Putrajaya : Duti import ke atas semua model kereta dari Jepun dan Australia akan dimansuhkan secara berperingkat sebelum dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2016.
Menteri Perdagangan Antarabangsa
dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penurunan itu berikutan
perjanjian kerjasama ekonomi Malaysia-Jepun bermula tahun ini, duti import
kereta dari negara berkenaan akan diturunkan sebanyak 15 peratus diikuti 10
peratus pada 2014, lima peratus pada 2015 dan 0 peratus pada 2016.
Sementara kereta import dari
Australia akan mengalami penurunan dari 13.6 peratus tahun ini diikuti 9.1
peratus pada 2014, 4.6 peratus pada 2015 dan 0 peratus menjelang 2016.
“Penurunan tidak boleh dilakukan
secara mendadak kerana ia akan memberi kesan yang teruk kepada industri
automotif terutama pekerja dalam sektor pembuatan dan pasaran kereta terpakai
yang kini mempunyai 350,000 orang.
“Sebenarnya, harga beberapa model
kereta baru sudah diturunkan antara tiga hingga lima peratus sejak suku akhir
tahun lalu dengan kebanyakan harga model OEM (syarikat pengeluar kenderaan)
dikurangkan antara RM2,200 hingga RM17,000,” katanya pada sidang media
mengumumkan Pelan Penurunan Harga Kereta di sini, semalam. Turut hadir Presiden
Persatuan Automatif Malaysia Datuk Aishah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Automatif Malaysia (MAI) M Madani Sahari. Mustapa berkata, penurunan
harga itu hasil daripada langkah kerajaan menjadikan industri lebih efektif
serta kompetitif dan satu daripada faktor yang menyumbang ke arah itu adalah
liberalisasi dalam industri automotif.
Katanya, antara faktor menyumbang
kepada penurunan harga kereta ialah pelaksanaan perjanjian Zon Perdagangan
Bebas ASEAN (AFTA) apabila duti import kereta mula dimansuhkan sejak 1 Januari
2010. Beliau berkata, ia bukan perkara baru kerana perbincangan menurunkan
harga kereta sudah berlangsung sejak tiga tahun lalu, namun keputusan yang
diambil itu bukan mudah kerana membabitkan banyak pengeluar kereta.
“Kita faham anak muda kini
mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan bulanan mereka untuk membayar
pinjaman kenderaan memandangkan kereta kini dianggap keperluan dan bukannya
barangan mewah seperti satu masa lalu.
“Jadi, kita akui adalah lebih
bagus kalau harga kereta di Malaysia dikurangkan sedikit untuk mengurangkan
bebanan ditanggung mereka sebab itu kita bincang dengan pengeluar. “PROTON dan
PERODUA juga ada perancangan untuk mengurangkan kos sehingga 30 peratus, tetapi
ia akan dilakukan berperingkat dalam tempoh tiga hingga empat tahun
lagi,”katanya.
http://www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan