PENGGUNA yang terasa beban kos
kehidupan sebenarnya, mempunyai dua pilihan untuk mengatasi keadaan itu iaitu
berusaha mendapatkan lebih wang atau kurangkan perbelanjaan.
Kekangan masa, bagaimanapun,
menjadikan pilihan kedua sebagai lebih mudah dan praktikal untuk dilakukan.
Ini boleh dimulakan dari rumah,
antaranya dengan memastikan penggunaan elektrik secara berhemah yang seterusnya
mampu mengurangkan perbelanjaan bil elektrik dengan nyata.
Kemampuan mengurangkan bil
elektrik dengan penggunaan berhemah misalnya dibuktikan melalui satu projek
pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Marudi, Baram, Sarawak.
Projek ini berjaya memenangi
pertandingan kecekapan tenaga anjuran Persatuan Pengguna Air dan Tenaga
Malaysia (Wecam), sekaligus membuktikan kadar penggunaan elektrik dapat
dikurangkan sehingga 70 peratus dalam tempoh dua bulan.
Melindungi kepentingan semua
pihak
Ia dianggap sebagai satu
penjimatan wang yang ketara, malah Setiausaha Agung Wecam, Foon Weng Lian amat
teruja menyaksikan kejayaan penjimatan yang sebenarnya lebih tinggi berbanding
50 peratus sasaran penjimatan.
Kesatuan Wecam ditubuh oleh
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dengan kerjasama Kementerian
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan penggerak lain industri air dan tenaga bagi
melindungi kepentingan setiap lapisan pengguna berhubung kitar air dan tenaga
negara.
Menariknya, projek pelajar SMK
Marudi hanya mengubah beberapa tabiat biasa tetapi amat praktikal termasuk
meninggikan suhu penyaman udara di bilik guru dan sebagainya kepada 24 darjah
Celsius.
"Banyak pejabat tidak
melaraskan suhu penyaman udara mengikut keperluan sebaliknya ditetapkan kepada
16 darjah Celsius sepanjang masa sedangkan tabiat itulah yang banyak merugikan
tenaga," tegas Foon.
Terkini, kerajaan juga mengambil
inisiatif mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan pejabat kerajaan menaikkan
suhu penyaman udara sekitar 23-24 darjah Celsius.
Contohi SMK Marudi
Beliau mengajak orang ramai
mencontohi projek pelajar berkenaan termasuk mematikan penyaman udara dan
sebaliknya menghidupkan kipas pada hari hujan, serta kerap membuka tingkap
untuk meningkatkan peredaran udara.
Lampu juga jarang digunakan pada
waktu siang sebaliknya sekolah itu memilih untuk menghias bilik menggunakan
warna terang yang membenarkan pantulan cahaya semulajadi menerangi bilik.
Foon mengakui kagum dengan
komitmen pelajar yang berjaya membuktikan bil elektrik boleh dijimatkan dengan
banyak melalui transformasi tingkah laku dan tabiat harian.
Justeru Foon menyeru agar
pengguna khususnya ibu bapa dapat belajar daripada pengalaman pelajar sekolah
itu dan dapat mengubah beberapa tabiat dalam kehidupan seharian bagi membantu
mengurangkan perbelanjaan.
Beliau memberi contoh satu tabiat
pembaziran universal iaitu tidak mematikan suis televisyen dan dekoder tv kabel
apabila tidak digunakan.
"Dekoder yang berada pada
mod bersedia sebenarnya masih menggunakan sekitar 85 hingga 90 peratus tenaga
elektrik, bayangkanlah berapa banyak tenaga elektrik yang dibazirkan sekiranya
ia tidak ditutup sepanjang malam atau 24 jam sehari," tanya Foon.
Arus pendam masih mengalir
Selain menutup suis perkakas
elektrik yang tidak digunakan, pengguna juga digesa menanggalkan terus palam
perkakas daripada punca kuasa elektrik.
Tegas Foon, masih terdapat arus
tenaga pendam yang mengalir merentasi palam ke peralatan elektrik berkenaan
jika tidak dicabut meskipun suis telah dimatikan.
Malahan, amalan menanggalkan plak
sebenarnya menyelamatkan perkakas elektrik, apabila berlakunya arus limpah
ekoran ribut petir yang boleh menyambar litar elektrik dan merosakkan perkakas.
Antara tip mudah yang boleh
menjadi amalan sekeluarga di rumah adalah memastikan lampu dan kipas dipadam
jika tidak digunakan, jangan sesekali meninggalkan komputer dan alatan elektrik
lain selama lebih 30 minit tanpa dimatikan dan palamnya ditanggal daripada
punca kuasa.
Pilih dengan teliti barangan
elektrik yang lebih menjimatkan tenaga seperti TV yang menggunakan monitor LCD,
pemanas air segera berbanding pemanas air dalam tong dan lampu kalimantang
berbanding lampu mentol bulat.
Budaya penjimatan elektrik
Apapun amalan penggunaan tenaga
secara cekap itu perlu dijadikan budaya walau di mana kita berada termasuk di
pejabat, tempat awam atau semasa bercuti di resort.
Bayangkanlah jika setiap daripada
kita membudayakan amalan ini, sudah tentu kadar penjanaan tenaga elektrik
negara dapat dikurang atau sekurang-kurangnya kekal pada satu paras mendatar.
Ini seterusnya akan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau ke atmosfera dan
membantu mengatasi pencemaran alam sekitar.
Ini juga dapat mengurangkan kos perbelanjaan
keseluruhan penjanaan dan penghantaran elektrik negara, lantas mengawal
kebarangkalian kenaikan tarif elektrik yang mendadak.
Lagipun sampai bila Petronas
mampu membayar bebanan subsidi gas asli sebanyak 66 peratus berbanding harga
pasaran, untuk menanggung kos penjanaan tenaga elektrik.
Sedangkan kita sebagai pengguna
mahu terus menikmati subsidi dan kita mengeluh apabila tarif elektrik terpaksa
dinaikkan bagi menanggung kos penghasilan tenaga yang sentiasa meningkat.
Beli alat elektrik selamat
Kerajaan sebenarnya menjalankan
banyak kajian dan insentif bagi menggalakkan pengguna menggunakan tenaga
elektrik secara cekap.
Malah, Suruhanjaya Tenaga yang
mewujudkan label jaminan kecekapan tenaga untuk ditampal pada perkakas dan
alatan elektrik yang memenuhi piawai keselamatan dan kecekapan penggunaan
elektrik.
"Malangnya terlalu ramai
pengguna yang tidak membaca apatah lagi memahami label jaminan itu termasuklah
jurujual kedai elektrik," keluh Foon.
Selain itu, Kementerian Tenaga,
Teknologi Hijau dan Air menyediakan baucer program Mencapai Kelestarian
Menerusi Kecekapan Tenaga (SAVE) iaitu RM200 bagi peti sejuk dan RM100 bagi
penyaman udara yang menepati piawai kecekapan tenaga.
Layari laman web
www.switch.org.my serta www.saveenergy.gov.my untuk memahami lebih
banyak cara menjimatkan tenaga elektrik serta aplikasi kalkulator untuk mengira
sendiri penggunaan elektrik harian anda. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan