Oleh : Prof Dr Teo Kok Seong
Kenyataan bahawa bahasa Melayu,
bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin adalah bahagian penting kepada identiti
nasional kita, selain dapat memperkasanya, adalah tidak tepat. Ia dibuat
berlandaskan kecekapan sebahagian rakyat Malaysia dalam tiga bahasa ini.
Justeru, dengan cepat, kecekapan dalam pelbagai bahasa ini dimaklumkan sebagai
sebahagian identiti nasional kita.
Berdasarkan landasan identiti nasionalisme,
hanya bahasa pribumi yang boleh dijadikan identiti nasional. Justeru, bahasa
Melayu saja yang layak lagi sah menjadi
identiti nasional rakyat dan negara Malaysia.
Tidak dapat dinafikan kebolehan
linguistik ini adalah sesuatu yang baik. Namun, ia tidak boleh dikaitkan dengan
persoalan identiti nasional, yang tidak boleh dengan sewenang-wenangnya
dirumuskan tanpa mengambil kira unsur kepribumian yang juga prasyarat utamanya.
Keadaan linguistik yang
memperlihat adanya rakyat Malaysia yang fasih dalam tiga bahasa ini, lebih
cocok dikaitkan dengan profil linguistik nasional atau hal-hal seumpama ini.
Lagipun, dengan tidak memasukkan bahasa Tamil pada identiti nasional seperti
dimaklumkan itu, kaum India yang juga adalah bahagian penting dalam
kependudukan Malaysia, pasti akan berasa kecil hati.
Memang benar bahasa Tamil tidak
banyak diketahui oleh rakyat jika dibandingkan dengan bahasa Mandarin. Namun,
kalaulah istilah identiti nasional itu ingin digunakan dari sudut kebahasaan
atas dasar kewujudan kaum tertentu sebagai bahagian penting dalam kerakyatan
Malaysia, bukan saja bahasa Tamil perlu ikut dimasukkan. Pelbagai bahasa lain,
khususnya yang pribumi seperti bahasa Iban dan Kadazandusun pun perlu
disertakan dalam identiti nasional kita.
Setia kepada tanah air
Konsep identiti nasional yang
cuba merangsang perasaan kebersamaan dalam kalangan kita yang pelbagai kaum
ini, agar memiliki kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air,
berdasarkan satu bahasa pribumi saja, sebetulnya boleh dibahaskan, lebih-lebih
lagi dalam konteks negara yang mempunyai kependudukan yang rencam. Perbahasan
ini boleh menjadi sengit apabila gagasan tradisional tentang identiti nasional
ingin terus diguna pakai, walhal dunia kini sedang mengalami perubahan pesat
akibat proses globalisasi.
Namun, untuk negara kita, faktor
kaum Melayu yang juga etnik dominan, baik dari segi sejarah mahupun
perkembangan semasa, perlu diambil kira apabila identiti nasional disentuh dari
apa-apa sudut juga, sama bahasa, budaya mahupun yang lain-lain. Sehubungan ini,
etos kaum Melayu dalam beberapa hal, termasuk bahasa Melayu adalah sebahagian
penting dalam Perjanjian Etnik atau Kontrak Sosial sewaktu kita mencapai
kemerdekaan, dan kini dalam Perlembagaan Persekutuan.
Etos ini yang juga gagasan
tradisional itu perlu terus dipertahan untuk menyatakan identiti nasional kita.
Dengan ini, tidak harus timbul persoalan kalau bahasa Mandarin dan lain-lain
bukan sebahagian identiti nasional. Apatah lagi bahasa Inggeris yang bukan
bahasa etnik mana-mana puak signifikan di Malaysia.
Sesungguhnya, bahasa Melayu
selaku bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam peranannya sebagai bahasa
kebangsaan, adalah identiti nasional rakyat Malaysia. Ia bahasa pribumi selain
bahasa etnik kaum majoriti lagi dominan di negara ini. Justeru, ia bukan saja
lambang nasional dan indeks identiti setiap individu dan kelompok dalam
kalangan rakyat Malaysia.
Bahasa bezakan rakyat
Yang lebih penting, bahasa Melayu
mempunyai keupayaan membezakan rakyat Malaysia dengan warga dunia lain.
Perbezaan inilah yang dikatakan identiti nasional. Dalam hal ini, bahasa Melayu
menjadi pemisah antara rakyat Malaysia dengan rakyat Korea misalnya. Ini kerana
kita dikaitkan dengan bahasa Melayu, manakala mereka dengan bahasa Korea.
Dengan ini, melalui bahasa Melayu, wujudlah politi Malaysia yang tidak sama
dengan yang dimiliki orang Korea dan lain-lain, sama ada sebagai bangsa ataupun
negara.
Pada masa sama, bahasa Melayu
adalah penyatu dalam kalangan rakyat Malaysia. Menerusinya, kita berkongsi ciri
dan sifat, selain kepentingan yang sama. Melalui semua ini pula, walaupun kita
berasal daripada pelbagai kumpulan etnik, kita sebenarnya disatukan oleh
penerimaan dan penggunaan bahasa Melayu yang dikongsi bersama.
Walaupun bahasa Melayu identiti
nasional, bahasa lain tidak dihalang penggunaannya. Tetapi untuk nasionalisme
kebangsaan, bahasa Melayu perlu ditonjolkan secara tunggal, agar etos Melayu
terus unggul di tanah watannya sendiri.
Penulis Profesor Linguistik di
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan