Oleh : Zulkifli Jalil
BARISAN Kabinet baharu yang
diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyenaraikan
seorang pun anggota yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei
lalu. Ini berbeza dengan Kabinet 2009 yang masih ada elemen berkenaan.
Ternyata Barisan Nasional (BN)
membalas kepercayaan mandat rakyat dengan menampilkan kabinet yang akan lebih
berkhidmat untuk rakyat.
Kabinet kali ini menampilkan
gandingan muka lama dan baharu dalam usaha meneruskan agenda transformasi
negara. Mereka terdiri daripada 29 menteri dan 27 timbalan menteri bagi 24
kementerian.
Selain terdiri daripada mereka
yang berpengalaman, teknokrat dan wakil golongan muda, Kabinet yang dibentuk 10
hari selepas PRU-13 itu meskipun dibarisi Bumiputera namun ia merupakan Kabinet
Malaysia yang boleh berkhidmat untuk semua kaum.
Lagi pun, Bumiputera turut
merangkumi pelbagai etnik, budaya, dan agama termasuk Kristian di Sabah dan
Sarawak. Sesuatu yang menyerlah dalam barisan baharu ini adalah keanggotaan
ramai wakil Sabah dan Sarawak.
Ia merupakan satu penghargaan
kepada parti-parti komponen BN kedua-dua negeri itu yang telah membentuk lebih
30 peratus atau 47 kerusi daripada keseluruhan 133 kerusi Parlimen yang
dimenangi BN di peringkat Persekutuan.
Dan jika sebelum ini Kabinet
menampilkan empat menteri dari Sabah, kini bertambah dua, menjadikan enam.
Sarawak pula menyaksikan tujuh menteri berbanding tiga sebelum ini.
Antaranya muka baharu, Datuk
Abdul Rahman Dahlan (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan), Datuk Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya), Datuk Richard Riot
(Sumber Manusia), Datuk Rohani Abdul Karim (Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Dr. Ewon Ebin (Menteri Sains, Teknologi dan
Inovasi).
Selain itu yang dikekalkan, Datuk
Seri Anifah Aman (Menteri Luar), Datuk Seri Douglas Uggah Embas (Menteri
Perusahaan Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Menteri
Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Seri Maximus Ongkili (Menteri Tenaga,
Teknologi Hijau) dan Datuk Seri Idris Jala (Menteri di Jabatan Perdana
Menteri).
Pada PRU-13, BN Sarawak
menyumbang kemenangan 25 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen yang
dipertandingkan manakala Sabah menang 22 daripada 25 kerusi Parlimen.
Semalam, Najib turut
memperkenalkan kabinet yang mantap dengan mengurangkan bilangan kementerian
kepada 24 daripada 25, dan menyelaras beberapa aktiviti dan bidang tugas
kementerian-kementerian.
Antara kementerian yang
diselaraskan ialah Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi yang
digabungkan menjadi Kementerian Pelajaran yang akan diterajui dua orang
menteri.
Kementerian Wilayah Persekutuan
dan Kesejahteraan Bandar diselaraskan menjadi Kementerian Wilayah Persekutuan
manakala portfolio kesejahteraan bandar di bawah kementerian itu digabungkan
dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Fungsi kementerian diyakini
mempunyai sinergi agar lebih efektif. Kementerian Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan pula diselaraskan menjadi Kementerian Komunikasi dan Multimedia,
manakala elemen kebudayaan dicantumkan dengan Kementerian Pelancongan.
Dengan keyakinan untuk meneruskan
momentum transformasi nasional di samping dapat meningkatkan lagi keyakinan
rakyat terhadap kerajaan, Kabinet baharu ini diyakini memiliki kewibawaan untuk
menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran serta mempunyai
tingkah laku yang disukai rakyat.
Selain diperkukuhkan oleh dua
wakil generasi muda, Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan) dan Abdul
Rahman Dahalan, Najib turut membawa masuk Presiden Transparency
International Malaysia Datuk Paul Low, yang dilihat sebagai bukti
keseriusan beliau untuk mempertingkatkan lagi integriti dalam kerajaan dalam
usaha memerangi rasuah.
Pemilihan Presiden Maybank, Datuk
Seri Abdul Wahid Omar menganggotai Kabinet juga dilihat sebagai usaha serius
Perdana Menteri untuk meneruskan pelaksanaan agenda transformasi ekonomi
negara.
Pengalaman Abdul Wahid sebagai
teknokrat dalam bidang perbankan dipercayai dapat membantu kerajaan menjayakan
lagi program transformasi. Paul Low pula akan menumpukan kepada pengukuhan
integriti menerusi Institut Integriti Nasional (IIN) dan menangani hal-hal
berkaitan Biro Pengaduan Awam.
Ketiadaan wakil MCA dalam Kabinet
kali ini semua maklum kerana pendirian parti itu untuk tidak menerima sebarang
jawatan dalam kerajaan setelah prestasinya pada PRU-13 lebih teruk daripada
PRU-12.
Pada PRU-13, MCA hanya menang
tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang ditandingi, dan hanya 11 daripada 90
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada 2008, parti itu memenangi 15 kerusi
Parlimen dan 32 kerusi negeri. Bagaimanapun kedudukan MCA dalam Kabinet
menerusi satu slot untuk portfolio Menteri Pengangkutan akan ditentukan
kemudian.
Sebelum Parlimen dibubar pada 3
April lepas, MCA mempunyai empat menteri penuh dalam Kabinet iaitu Datuk Seri
Dr. Ng Yen Yen (Menteri Pelancongan); Datuk Seri Kong Cho Ha (Menteri
Pengangkutan); Datuk Seri Chor Chee Heung (Menteri Perumahan dan Kerajaan
Tempatan) dan Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Kesihatan). Chee Heung dan
Tiong Lai menang dalam PRU-13.
Selain itu terdapat tujuh
timbalan menteri dari MCA iaitu Datuk Seri Donald Lim Siang Chai (Kementerian
Kewangan); Datuk Chua Tee Yong (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani);
Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Dalam Negeri), Datuk Ir. Wee Ka Siong
(Kementerian Pelajaran); Gan Ping Sieu (Kementerian Belia dan Sukan); Datuk Dr.
Hou Kok Chung (Kementerian Pengajian Tinggi) dan Datuk Heng Seai Kie
(Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Dalam pada itu, Gerakan yang
turut gagal meraih sokongan kaum Cina dalam PRU-13 tidak mengisi slot dalam
Kabinet. Sebelum ini, Gerakan mempunyai seorang menteri penuh apabila
Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang dilantik sebagai senator diberikan
jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Pada masa sama, sebelum ini dua
lagi anggota parti itu iaitu Senator Kohilan A.Pillay sebagai Timbalan Menteri
Luar dan Datuk Tan Lian Hoe sebagai Timbalan Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.
Penyertaan enam wakil India dalam
Kabinet Najib - dua menteri dan empat timbalan menteri - juga adalah julung
kali dilakukan Perdana Menteri. Ini termasuk memberi keutamaan dan kepercayaan
kepada dua wakil yang bukannya dari MIC, yang membawa perubahan besar terhadap
kedudukan sosioekonomi masyarakat India.
Mereka ialah Pengerusi Barisan
Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P.Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, dan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau
Pinang Datuk Loga Bala Mohan, yang akan dilantik sebagai Senator, dipilih
sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.
Sementara itu, mengetuai barisan
wakil MIC dalam Kabinet ialah Presiden parti itu Datuk Seri G.Palanivel yang
dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan timbalannya Datuk
Seri Dr. S.Subramaniam pula dilantik sebagai Menteri Kesihatan.
Ketiadaan menteri dari Selangor
dalam Kabinet, dengan pengguguran Datuk Seri Noh Omar yang sebelum ini Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani, dipercayai ada kaitan dengan prestasi merudum
BN Selangor dalam PRU-13.
Ketiadaan Datuk Shaziman Abu
Mansor (penyandang Menteri Kerja Raya) dalam Kabinet baharu ini dikatakan dari
keputusannya sendiri yang menarik diri. Kabinet kali ini juga menyaksikan Datuk
Seri Idris Jusoh kembali menganggotai Kabinet manakala Datuk Seri Shahidan
Kassim dari negeri ke Pusat. Yang naik pangkat dari timbalan menteri ke menteri
pula ialah Datuk Hasan Malek dan Rohani.
Sementara itu, penyertaan kali
pertama Khairy yang lompat
terus ke jawatan menteri sememangnya diramalkan banyak pihak dan pemerhati. Dan
lebih ketara lagi, Khairy mampu mendampingi golongan muda.
Dalam keadaan sekarang, suara anak muda tidak boleh dipinggirkan
kerana kuasa dan pengaruh mereka dalam politik negara mewakili jumlah yang
bukan sedikit. Dan buktinya, keputusan PRU-13 baru-baru ini turut dipengaruhi
oleh pengundi muda yang rata-ratanya dilihat ke sebelah sana.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan