Oleh : Mohammad Abdullah
Graduan dihasil mampu bersaing
di pentas dunia
Dalam amanat tahun barunya,
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memfokuskan warga
kerja pengajian tinggi negara kepada usaha memastikan institusi itu berupaya
untuk memacu daya saing negara.
Ini bermakna pengajian tinggi
seharusnya menjadi pemangkin dan penggerak utama untuk meningkatkan kemampuan
rakyat dan masyarakat, termasuk dalam kalangan anak-anak muda untuk bersaing,
bukan saja di dalam negara, malah di pentas dunia.
Bagaimanakah keupayaan ini dapat
dilakukan, sedangkan pengajian tinggi pada umumnya dilihat sekadar satu proses
mendapat ijazah dan selebihnya usaha penyelidikan dalam kalangan penyelidik
yang berada di universiti untuk menghasilkan sesuatu yang dapat dimanfaatkan
oleh pihak lain, termasuk industri, apatah lagi dalam konteks penarafan,
kebolehpasaran dan hal yang berkaitan dengannya.
Walaupun sering dihadapkan dengan
pelbagai kenyataan terhadap usaha menjana kekuatan anak-anak muda dan ilmuwan
untuk pembangunan masyarakat dan negara, namun hakikatnya pengajian tinggi
masih dilihat sebagai satu proses penghasilan produk, bukan sebagai satu
penghakupayaan untuk mencetus kekuatan baru dalam membentuk nilai kekuatan yang
tersendiri dan dipandang tinggi.
Dominasi ilmu
Kita perlu membuat muhasabah,
terutama dalam kalangan warga universiti sendiri mengenai kedudukan yang ada
dengan ikhlas, bukan sekadar membangunkan jenama dan memposisikan semata-mata
mengikut apa yang kita percaya atau untuk menjawab tuduhan dalam mengurus persepsi
yang ada.
Misalnya, dengan melihat di mana
kedudukan kita dalam dominasi ilmu, inovasi dan kekuatan pemikiran dalam
konteks serantau mahu pun sejagat. Atau sejauh mana kepakaran kita menjadi
tempat rujukan yang menunjukkan kehebatan dan dominannya dalam sesuatu bidang.
Apatah lagi untuk menjadi ‘prominence’ dalam konteks keilmuan sejagat atau
keserakanan dan tentunya sejauh mana ketokohan kita boleh menghasilkan
kehebatan yang dianggap ‘eminence’ dan digeruni.
Paling tidak, sejauh mana kita
relevan dengan keperluan persekitaran, serantau malah juga dalam menghadapi
globalisasi ilmu dan budaya ini. Sejauh mana apa yang kita ajari, selidiki
malah juga hasilkan melalui penulisan jurnal dan menjadi rujukan dalam kalangan
akademia sebenarnya berfaedah dan dianggap berupaya untuk menggerakkan
pemikiran besar yang segar dan baru atau paling tidak berupaya membangunkan
tamadun ilmu seperti mana yang pernah mencipta kegemilangannya yang tersendiri,
dicontohi dan ditiru sejak zaman Andalusia mahu pun kegemilangan ilmu yang
lainnya.
Penjana ilmu pengetahuan
baharu
Berupayakah kita menggerakkan
masyarakat yang mampu berfikir dan membuat keputusan menggunakan fakta dan
data, bukan semata-mata emosi. Mampukah kita melahirkan pemikiran yang terbuka
atau kita meneruskan kejumudan idea dan tidak menjadikannya sebagai satu budaya
untuk kesejahteraan masyarakat.
Inilah antara cabaran utama dan
getir pengajian tinggi sebagai pemacu pembangunan dan daya saing negara.
Cabaran ini bukan hanya terletak dan perlu ditangani oleh mereka yang berada
dalam proses pengajian tinggi, tetapi juga mereka yang berada di luar dan
sewajarnya memberikan sokongan padu.
Misalnya, bagaimana universiti
dan industri dapat saling bekerjasama secara tulen dalam menggabungkan di
antara kepakaran dan keperluan. Bagaimana pihak industri dapat memberi tahu
universiti mengenai keperluan sebenarnya, apa yang diinginkan dan dibangunkan
bersama, malah ikut serta menanam modal untuk memastikan produk yang diinginkan
dapat dihasilkan mengikut acuan industri.
Universiti tidak harus terus
dilihat sebagai kilang yang menghasilkan produk, tetapi penjana ilmu
pengetahuan baharu yang perlu terus dibangunkan secara realistik bersama-sama
dengan pihak lain seperti mana yang dilakukan di kebanyakan negara maju.
Di samping itu, pensyarah dan
penyelidik pula perlu melihat anak-anak muda yang ada bukan hanya sebagai
pelajar, tetapi potensi masa hadapan yang besar dari segi pemikiran dan
pembinaan negara bangsa dalam kerangka kebebasan yang terkawal serta berupaya
menyumbang kepada gelombang perubahan global yang berlaku secara berterusan,
yang bukan hanya cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga berupaya berfikir dan
menggerakkan usaha dalam memaknakan penghakupayaan yang diberi.
Dalam erti kata lain, seluruh ekosfera
yang ada dalam lingkungan pengajian tinggi harus dibangunkan sepenuhnya,
bersifat holistik, realistik dan berfokus kepada usaha membangkitkan semangat
untuk bersaing dan menjadi dominan dalam bidang kekuatannya, menghasilkan
sumber manusia yang sanggup bersaing dan berbeza pemikirannya, dihormati,
dikagumi dan berupaya menjadi ‘eminence’ dalam bidangnya.
Penulis ialah Timbalan
Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan