Oleh : ISMAIL HASHIM YAHAYA
Bara perasaan, nurani dan kesedihan rakyat Malaysia ketika ini larut dalam
duka, tangisan dan keprihatinan mendalam berikutan (sehingga rencana ini
ditulis) enam anggota polis terkorban selepas mereka diserang hendap oleh
kumpulan penceroboh di Kampung Srijaya, Simunul, Semporna.
Sebelum ini dua pegawai polis juga terkorban dalam pertempuran di Lahad
Datu kerana mempertahankan negara daripada pencerobohan penceroboh bersenjata dari
selatan Filipina.
Duka dan air mata itu tidak hanya dirasakan rakyat negara ini tetapi juga
sudah menjadi sebahagian suasana jiwa bangsa ketika ini, khususnya visual yang
dilihat daripada media elektronik, media sosial dan cetak.
Liputan media elektronik dengan berlatarkan tiupan trumpet The Last Post
begitu mendayu-dayu meruntun perasaan dan sebak di dada mengenang
pengorbanan anggota polis yang terkorban.
Citra dari keranda jenazah dilitupi bendera Malaysia, ibu-ibu yang
kepiluan, anak-anak yang panik, tubuh-tubuh yang tersayat, tangisan ahli
keluarga dengan menyayat hati, telah menjadi kepedihan seluruh negara.
Melalui teknologi pencitraan (atau imagologi) jarak jauh, realiti kedukaan
di Lahad Datu dan Semporna menjadi imagologi kepedihan nasional dalam imagologi kesedihan.
Imagologi adalah ilmu mengenai citra atau imej yang digunakan oleh media
dalam masyarakat.
Berbagai media cetak, elektronik dan digital telah mengangkat berbagai realiti konflik dan
kematian ke dalam wujud kehadiran jarak jauh (tele-presence) sehingga
pengalaman kepedihan ahli keluarga anggota polis yang terkorban menjadi
kepiluan negara.
Pembunuhan anggota polis yang terkorban ini menciptakan ruang kesedaran
bersama yang di dalamnya tiada lagi batasan individu, ego, agama, suku,
kedaerahan, politik, dan kelas sosial. Semuanya terlarut dalam kebersamaan
menghadapi duka, menyatu dalam keperihan dan bersama mencari jalan keluar.
Realiti anggota polis yang terkorban menjadi citra konflik di skrin
televisyen, handphone, dan internet; realiti kesedihan menjelma menjadi
imagologi penderitaan (imej kesedihan), iaitu berbagai citra tentang
pengorbanan di media (televisyen, handphone, internet) yang datang dalam
keberjarakan ruang-waktu, yang mampu mengetuk kesedaran dan perhatian manusia,
meninggalkan jejak kesedihan mendalam, sekali gus membangkitkan rasa
kebersamaan di sebaliknya.
Citra konflik Lahad Datu dan Semporna menjadikan setiap orang mengenali
kembali wajah Tuhan yang sebelumnya samar, pudar, luntur ditelan kebosanan gaya
hidup konsumerisme dan absurditi politik.
Konflik ini seakan memberikan kejutan untuk menyedarkan manusia bahawa ada
dimensi kedalaman, kesedaran dan kemanusiaan di balik kebosanan politik,
ekonomi dan kehidupan sehari-hari.
Namun dengan berlalunya waktu, kesedaran ke seharian yang dibangkitkan
konflik (seperti di Lahad Datu) akan berlalu dan meredup. Setelah itu, manusia
akan kembali ke banaliti ke seharian: kembali kepada amalan rasuah, politik
kotor, saling curang dan membunuh serta hidup mewah. Solidariti sosial yang
dibangun akibat konflik Lahad Datu dan Semporna akan hanya menjadi penyatuan
dan kesedaran sementara.
Kedua, pelupaan horizontal, iaitu pelupaan yang bersifat sosial-teknologis.
Setelah konflik, hampir setiap orang mengingatkan mengapa tidak ada peringatan
awal, mengapa tidak dibangun teknologi pengesanan pencerobohan yang lebih
canggih, mengapa tidak ada sistem maklumat konflik dan mengapa....
Namun, dengan berlalunya waktu, segala peringatan berlalu begitu saja.
Tiada tindakan, tiada penelitian dan kesedaran.
Pengorbanan anggota polis begitu besar kepada agama, bangsa dan negara,
pilu lagi menyedihkan. Korban yang besar ini menjadi tonggak peringatan. Seakan
para “wira Lahad Datu dan Semporna" hendak mengingatkan seluruh
warganegara Malaysia: hentikan pembohongan, pengkhianatan, kerakusan,
kecurangan, ketamakan; berhentilah jadi “pemerintah dan rakyat pelupa":
lupa sejarah, lupa bersyukur, lupa berdoa, lupa kesalahan, lupa dosa, lupa
kejahatan, lupa syurga; jadilah warganegara insaf, beriman, bertakwa, humanis
dan ikhlas dengan menuruti jalan lurus lagi benar. Alfatihah
*Penulis ialah Timbalan Dekan Fakulti
Komunikasi dan Media, Unisel.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan