Oleh : DR. AMINUDIN MANSOR
PERKEMBANGAN teknologi maklumat
yang pesat dalam era globalisasi ini telah melanda masyarakat kita dan telah
menunjukkan tanda-tanda kepincangan moral, keruntuhan akhlak dan juga kegiatan
negatif akibat daripada perkembangan tersebut.
Hal ini juga menjadi penyumbang
kepada kegiatan negatif yang lain seperti fitnah, penculikan, penyalahgunaan
pil-pil, penjualan video cakera padat (VCD) lucah, khayal, gengsterisme,
pergaduhan, kes rogol, rompakan, pembunuhan dan kes ragut.
Semuanya telah menjejaskan
kedamaian dan keamanan hidup masyarakat selama ini.
Walaupun tiada kajian tepat yang
mengaitkan perkembangan teknologi dengan kes jenayah, namun umum mengetahui
sedikit sebanyak perkembangan teknologi telah menyumbang ke arah terhakisnya
nilai-nilai murni, budaya dan moral masyarakat.
Terdapat juga faktor lain
antaranya pengaruh budaya luar, melalui filem, bahan bacaan lucah yang
memaparkan sikap individualistik, budaya kurang ajar, tidak sopan, gelojoh,
biadab, rakus, dan seumpamanya.
Hal ini telah menghakis sikap-sikap
positif seperti berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kasih sayang kepada
anggota keluarga, muafakat, tolong-menolong dan bantu-membantu, amanah, dan
silaturahim.
Bagi masyarakat di negara ini
yang sering menegaskan nilai-nilai komuniti mengatasi nilai-nilai individu,
tumpuan kepada komuniti memang wajar dan selaras dengan ciri-ciri budaya dan
sejarah masyarakat di negara ini.
Masyarakat yang mementingkan
nilai-nilai komuniti dapat difahami sebagai kumpulan orang yang tinggal di
sesuatu daerah dan negara, masyarakat di sesuatu tempat, orang ramai umumnya
yang mempunyai sifat-sifat kecenderungan dan kepentingan yang sama dan serupa.
Dalam kehidupan harian, kita
dapati fenomena komuniti wujud dalam pelbagai bentuk. Antaranya menghormati
orang yang lebih tua, semangat kejiranan, muafakat, muhibah dan semangat
perpaduan yang kental.
Bagi membentuk personaliti remaja yang berkualiti dan mementingkan
nilai-nilai komuniti, nilai-nilai murni
seperti penyayang, kerjasama dan saling membantu mestilah dididik sejak kecil.
Kini usaha-usaha menerapkan nilai-nilai murni dalam pendidikan di sekolah giat
dilakukan.
Kajian psikologi mendapati,
personaliti dan kebolehan dipengaruhi secara eksklusif oleh pengalaman individu
itu. Sebaliknya kajian pengasas ujian mental pula menegaskan bahawa personaliti
dan kebolehan bergantung sepenuhnya kepada baka.
Sementara itu, kini ahli
psikologi berpendapat baka dan persekitaran adalah sama penting. Penyelidikan
telah membuktikan bahawa baka dan pengalaman bersama mempengaruhi kecerdasan,
pembawaan dan personaliti.
Daripada kajian ini dapat
disimpulkan bahawa generasi hari ini yang terikat dengan gejala negatif adalah
berpunca daripada persekitaran dan pengalaman yang menyebabkan tingkah laku, dan
proses mental terpengaruh dengan gegala yang tidak sihat.
Sesungguhnya dunia sekarang
dipenuhi dengan kezaliman dan penindasan. Di sana sini manusia memperkatakan
tentang hak asasi, dan kasih sayang akan
tetapi ia sama sekali tidak berlaku.
Oleh itu, untuk mengembalikan
semula nilai-nilai yang baik kita bertanggungjawab melaksanakannya. Ibu bapa
mestilah mendidik anak dengan adab-adab kehidupan yang baik. Guru-guru juga
mempunyai lebih besar tanggungjawab melahirkan generasi muda yang
berpersonaliti dan berjati diri.
Kita tidak dapat menahan ledakan
dan perubahan era globalisasi. Tanggungjawab kita memulakan peranan mendidik
sepanjang perkembangan individu itu dari segi fizikal, emosi, sosial, intelek
dan pembelajaran. Asuhlah anak-anak dengan iman dan nilai-nilai murni yang
baik.
Sesungguhnya kita tidak mahu
melihat bahaya paling serius sekiranya kita meneruskan corak pembangunan kini.
Kita akan menjadi sebuah masyarakat yang kaya dari segi material tetapi miskin
jiwa iaitu miskin dan gersang daripada segi budaya, akhlak, tingkah laku, iman
dan budi pekerti serta nilai-nilai kerohanian.
Apa yang diharapkan generasi hari
ini mempunyai kekuatan jati diri, semangat patriotik, cinta akan keluarga,
masyarakat dan negara. Mereka juga mestilah diasuh dengan akhlak dan iman yang
kental serta mempunyai budi pekerti yang luhur.
Kita mengharapkan generasi yang
akan menjadi pemimpin pada masa depan yakin akan diri sendiri, berani
menghadapi segala rintangan, tidak terkongkong jiwanya serta dihormati oleh
semua bangsa lain. Mereka juga mestilah cemerlang, berbudi pekerti dan
berbudaya penyayang.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW
mengingatkan dan bersabda yang bermaksud: "Umatku terdahulu selamat (berjaya)
kerana teguhnya keyakinan dan zuhud. Dan umat terakhir kelak akan binasa kerana
kebakhilan (harta dan jiwa) dan cita-cita yang kosong." (Riwayat Abi Ad
Dunia)
Oleh itu, sebagai umat Islam kita
mesti berusaha menyelamatkan generasi muda dengan membentuk personaliti yang
baik beriman dan berakhlak.
Rasulullah SAW berpesan dalam
sabdanya yang bermaksud: "Seseorang Muslim ialah yang terselamat kaum
Muslimin daripada lidah dan tangannya. Seorang Mukmin ialah yang dipercayai
oleh kaum beriman terhadap jiwa dan harta mereka dan seorang muhajir ialah yang
berhijrah meninggalkan dan menjauhi keburukan (kejahatan)." (riwayat
Ahmad)
Akhirnya, daripada segi pengisian
hati dan diri generasi hari ini perkara yang perlu diberi tumpuan ialah didikan
berterusan dalam agama dan ilmu pengetahuan lain yang dapat diseimbangkan bagi membentuk
kehidupan mereka.
PENULIS berkelulusan PhD
Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan