Rabu, 15 Mei 2013

ISU PENDIDIKAN : Tokoh Guru Kebangsaan Kini Timbalan Menteri Pelajaran Yang Baharu


TAWAU : Tokoh Guru Sabah 2011 dan Tokoh Guru Kebangsaan 2012 Datuk Mary Yap Kain Ching, 62, bekas pengetua cemerlang, merupakan tokoh pendidikan yang bukan sahaja dikenali di Sabah, tetapi juga di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran I itu, yang juga merupakan Tokoh Maulidul Rasul Kebangsaan 2007, memulakan kerjayanya dalam pendidikan sebagai pensyarah Maktab Perguruan Sandakan pada 1975.

Pada 1976, beliau berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau sebagai guru bahasa Inggeris, dan pada 1983, berpindah ke SM Holy Trinity sebelum dilantik Ketua Jemaah Nazir Sekolah Zon Tawau pada 1989.

Pada 1993, Mary Yap dilantik Pengetua SM St Patrick sebelum ke SMK Jalan Apas, Tawau (1996), SM Vokasional Tawau (1996), SM Teknik Tawau (2003) dan kemudian menjadi Pengetua Cemerlang.

Pada tahun yang sama, Mary Yap menjadi Pengarah Maktab Perguruan Sandakan, dan setahun kemudian menyandang jawatan Pengarah Maktab Perguruan Tawau sehingga 2005.

Penerima Anugerah Wanita Cemerlang Sabah Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) bagi tahun 2004, Mary Yap kembali ke SM Teknik Tawau pada 2005 dan dilantik Pengetua Super berjawatan JUSA C.

Selepas bersara, pemilik ijazah sarjana dalam bidang pendidikan dari Universiti Leeds, United Kingdom itu menjadi perunding kanan Institut Aminuddin Baki selama dua tahun dan beliau merupakan panel penasihat kepada Menteri Pelajaran untuk sekolah kluster.

Mary Yap, yang pertama kali bertanding pada pilihan raya umum tahun ini, memenangi kerusi Parlimen Tawau dengan majoriti 4,979 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Anak seorang kerani, dilahirkan di Kota Kinabalu dan dibesarkan di Tawau itu turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Inggeris Dengan Kepujian dan Diploma Pendidikan pada 1974, serta memperoleh Sijil Trainer of Trainers melalui kursus pendek di Universiti Manchester pada 1997.

Mary Yap terus menyumbang baktinya kepada masyarakat dengan menyertai MPWS sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan selepas bersara.

Sejak 2009 hingga kini, beliau merupakan Ahli Pemegang Amanah Yayasan PINTAR di Kuala Lumpur dan Penasihat kepada Sekolah Kluster Cemerlang di Kementerian Pelajaran selain menjadi Pengerusi Majlis Persekutuan Sekolah Mubaligh Kristian Malaysia.- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan