Selasa, 21 Mei 2013

ISU PENDIDIKAN : Kelangsungan dasar pendidikan melalui gabungan KPM-KPT


Oleh : TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM

DUA minggu sebelum pengumuman senarai Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada rakan-rakan bertanya kepada saya mungkinkah kali ini Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan disatukan semula seperti dulu.

Jawapan saya ia tidak mustahil kerana ada negara lain yang menggabungkan semula kedua-dua kementerian selepas berpisah beberapa tahun contohnya Thailand.

Selepas Pilihan Raya Umum 2004 Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi mewujudkan kementerian baharu iaitu Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran.

Rasionalnya kementerian itu terlalu besar dari segi bilangan pelajar, guru dan pensyarah bermula dari prasekolah hingga ke peringkat universiti.

Di samping itu, peruntukan besar dalam bajet untuk bidang pendidikan dijangka lebih berkesan jika dibelanjakan secara berfokus iaitu satu di peringkat persekolahan dan satu lagi untuk pengajian tinggi.

Namun demikian hampir 10 tahun berlalu, kini kedua-dua kementerian disatukan semula. Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi tanggungjawab untuk menerajuinya di samping Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri 2. Sementara itu, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan dilantik sebagai Timbalan Menteri.

Kita berkeyakinan penuh bahawa melalui pengalaman yang lama Muhyiddin dalam Kabinet dan sepenggal sebagai Menteri Pelajaran akan memberi kelebihan kepada beliau untuk menerajui kementerian besar itu ke arah yang lebih cemerlang.

Sementara itu, Idris ketika menjadi Menteri Besar turut membantu Terengganu sebagai salah sebuah negeri terbaik dalam peperiksaan awam UPSR, PMR, SPM, STAM dan STPM.

Demikian juga sebagai Pengerusi Mara, beliau berjaya memperkasakan Maktab Rendah Sains Mara melalui penambahbaikkan program pembelajaran dan kurikulum pengajian.

Bagi warga pendidik pula nama Datuk Mary Yap Kain Ching tidak asing lagi. Sekolah Menengah Teknik Tawau, Sabah telah memenangi banyak anugerah kurikulum dan kokurikulum di peringkat negeri dan kebangsaan ketika beliau menjadi Pengetua Cemerlang.

Selepas bersara pada tahun 2007, beliau dilantik sebagai konsultan Institut Aminuddin Baki untuk melatih pengetua sekolah kluster dan sekolah berprestasi rendah. Sebagai menghargai sumbangannya dalam perkhidmatan beliau dianugerahi Tokoh Guru sempena Hari Guru 2012.

Kelangsungan dan penerusan dasar pendidikan negara merupakan isu besar yang dihadapi apabila berlakunya perpisahan dua kementerian itu.

Pelaksanaan Dasar Razak 1956 dalam pendidikan merupakan strategi utama untuk membina negara bangsa selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Matlamat utamanya adalah untuk menyatupadukan kanak-kanak pelbagai kaum melalui pendidikan. Dasar Rahman Talib 1961 pula bertujuan untuk memperkukuhkan lagi Dasar Razak terutama dari aspek perpaduan kalangan murid-murid. Ini diikuti Dasar Kabinet 1971 di mana bahasa pengantar dan sistem peperiksaan telah diseragamkan. Matlamat utamanya ialah untuk membolehkan murid-murid dapat bercampur gaul dan belajar di bawah satu bumbung sekolah yang sama.

Hakikatnya pelaksanaan dasar pendidikan negara itu seharusnya dilalui oleh kanak-kanak sejak memasuki prasekolah dan berterusan hingga mereka menamatkan alam pendidikan di pusat pengajian tinggi.

Pada dasarnya seorang remaja itu akan mantap jati dirinya, sahsiah dan keterampilan selepas melalui pendidikan rendah dan menengah selama 11 tahun dan diikuti pengajian tinggi selama 5 tahun.

Bagaimanapun kelangsungan dasar pendidikan yang sama tidak dapat diteruskan kerana apabila pelajar memasuki pusat pengajian tinggi dasar dan hala tujunya sudah berlainan.

Dasar dan hala tuju Kementerian Pengajian Tinggi adalah seperti tertera dalam Pelan Strategi Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) 2007-2012. Penekanan yang diberikan ialah untuk menjadikan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai pusat kecemerlangan yang bertaraf dunia.

Sementara itu IPT perlu melahirkan pelajar yang berdaya saing dan dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Sekarang disediakan peringkat akhir kesinambungan dasar dan hala tuju selanjutnya, bermula 2013 hingga melepasi tahun 2020.

Sesungguhnya penggabungan kedua-dua kementerian ini akan memberi ruang dan peluang kepada pembuat dasar untuk menyelaras dan menyeragamkan semula kelangsungan strategi dan hala tuju pendidikan negara.

Kesempatan ini perlu diambil kerana telah ada Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 Kementerian Pelajaran yang menyediakan landskap pendidikan melalui 11 Anjakan yang meliputi penyediaan akses, penguasaan kemahiran berbahasa, penghayatan nilai dan sebagainya.

Baru-baru ini pula Perdana Menteri mengesyorkan untuk merangka national reconciliation atau perpaduan dan penyatuan nasional hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Oleh itu sekolah dan IPT tidak terkecuali dan mempunyai peranan besar untuk membantu mewujudkan perpaduan dalam kalangan kanak-kanak dan siswa daripada pelbagai kaum dan latar belakang.

Dalam merangka dasar dan hala tuju IPT maka isu perpaduan perlu diberi perhatian utama. Antara strategi yang boleh dilaksanakan ialah menjadikan bidang kokurikulum dan sukan sebagai aktiviti penting dalam kalangan siswa.

Aktiviti ini memberi peluang kepada mereka untuk bercampur gaul di gelanggang atau padang permainan yang sedia ada di semua kampus.

Selain itu aktiviti kesukarelawan atau volunteerism hendaklah digalakkan. Ketika ini telah wujud badan tertentu di IPT menjalankan aktiviti kesukarelawan termasuk melalui IM4U dan Yayasan Sukarelawan Siswa.

Mewajibkan siswa IPT mengikuti subjek tertentu seperti Sejarah Malaysia, Pengajian Am atau Sivik akan dapat mengukuhkan lagi jati diri kalangan mereka. Mata pelajaran ini akan membolehkan mereka mengenali lebih dekat sejarah tanah air, memahami budaya kaum lain dan menanamkan semangat kekitaan, kerjasama dan saling hormat menghormati.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri semasa mengumumkan senarai kabinet "... Kabinet baharu mampu meneruskan dan menjayakan agenda transformasi nasional selain meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat." Begitulah harapan kita semua.

Penulis ialah  Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNISZA.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen