KITA sering mendengar tentang hala tuju masa depan negara dan peranan serta
tenaga anak-anak muda yang harus digembleng bersama-sama untuk membangunkan
negara.
Sebagai salah satu aset terpenting negara serta menjadi tonggak dan
sandaran masa hadapan, maka seharusnya golongan pelapis ini dididik dan dibimbing
agar mereka mampu menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menjaga dan menentukan
masa depan negara.
Kita selaku ibu bapa mahupun guru atau pemimpin harus proaktif dan kreatif
mencorakkan sahsiah, sikap dan daya fikir serta akhlak mereka berlandaskan
petunjuk Al-Qur'an dan as-Sunnah seperti mana yang dituntut oleh Islam. Ia
mampu memberikan kesan mendalam kepada golongan muda-mudi kerana mereka
berkeupayaan untuk mencerap dengan mudah apa sahaja bentuk pendidikan yang
diajar dan diterapkan kepada mereka jika kena gaya dan caranya.
Golongan muda disifatkan sebagai harapan bangsa dan tiang negara atas
kapisiti mereka yang memiliki kelebihan tertentu berbanding warga veteran. Ini
kerana, secara umumnya mereka memiliki kekuatan dan kesihatan jasmani,
kecerdasan minda, aktif, bersemangat dan berpotensi untuk digilap melalui
pembudayaan ilmu dan kemahiran serta penyediaan ruang dan peluang untuk menonjolkan
potensi diri. Faktor ini membuktikan mereka merupakan entiti yang perlu diberi
perhatian mengingat bahawa tenaga belia dan beliawanis menjadi sumber penting
dalam pembangunan dan kemajuan negara.
Oleh hal yang demikian, pembinaan generasi muda yang berkualiti tinggi yang
akan mewarisi tanah air tercinta ini hendaklah diberi perhatian yang sewajarnya
dalam agenda pembangunan negara.
Pembangunan modal insan seperti mana yang diuar-uarkan oleh kerajaan
mestilah dijayakan bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Tanpa kesungguhan yang
jitu maka tidak mungkin keinginan kita untuk melihat golongan pelapis dan
pewaris yang kuat dan berkemampuan lahir untuk menghadapi cabaran hari depan.
Kejayaan membina masa depan yang lebih baik dan cemerlang banyak bergantung
kepada keupayaan generasi muda kini dalam mencerap ilmu, kemahiran serta
daya kepimimpinan yang cemerlang.
Generasi muda hari ini mempunyai peranan serta tanggungjawab teramat besar
dalam menjana pembangunan mencemerlangkan agama, bangsa dan negara. Di samping
menyumbang idea, masa dan tenaga merencana pencapaian lebih hebat daripada
pemimpin hari ini, mereka juga berkewajipan membina dan membangun jati diri
dari segi akhlak, ilmu, sahsiah, iman, taqwa, ibadah, rohani dan jasmani supaya
berupaya menampilkan gaya dan budaya hidup sihat untuk dicontohi oleh
masyarakat.
Sumber : http://www.pelitabrunei.gov.bn/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan