PUTRAJAYA – Kementerian Pelajaran
dan Kementerian Pengajian Tinggi yang digabungkan dalam kabinet baru Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi nama baru iaitu Kementerian
Pendidikan Malaysia.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin
Yassin berkata, penstrukturan kedua-dua kementerian berkenaan bukan perkara
yang sukar dilakukan memandangkan masing-masing telah menjalankan tugas dengan
cemerlang.
“Nama baru telah dicadangkan
kepada Perdana Menteri dan diharapkan dapat persetujuan dalam tempoh segera.
“Sementara itu struktur baru
kementerian ini sedang disusun dan telah dibincangkan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Saya jangka dalam masa sebulan akan selesai,” kata Muhyiddin.
Beliau berkata demikian pada satu
sidang media di Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.
Menurut Muhyiddin dengan
penyatuan dua kementerian ini dilihat akan melicinkan urusan untuk meningkatkan
kualiti pendidikan negara.
Katanya, kedua-dua pelan
strategik kementerian ini iaitu Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Nasional dan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk 13 tahun ke hadapan akan terus
dilaksanakan.
“Mungkin beberapa tahun akan
datang jika perlu pelarasan akan ditentukan kemudian. Matlamatnya hanya untuk
meletakkan Malaysia sebagai hub pendidikan terkemuka di dunia,” katanya.
Bagaimanapun menurut Muhyiddin,
masih banyak perkara perlu dilaksanakan.
Namun penggabungan kementerian
ini akan memberi sumber kepada kepakaran dan kemahiran yang lebih meluas dan
mendalam.
“Kita akan melihat bagaimana
sinergi kedua-dua kementerian ini akan dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti
pelajaran dan pembelajaran secara keseluruhan di Malaysia,” katanya.
Terdahulu Muhyiddin mengadakan
perjumpaan khas dengan ketua-ketua bahagian Kementerian Pelajaran di Kompleks
E, pagi tadi.
Ketibaan beliau disambut Menteri
Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pelajaran I dan II,
Datuk Mary Yap Kain Ching dan P.Kamalanathan.
Muhyiddin turut mengetip kad
perakam waktu selaku pada hari pertamanya yang juga merupakan penggal kedua
beliau selaku Menteri Pelajaran.
Sumber : http://news.abnxcess.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan