Jumaat, 5 April 2013

ISU KENEGARAAN : Negara hancur jika fitnah, rasuah jadi modal politik

Forum Berkaitan Isu Rasuah Yang Dianjurkan Sebuah Akhbar Harian

Oleh : Akhbar Satar
 
Tuduhan tanpa bukti kukuh boleh cetus kebencian, perpecahan rakyat

Demam pilihan raya semakin dirasai. Hampir setiap hari muka depan akhbar utama di Malaysia panas membicarakan isu pilihan raya. Yang uniknya di Malaysia, hampir semua kejadian berlaku dikaitkan dengan pilihan raya dan dijadikan modal untuk menyerang satu sama lain.

Lihat saja isu pencerobohan pengganas di Lahad Datu. Biarpun ia suatu jenayah serius yang membabitkan nyawa anggota keselamatan dan kedaulatan negara, ia turut dipolitikkan dengan menuduhnya sebagai sandiwara yang diada-adakan.

Telah menjadi resam politik di seluruh dunia, ketika musim pilihan raya serangan bersifat peribadi bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti calon bertanding semakin menjadi-jadi. Apa yang membezakan senario politik di Malaysia berbanding negara maju ialah kempen dan serangan bermotifkan politik ini tiada musimnya. Dalam erti kata lain, ia berlaku hampir sepanjang masa tidak kira pilihan raya atau hari raya.

Hari ini rasuah dan politik ibarat isi dengan kuku. Sudah menjadi kelaziman apabila menyebut politik pasti dirantai dan dikaitkan dengan rasuah. Sehubungan itu, menyentuh isu imej dan kredibiliti pemimpin atau parti politik pula, rasuah adalah senjata bahaya yang mampu meragut pemimpin dan kepemimpinan yang ada.

Ada tiga strategi yang digunakan oleh ahli politik dalam penggunaan isu rasuah ini. Pertama, merekayasa fitnah yang berbentuk tohmahan dengan menuduh seseorang calon, pemimpin atau parti politik mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai senjata menjatuhkan kredibiliti pihak lawan.

Kedua, menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai manifesto perjuangan bagi meraih simpati dan undi rakyat. Kononnya, merekalah yang terbaik untuk mengubah kehidupan rakyat dan menghapuskan rasuah.
Ketidakstabilan politik

Ketiga, menyerang agensi kerajaan tertentu sebagai lemah, tidak berfungsi dan di bawah telunjuk pemerintah bertujuan untuk meruntuhkan dan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan dan kehakiman yang sedia ada.

Sejarah membuktikan kepada kita, jika isu rasuah ini dipolitikkan, ia bukan saja dapat meruntuhkan kerajaan, malah menimbulkan kebencian serta perpecahan dalam kalangan rakyat yang akhirnya mewujudkan ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial. Kita harus sedar dan belajar daripada pengalaman negara jiran seperti di Filipina, Indonesia dan Thailand.

Isu rasuah dimanipulasi sehingga berjaya meruntuhkan kepemimpinan Presiden Ferdinand Marcos. Senjata yang sama digunakan oleh Fidel V Ramos untuk menjatuhkan Corazon Aquino (yang sebelum ini menggunakan isu rasuah bagi menjatuhkan Marcos). Joseph Estrada, seorang pelakon yang turut menggunakan isu rasuah dan penyelewengan untuk mengambil alih kepemimpinan Ramos turut tersungkur atas isu rasuah yang diperjuangkan oleh seorang wanita bertubuh kecil bernama Gloria Macapagal Arroyo.

Lapor kepada SPRM

Lihat apa yang terjadi pada penghujung kerjaya politik Arroyo. Beliau turut disiasat dan dikenakan hukuman penjara atas isu rasuah oleh Presiden Benigno Aquino III. Isu rasuah menjadi manifesto utama Aquino III dalam meraih undi dan simpati rakyat dengan menegaskan akan memberi keutamaan untuk membanteras rasuah di dalam pentadbiran kerajaan yang sedia ada. Begitu juga dengan Pengerusi Parti Komunis China, Xi Jinping yang menegaskan bahawa masalah utama beliau ialah membersihkan rasuah termasuk ahli politik dan pegawai kerajaan.

Senario politik jatuh dan menjatuhkan kepemimpinan dengan menggunakan isu rasuah tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat. Apatah lagi, jika isu rasuah yang dibangkitkan merupakan tohmahan liar dan fitnah yang sengaja diada-adakan bagi menjatuhkan seseorang pemimpin. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penyiasatan ke atas semua aduan rasuah tetapi ada kes rasuah yang telah disiasat dan tidak didakwa di mahkamah oleh pejabat Peguam Negara kerana tiada bukti.

Apa yang mustahak untuk sesuatu kes berjaya disiasat dengan baik pemberi maklumat hendaklah memastikan agar sebarang kes perlu dilaporkan terlebih dulu kepada SPRM sebelum membuat apa-apa hebahan di blog atau sidang media. Dengan cara ini siasatan dapat dijalankan dengan cara profesional dan untuk mengelakkan bukti dihapuskan.

Pengajaran yang diperoleh hasil daripada pengalaman yang dilalui rakyat Filipina, kegemilangan Filipina sebagai salah satu anggota ASEAN yang maju dan membangun pada era pemerintahan Marcos tidak berterusan dan jatuh merudum selepas itu. Selalunya pertukaran kepemimpinan dan kerajaan yang lemah tidak menjanjikan kemakmuran dan kestabilan ekonomi, politik dan sosial di Filipina. Hari ini, Filipina jauh lebih mundur berbanding dengan kemajuan Malaysia atau negara ASEAN yang lain.

Penulis ialah peguam dan pakar kriminologi

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan