Mior Kamarul Shahid
Setiap tahun, kira-kira 7,000 nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya
di Malaysia. Berpuluh ribu pengguna jalan raya menderita akibat pelbagai bentuk
kecederaan. Sebahagian besar berpunca daripada kerakusan pemandu kenderaan,
mungkin kerana memandu terlalu laju, memotong sesuka hati dan pelbagai
kesalahan melanggar peraturan lalu lintas. Selain faktor pemandu dan kenderaan,
kemalangan juga sering berlaku di kawasan tertentu disebabkan pelbagai faktor
seperti keadaan jalan, cuaca dan sebagainya. Dilihat daripada lokasi kemalangan
ngeri, sebahagiannya berlaku di tempat yang sama.
Di lokasi inilah kebanyakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dipasang
bagi mengelak kemalangan jalan raya yang meragut nyawa. Mereka mungkin anak,
ibu, bapa, adik dan abang, kawasan rapat, isteri atau suami serta rakan.
Setakat ini, usaha mencegah kemalangan tidak pernah berjaya. Pelbagai inisiatif
kempen mencegah kemalangan berakhir dengan jumlah kemalangan yang meningkat.
Terbaru, AES diperkenalkan semata-mata untuk membendung kematian yang tidak ada
kesudahannya. Seperti sering diperkatakan, lebih ramai orang mati di jalan raya
daripada di medan perang.
Dalam isu AES, banyak rungutan didengar daripada pelbagai pihak sama ada
pengguna jalan raya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Mereka
yang tidak ada kenderaan juga marah setelah mendengar tentangan pelbagai pihak.
AES menimbulkan kemarahan kerana ia memerangkap pemandu kenderaan yang
melakukan kesalahan. Kamera yang dipasang di kawasan tertentu merakam segala
kesalahan dilakukan pemandu termasuk memandu melebihi had, memotong sebelah
kiri dan melalui lorong kecemasan. Denda maksimum bagi setiap kesalahan ialah
RM300. AES bukan dipasang untuk memerangkap pengguna jalan raya. Berbeza dengan
cara dilakukan terhadap mereka yang memandu laju khasnya oleh polis trafik yang
menggunakan kamera perangkap laju. Kadang-kadang dilihat polis trafik
bersembunyi di dalam semak atau di bawah jambatan bagi memerangkap mereka yang
tidak takut mati. Tujuannya untuk memberi amaran kepada pemandu supaya mematuhi
had kelajuan kerana mereka mungkin dikenakan saman di mana-mana saja jika
melanggar peraturan lalu lintas.
AES pula dibuat secara terang-terang. Kamera diletakkan di tempat statik
dan setiap lokasi yang akan menempatkan kamera AES dimaklumkan kepada orang
ramai di media, laman web dan sebagainya. Ia juga boleh diketahui menerusi GPS
ketika menghampiri kawasan AES. Maknanya, sesiapa saja melalui kawasan
berkenaan boleh bersiap sedia jika tidak mahu disaman. Mungkin ada pengguna
yang sudah mendapat banyak saman di 14 kawasan AES sejak dimulakan 23 September
lalu tetapi ada juga pengguna yang lebih kerap menggunakan jalan yang sama
tetapi tidak pernah sekali pun mendapat saman. Ia membezakan sikap seseorang
pengguna jalan raya dengan yang lain. Kalau pengguna marah kerana disaman, ia
sesuatu yang biasa. Jika tidak mahu disaman, mereka perlu berhemah di jalan
raya.
Setakat ini 89,000 saman dikeluarkan hanya di 14 kawasan AES. Bayangkan
jika semua 831 kawasan AES dikuatkuasakan kemudian. Ini menunjukkan masih ramai
yang melanggar peraturan jalan raya. Tanpa AES mungkin jumlah itu berkali ganda
lebih besar.
Ikut hukum akal, tidak ada sesiapa boleh diperangkap oleh sistem ini. Setiap
dua kilometer sebelum sampai ke kawasan itu pengguna sudah dimaklumkan menerusi
tanda jalan bahawa di depan mereka ada kamera dan satu kilometer kemudian satu
lagi tanda jalan memberitahu di depan mereka ada kamera AES dan 500 meter
sebelum tiba di kawasan kamera, mereka dimaklumkan sekali lagi. Kalau masih ada
yang melakukan kesalahan, mereka sengaja mencari masalah. Mungkin pada masa ini
ada kelemahan dari segi saiz penanda amaran atau ia diletakkan di tempat yang
tidak sesuai seperti terlindung dan sebagainya menyebabkan pengguna terlepas
pandang. Ini perlu diperbaiki bagi mengelak ia dianggap sebagai perangkap.
Matlamat AES baik tetapi disebabkan dikaitkan dengan isu politik, semuanya
menjadi kelam kabut, tambahan pula ia dianggap sebagai keputusan yang tidak
bijak menjelang pilihan raya. Lagi lewat dilaksanakan, mungkin banyak nyawa
yang melayang, mungkin dalam kalangan saudara mara kita. Tidak mustahil dengan
AES, ada nyawa sudah dapat diselamatkan kerana mereka lebih beringat ketika
melalui jalan itu. Di negeri dikuasai pembangkang, janganlah mempolitikkan isu
ini kerana tujuannya untuk menyelamatkan nyawa manusia.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan