Jumaat, 5 April 2013

ISU EKONOMI : Rakyat optimis pencapaian ekonomi negara 2013


KAJI selidik yang dijalankan oleh Ipsos, sebuah firma penyelidikan berpangkalan di Paris mendapati, majoriti rakyat Malaysia bersetuju bahawa tinjauan ekonomi negara ini bagi 2013 adalah positif.

Firma itu dalam kenyataannya mengumumkan hasil kaji selidik bagi mengukur sentimen rakyat terhadap prestasi ekonomi sesebuah negara mendapati, rakyat Malaysia secara relatifnya gembira dengan prestasi ekonomi negara secara menyeluruh, selain prospek masa depan mereka sendiri.

Kenyataan tersebut berkata, gambaran itu diberikan rakyat negara ini walaupun mereka pada masa yang sama turut menerima tempias kesan daripada krisis kewangan global sejak 2008.

“Secara keseluruhan, 62 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa prospek ekonomi negara bagi 2013 ini adalah positif. Hanya 16 peratus tidak bersetuju dengan kenyataan itu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan unitnya di Malaysia, Ipsos Malaysia.

Kaji selidik itu dibuat kumpulan penyelidik Perancis itu menerusi unitnya di Malaysia pada Mac lalu.

Ia adalah kajian sulung firma itu di negara ini dengan membabitkan 1,000 responden yang terdiri daripada media, konglomerat dan syarikat tempatan di Semenanjung Malaysia.

Kaji selidik yang bertajuk ‘Kajian Nadi Ekonomi’ itu turut mendapati, kaum Melayu dan India, serta warga negara berusia antara 25 hingga 34 secara amnya, bersetuju terhadap tinjauan positif ekonomi negara.

“Secara amnya, responden yang mewakili kaum Melayu dan India (67 peratus bersetuju) serta golongan muda (66 peratus bersetuju) adalah yang paling bersetuju dengan tinjauan positif ekonomi negara bagi 2013 ini,” katanya.

Ipsos, satu-satunya firma penyelidik pasaran bebas yang dikawal dan diuruskan oleh pakar penyelidikan profesional itu berkata, walaupun wujud sentimen positif mengenai tinjauan ekonomi negara, sebahagian rakyat Malaysia turut mengatakan keadaan ekonomi semasa ini kurang baik jika dibandingkan dengan lima tahun lalu.

Sumber : http : //www.bhgarian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen