OLEH : RUHAIZA RUSMIN
Mendepani alaf baru, peluang
untuk bergelar mahasiswa terbuka luas. Malah, saban tahun jumlah mereka
dikeluarkan institusi pengajian tinggi juga semakin ramai, sehingga wujud
persaingan sengit mendapatkan pekerjaan setaraf dengan ijazah dan diploma
dimiliki.
Namun, dari satu sudut, kita
dapati peranan mahasiswa dalam masyarakat hari ini kurang menonjol atau istilah
tepatnya lesu dan kalau ada gemanya pun, hanya bersifat sementara mengikut
musim tertentu, kemudian hilang.
Malah, tidak keterlaluan ada
suara mengatakan mereka pupus idea, tidak konsisten dan mempunyai jati diri
yang rapuh, sekali gus dikhuatiri boleh menjejaskan kerancakan hala tuju
pembangunan negara. Sejauh mana dakwaan itu benar?
Timbalan Naib Canselor
(Pembangunan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Wahid Omar
berkata, beliau tidak menafikan apabila melihat senario masa kini, kekentalan
semangat jati diri mahasiswa tidak wujud pada semua.
“Hanya sebilangan kecil yang
dapat kita saksikan mempunyai jati diri kental, manakala sebilangan besar pula
agak rapuh. Kenyataan ini bukan bersikap berat sebelah.
“Jika kita lihat, dalam ratusan
mahasiswa hari ini, berapa kerat berani menunjukkan kematangan, berani tampil
ke depan dan berani bersuara melahirkan pendapat? Bukankah boleh dibilang
dengan jari?,” katanya.
Justeru katanya, pembangunan diri
mahasiswa perlu konsisten bagi menjadikan mereka ‘kebal’ berdepan dunia
sebenar.
Menurutnya, mempunyai pendirian
yang tetap dan cergas boleh menjadi penangkis kepada golongan berkenaan
daripada terus diperlekehkan.
Katanya, mahasiswa biarpun masih
belajar tidak bermakna mereka hanya perlu menumpukan pada konsep 3K (kuliah,
kolej dan katil) semata-mata.
“Bukankah ramai berkata, alam
paling mengasyikkan adalah alam remaja dan pengajian? Jadi mengapa mahasiswa
tidak mahu menggunakan kesempatan ini untuk meneroka segala peluang di depan
mata?
“Percayalah, peluang ini tidak
akan datang kali kedua, sebab itu perlu dimanfaatkan. Tapi memanfaatkan peluang
berkenaan untuk perkara baik dan positif,” katanya yang kesal apabila ada
mahasiswa seolah-olah terkongkong dalam dunia buatan sendiri.
“Memang benar, universiti adalah
tempat belajar, tapi mereka kena juga tahu konsep belajar itu sendiri.
“Belajar untuk lulus periksa
adalah asas, tapi belajar bergaul dengan orang, belajar berfikir dan sebagainya
juga adalah salah satu proses belajar.
“Malah, pelajaran lebih bermakna
adalah yang tidak terdapat di dalam buku atau dewan kuliah. Jadi, jangan
sempitkan pemikiran belajar di kampus semata-mata mahu mendapatkan ijazah,”
katanya.
Mengulas mengenai kecenderungan
segelintir mahasiswa yang gemar mengamalkan sikap 3K, beliau mengakui ia sangat
merugikan.
Menurutnya, mengamalkan sikap itu
bukan saja menjadikan mereka ketinggalan dalam pembinaan kendiri, malah tepu
daripada menerima maklumat isu semasa di luar lingkungan kampus.
“Kita tidak menafikan, ada
mahasiswa yang sentiasa mengemas kini maklumat untuk diri sendiri. Ini bagus,
tapi berapa ramai?
“Yang lainnya masih mengamalkan
sikap 3K dan berasakan apa yang berlaku di luar sana tidak penting. Bagi
mereka, pencapaian akademik adalah keutamaan.
“Mereka mungkin kurang sedar,
industri hari ini sudah berubah. Kelulusan akademik yang baik semata-mata bukan
jaminan memperoleh pekerjaan tapi banyak lagi aspek perlu dititikberatkan,”
katanya.
Dr Wahid berkata, mahasiswa perlu
bangkit dan berubah serta melatih minda supaya tidak terlalu dimomokkan dengan
konsep keselesaan.
Menurutnya, pada zaman global,
persaingan wujud daripada pelbagai segi dan menjadi ‘peperangan’ sengit kepada
mahasiswa.
“Globalisasi bermakna dunia tanpa
sempadan. Setiap orang berdepan dan ada cabaran masing-masing.
“Bagi mahasiswa, mereka antara
kelompok paling getir kerana selepas pengajian, sudah tentu mahukan pekerjaan
yang kini turut diintai ribuan mahasiswa lain.
“Sebab itu perlukan strategi
betul untuk berdepan ‘peperangan’ itu dan satu caranya ialah membina kemahiran
diri dengan mekanisme tertentu di menara gading,” katanya.
Mengulas sama ada ‘kelesuan’
mahasiswa hari ini sama seperti dulu, beliau menggariskan beberapa perbezaan.
“Antaranya, mahasiswa dulu
kebanyakannya agresif dalam membina kelangsungan jati diri sebab tahu hanya
yang berusaha keras saja akan berjaya.
“Kebanyakan mereka juga datang
daripada keluarga susah. Universiti adalah tempat terbaik mengubah masa depan
diri dan keluarga.
“Mahasiswa hari ini semuanya
tersedia. Ada pinjaman, ada banyak pilihan institusi dan sebagainya. Mereka
jadi malas berusaha, hanya tahu menadah dan sentiasa mahu disuap,” katanya
mengakui sikap itu dikhuatiri bakal menjadikan mahasiswa golongan manja.
“Saya akui bukan semua, tapi
kalau kita lihat ada mahasiswa yang tidak pandai berdikari. Semuanya perlu
dipimpin, diajar dari awal hingga akhir.
“Budaya ini tidak bagus kerana
mereka kena aktif, berani dan berpandangan jauh. Ini zaman globalisasi.
Serba-serbi kena pantas. Yang malas dan banyak alasan akan ketinggalan,”
soalnya.
Beliau tetap optimis anjakan
paradigma boleh dilakukan andai kata mahasiswa mahu berubah.
“Syaratnya perubahan mesti datang
daripada diri sendiri, bukan orang lain. Perubahan (daripada diri sendiri)
lebih nikmat dan berkekalan. Malangnya, berapa ramai yang sedar dan berapa
ramai pula yang masih terleka?” soalnya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan