Oleh : Zin Mahmud
Sasterawan Indonesia terkenal
yang novelnya dalam tahun 70-an menjadi buku teks di Malaysia, Pramoedya Ananta
Toer pernah ditanya mengapa beliau menulis dalam bahasa Melayu dan bukannya
Jawa.
Persoalan itu timbul kerana
ketika beliau mula menulis, pada masa itu bahasa Melayu belum mantap sebagai
Bahasa Indonesia.
Oleh sebab Pramoedya adalah orang Jawa dengan bilangan
penutur bahasa itu sangat tinggi, jauh lebih banyak daripada pengguna bahasa
Melayu, maka sewajarnya beliau menulis dalam bahasa ibundanya.
Tambahan pula bahasa Jawa
mempunyai tradisi kesusasteraan yang tinggi dan kompleks, maka untuk memilih
Jawa sebagai bahasa penulisan, maka ia dapat difahami.
Lebih-lebih lagi dengan Pramoedya
mahu menulis kepada pembaca dalam kalangan penduduk ramai, maka memilih Jawa
sebagai bahasa penulisannya juga bukanlah sesuatu yang pelik.
Namun, jawapan beliau terhadap
soalan itu menunjukkan bahawa memilih Melayu sebagai bahasa penulisannya adalah
kerana pegangannya terhadap fahaman kesaksamaan antara manusia.
Ini kerana menurutnya bahasa Jawa
mempunyai pelbagai lapis dan sesuai untuk masyarakat yang mempunyai banyak
kelas dan kasta. Bahasa yang dituturkan oleh mereka yang berkelas rendah
berbeza dengan peringkat di atas. Begitu juga apabila seseorang di peringkat rendah
bercakap pada orang yang berpangkat lebih tinggi. Begitu juga dengan orang yang
berkedudukan lebih tinggi bercakap pada mereka yang lebih rendah. Semuanya
menggunakan bahasa yang berbeza.
Lantaran itu, menurut Pramoedya
beliau memilih untuk menulis dalam, bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu
bersifat kesaksamaan atau egalitarian. Semua penutur bahasa Melayu
adalah setaraf. Walaupun dalam penggunaan bahasa, tentunya ada cara yang
bersopan.
Sememangnya bahasa Melayu
mempunyai banyak ciri istimewa yang mendorong banyak orang menjadikannya
sebagai bahasa mereka. Sifatnya yang mudah, kesaksamaan dan boleh lentur
menjadikan bahasa Melayu diterima sebagai bahasa perantara di wilayah kepulauan
Asia Tenggara mulai dari zaman Sri Wijaya lagi. Sedangkan pada asalnya bahasa
ini bermula dari sebuah kerajaan kecil Hindu-Buddha bernama Malayu di hulu
Sungai Batanghari, Jambi, Sumatera.
Pada zaman Kesultanan Melaka,
bahasa Melayu mula menggunakan tulisan jawi. Apabila Belanda menguasai Sumatera
dan Jawa, mereka memilih Melayu sebagai bahasa pentadbiran penjajahan kerana
kegagalan pegawai-pegawai peribumi menguasai bahasa Belanda dengan baik.
Maka mulai tahun 1896,
diperkenalkanlah tulisan rumi bagi bahasa Melayu untuk Hindia Timur. Pada tahun
1901, bahasa Melayu Hindia Timur mengambil ejaan Van Ophuijsen. Sedangkan di
Tanah Melayu, ejaan rumi yang diperkenalkan dibuat oleh Wilkinson pada tahun
1904. Inggeris juga mengambil Melayu sebagai bahasa pentadbiran penjajahannya.
Penjajah
Tetapi ironinya, usaha penjajah untuk
meluaskan bahasa Melayu di Hindia Belanda menjadikannya bahasa perjuangan
kemerdekaan.
Belanda telah melancarkan progran
Taman Pustaka yang memperlihatkan penubuhan 700 perpustakaan dalam masa dua
tahun di seluruh tanah jajahannya. Ini semua membantu perkembangan bahasa
Melayu.
Maka tidak hairanlah pada 28
Oktober 1928, Muhammad Yamin mengusulkan bahasa Melayu menjadi Bahasa
Indonesia. Kongres menyetujui pemilihan bahasa Melayu dan bukannya Jawa
walaupun ada sebahagian peserta kongres itu tidak mengetahui bahasa Melayu.
Golongan elit dan terpelajar masa itu menggunakan bahasa Belanda,
Maka sejak itu, bahasa Melayu
menjadi Bahasa Indonesia. Ia bukan semata-mata bahasa perantara dan penyatuan,
tidak kurang pentingnya ia adalah bahasa kesaksamaan. Dengan menggunakan bahasa
Indonesia, seluruh rakyatnya adalah setaraf. Tidak seperti pada zaman
penjajahan di mana golongan elit menggunakan bahasa Belanda, dan golongan
feudal di Jawa menggunakan bahasa bangsawan.
Ketika Indonesia mengisytiharkan
kemerdekaan pada tahun 1945, Tanah Melayu masih dijajah.
Tetapi angin kemerdekaan sampai
juga ke Singapura dan Tanah Melayu. Buku-buku sastera Indonesia termasuk
tulisan Pramoedya sampai juga ke kedai-kedai buku dan perpustakaan di Singapura
dan Tanah Melayu.
Maka lahirlah juga
penulis-penulis Melayu. Di Singapura, mereka menubuhkan Angkaran Sasterawan 50
(ASAS 50). Mereka mengadakan Kongres Bahasa dan menyediakan memorandum
resolusi. Memorandum ini dijadikan buku dan diterbitkan oleh Oxford Universiti
Press Singapura.
Antara isi memorandum itu ialah
menuntut supaya bahasa Melayu bertulisan rumi dijadikan bahasa kebangsaan.
Ternyata apabila Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan.
Maknanya pada tahun 1957, dua
negara di dunia mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Tetapi di Indonesia, ia sudah
tidak dikenali sebagai bahasa Melayu tetapi dinamakan Bahasa Indonesia.
Penggunaan nama Bahasa Indonesia ini penting supaya semua warganegara Indonesia
yang kebanyakan bahasa ibunda mereka bukan Melayu berasa pemilikan bersama.
Tetapi di Tanah Melayu, bahasa
kebangsaannya masih bernama bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris, Tanah Melayu
dinamakan Malaya dan bahasa Melayu dipanggil Malay.
Apabila Malaysia ditubuhkan pada
tahun 1963 banyak rakyatnya yang bukan terdiri daripada orang Melayu terutama
di Singapura. Tanah Melayu dan Malaya digantikan dengan istilah Malaysia Barat
dan kemudian menjadi Semenanjung Malaysia.
Maka serentak itu juga, bahasa
Melayu ditukar menjadi Bahasa Malaysia.
Seperti Bahasa Indonesia, Bahasa
Malaysia juga membawa mesej kesaksamaan. Dari Aceh ke Papua Barat, Bahasa
Indonesia digunakan secara saksama. Begitu juga dari Perlis hingga ke Sabah
bagi Bahasa Malaysia.
Kedua-duanya tetap bahasa Melayu.
Tetapi dengan nama Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia, ia mempunyai misi
kesaksamaan dalam kalangan rakyat.
Masa depan kedua-dua bahasa juga
adalah gandingan dan gabungan bersama.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan