Oleh : Jami'ah Shukri
Objektif utama penubuhan rumah
jagaan wanita adalah untuk memberi perlindungan dan membantu memulihkan golongan
bermasalah membabitkan gadis terlanjur, mangsa rogol, sumbang mahram, wanita
teraniaya, mangsa penderaan, masalah akhlak atau kes lain berkaitannya.
Dengan perubahan hidup dan
pelbagai masalah sosial pada zaman ini seperti mengandung anak luar nikah dan
kemudian membuang bayi di longkang, di sungai, di masjid, tong sampah atau dibunuh
dengan membalingkan daripada bangunan tinggi, bukan lagi kes terpencil.
Statistik sehingga Jun tahun ini
saja sebanyak 31 kes dicatatkan berkaitan kes pembuangan bayi. Jika dilihat di
hospital utama pula jumlah remaja hamil luar nikah pula mencatat
sekurang-kurangnya satu kes setiap hari.
Mengikut statistik Kementerian
Kesihatan pula merekodkan kira-kira 18,652 kelahiran remaja berusia di bawah 19
tahun, tahun lalu.
Dasar langit terbuka menjadikan
semuanya semakin mudah dan mempengaruhi kehidupan sosial remaja dilihat semakin
meruncingkan dan amat menakutkan kita dan sekiranya tiada langkah lebih
berkesan diambil boleh pincang institusi masyarakat.
Peranan kerajaan, institusi
pendidikan, badan agama, badan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa penting bagi
mengekang gejala keruntuhan sosial memang perlu untuk membendungnya ke tahap
maksimum menerusi pelbagai perancangan serta pendekatan.
Namun bagi sesetengah kes yang
sudah terlanjur mengandung umpamanya, pasti ia memerlukan tempat bersesuaian
kerana bukan semua ibu dan masyarakat memberikan sokongan. Tambah pula ibu bapa
selalunya tidak mahu menanggung malu mempunyai anak berantakan dan hamil luar
nikah.
Banyak pusat jagaan
Justeru, kewujudan pusat jagaan
dan perlindungan remaja serta wanita amat relevan bagi memberi harapan baru
kepada golongan itu meneruskan hidup dengan lebih baik dan berkeyakinan, selain
mengekang mereka daripada melakukan perkara di luar jangkaan seperti menggugurkan kandungan atau
membunuh diri kerana malu atau takut dimarahi ibu bapa.
Kini banyak pusat jagaan wanita
ditubuhkan sama ada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau
pusat perlindungan persendirian dikendalikan orang perseorangan yang mendapat bantuan
dan derma daripada orang ramai atau badan tertentu.
Ada individu dimasukkan di pusat
jagaan itu disebabkan perintah mahkamah atas kesalahan jenayah syariah seperti
melakukan persetubuhan haram dan sebagainya manakala ada individu secara sukarela dihantar
ibu bapa untuk mendapatkan perlindungan disebabkan anaknya mengandung anak luar
nikah dan mahu menjalani pemulihan akhlak menerusi program yang disediakan.
Sejauh mana penubuhan pusat jagaan itu
menepati objektifnya? Sejauh mana pemantauan dilakukan ke atas semua rumah
jagaan atau perlindungan berkenaan (terutama di bawah seliaan pihak swasta) dari
aspek keberkesanan aktivitinya, keselesaannya dan sebagainya?
Kes Pusat Jagaan Kebahagiaan
Wanita dan Remaja (KEWAJA), di Jalan Sungai Mulia, Setapak, diserbu selepas
mendapat aduan daripada penghuni yang melarikan diri kerana mendakwa hidup
ibarat dalam 'neraka' terpaksa berhimpit-himpit dalam sebuah rumah teres satu
tingkat itu wajar dijadikan penanda aras terhadap keberkesanan penubuhan pusat
sebegitu.
Bayangkan rumah yang selayaknya
menempatkan 28 penghuni, tetapi sudah diisi dengan 69 orang ternyata amat tidak
masuk akal dan pasti tidak selesa. Tambah pula ia dihuni 42 wanita mengandung,
19 ibu sedang berpantang dan tujuh penghuni bermasalah serta seorang bayi
perempuan berusia lima bulan.
Realiti kehidupan
Ini bukan drama atau filem
rekaan, sebaliknya realiti kehidupan sebenar. Mereka bukan pendatang haram
warga asing. Remaja tempatan ini datang ke situ bukannya percuma, tetapi
mendakwa perlu membayar pendaftaran RM2,000. Namun, apa timbal balas diperoleh
penghuni?
Pengusaha pusat ini perlu lebih
prihatin bukannya cuma ingin menangguk di air keruh, mengambil kesempatan atas
keadaan terdesak mangsa dengan menyumbat mereka semahunya.
Lebih keji lagi, semua wanita
berusia antara 14 hingga 30 tahun itu mendakwa dipaksa menyerahkan bayi mereka
kepada keluarga angkat, selain tidak dibenarkan menghubungi ibu bapa dan diberi
layanan buruk.
Apa sebenarnya dilema pengusaha
itu? Sudah ditubuhkan 24 tahun lalu tapi masih beroperasi secara haram.
Pengusaha mendakwa pernah memohon lesen tetapi ditolak kerana tidak memenuhi
syarat. Tetapi terus juga beroperasi dan mendapat sambutan menggalakkan.
Mengapa JKM membiarkan operasinya
berlarutan selama itu sedang mereka ada laman web lengkap dengan mengiklan
perkhidmatan mereka. Mungkinkah JKM hanya 'tutup mata' dan tidak memantau
operasi dan program disediakan.
Serbuan ke pusat jagaan wanita itu
adalah 'peringatan' kepada JKM dari segi keberkesanan mereka memantau premis
sedemikian. Bagaimana pula status banyak lagi pusat jagaan dan perlindungan
wanita di seluruh negara? Adakah pusat yang berlesen bagus dari segi
pentadbiran, pengurusan, penyelenggaraan dan programnya?
Apa yang dikhuatiri pusat
seumpama ini hanya dijadikan tempat perlindungan sementara kepada penghuni untuk
melarikan diri daripada malu akibat masalah sosial atau tempat pemerdagangan
manusia.
Pemeriksaan berkala oleh JKM
dapat memastikan pusat terbabit menjadikan premis ini sebagai pusat melahirkan
generasi yang sudah sesat kembali ke pangkal jalan. Menjadikan mereka insan
berwawasan dan berkeyakinan. Banyak program bermanfaat yang dirangka seperti
kem motivasi, kaunseling, bimbingan dan kelas agama serta latihan kemahiran
dalam pelbagai bidang mampu insan yang berjiwa baru dan kental.
Kita tidak mahu masyarakat hilang
kepercayaan terhadap kredibiliti pusat berkenaan kerana sebahagian besar datang
ke situ adalah untuk penambahbaikkan dalam kehidupan. Ia tidak adil kepada
sebilangan pusat jagaan wanita yang cemerlang menepati misi penubuhannya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan