Selasa, 14 Mei 2013

ISU PENGANGKUTAN AWAM : Ke arah pengangkutan awam lebih cekap dan berkesan


Oleh : Mohd Ayop Abd Razid 

Sistem pengangkutan adalah kemudahan infrastruktur yang sangat penting bagi setiap negara dalam pelbagai segi. Ia membolehkan pergerakan manusia dan barangan, mencorak penggunaan tanah dan paten pembangunan sesuatu negara itu, menghasilkan pertumbuhan ekonomi serta penjanaan pekerjaan, menyokong dasar awam yang berkaitan dengan penggunaan tenaga, kualiti udara dan seterusnya pengeluaran karbon.

Kajian yang banyak dijalankan dalam beberapa negara maju menunjukkan bahawa pelaburan dalam sistem pengangkutan memberi kesan signifikan kepada ekonomi sesuatu negara itu dalam segi penyediaan pekerjaan, sistem penggajian dan pendapatan perniagaan.

Kemudahan setanding negara maju

Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur pengangkutan yang baik setanding dengan apa yang terdapat dalam kebanyakan negara maju. Dari segi pengangkutan darat, Malaysia mempunyai rangkaian lebuh raya dan jalan raya sepanjang lebih kurang 6,3000 kilometer yang baik dengan lebih kurang 2.6 peratus daripadanya adalah lebuh raya yang setanding dengan yang ada di negara maju lain.

Selain daripada pengangkutan darat, pengangkutan manusia dan barangan berat juga boleh dilakukan melalui rel yang menyambung beberapa bandar utama dari utara hingga pantai timur dan selatan Semenanjung. Kebanyakan bandar utama di seluruh negara juga dihubungkan melalui rangkaian udara yang baik oleh tiga syarikat penerbangan tempatan. Enam daripada lapangan terbang bertaraf antarabangsa negara pula menyediakan hubungan udara ke berbagai destinasi bandar raya utama dunia.

Pertumbuhan ekonomi berkait rapat dengan pembangunan sistem pengangkutan khususnya dari segi infrastruktur dan kepakaran pengurusan. Sektor pengangkutan juga boleh menyumbang ke arah penghapusan kemiskinan luar bandar, sekali gus menaik taraf kehidupan rakyat melalui aktiviti ekonomi luar bandar yang pelbagai, pasaran niaga yang cukup dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Oleh sebab itulah, kerajaan memberi penekanan yang tinggi terhadap penyediaan sistem pengangkutan yang berkesan dan cekap. Peletakan keutamaan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam sebagai salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Nasional, penyediaan peruntukan sejumlah RM2.8 billion dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah antara petunjuk utama mengenai perkara penting ini.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), sistem pengangkutan awam yang mesra rakyat dirancangkan. Pendekatan rancangan bertukar daripada sektor pengangkutan sebagai isu kejuruteraan kepada sistem pengangkutan yang memberi penekanan kepada kesiapsiagaan perkhidmatan, kemudahan mobiliti perjalanan dan sambungan antara perjalanan yang baik. Penekanan ke arah mobiliti ini adalah selaras dengan pengalaman negara maju yang menunjukkan mobiliti yang tinggi menghasilkan peluang dan pemangkin kemajuan yang lebih baik berbanding mobiliti yang terhad.

Sistem pengangkutan cekap

Sesuatu sistem pengangkutan yang cekap bukan sahaja sistem yang mampu membolehkan masa perjalanan yang singkat dan tambang yang murah. Sistem pengangkutan yang cekap dan berkesan perlu juga menyediakan suasana perjalanan yang selesa dan selamat kepada pengguna melalui penyediaan kemudahan seperti terminal pengangkutan yang lengkap dengan keperluan hospitaliti, kemudahan hubungan antara terminal utama dengan terminal mod pengangkutan yang lain dan keselamatan. Penyediaan terminal pengangkutan darat seperti KL Sentral dan Stesen Terminal Bersepadu Selatan adalah antara usaha bagi merealisasikan pendekatan pengangkutan yang mesra pengguna.

Dalam sektor pengangkutan udara, pengoperasian syarikat penerbangan tambang murah menolong menjayakan keperluan capaian dan kemampuan dalam pengangkutan. Penyediaan terminal baru yang lebih selesa dan mampu mengendalikan trafik udara yang lebih tinggi bagi sektor penerbangan tambang murah serta penyertaan sistem penerbangan udara nasional dalam program OneWorld juga akan mampu menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.

Antara isu penting yang sering ditimbulkan berkaitan dengan sektor pengangkutan sama ada dalam atau pun luar negara ialah yang berkaitan dengan kemudahan pengangkutan awam dalam kawasan bandar. Dalam Persidangan Tahunan Ke-10 Pengubahan Pengangkutan anjuran Bank Dunia di Washington DC pada Januari lalu, tiga perkara yang berkaitan dengan isu pengangkutan awam dalam bandar adalah pengintegrasian pengangkutan bandar dengan pembangunan, sistem pengangkutan lestari dan keselamatan serta kesihatan bandar.

Dalam negara, dua isu yang sama sering disuarakan pengguna ialah mengenai kesesakan lalu lintas dan kekurangan keberkesanan pengangkutan awam darat. Banyak usaha sudah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu ini, antaranya peningkatan jumlah pengguna sistem LRT dan komuter yang berkesan mengurangkan bilangan kenderaan individu ke dalam kawasan bandar. Ia juga memendekkan masa perjalanan dan secara tidak langsung mengurangkan tekanan kerja.

Wujud suasana sihat, lestari

Sistem pengangkutan yang berkesan dan cekap akan menghasilkan suasana kehidupan yang sihat dan lestari dari segi sosial, ekonomi, persekitaran dan kewangan. Malaysia sudah mencapai satu tahap kualiti yang tinggi melalui transformasi dalam penyediaan infrastruktur pengangkutan yang baik. Namun begitu, usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem pengangkutan secara umumnya perlu diteruskan bagi memastikan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sentiasa berlaku bersama.

Bagi tujuan itu, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian bagi menjayakan lagi transformasi pengangkutan negara.

a. Pelaksanaan proses perancangan pengangkutan yang kurang bergantung kepada kereta.

b. Peningkatan infrastruktur bagi mengambil kira kebaikan sistem pintar dalam pemantauan dan kawalan trafik terutama dalam kawasan bandar.

c. Teknik pengurusan sistem pengangkutan perlu mampu menyelesaikan kesesakan jalan raya yang berpunca daripada kemalangan jalan raya dan sebagainya dalam masa yang sesingkat mungkin.

d. Pengintegrasian pelan pembangunan bandar dan pengangkutan.

e. Pendidikan berterusan bagi melahirkan pengguna jalan raya yang bertanggung jawab.

Sistem pengangkutan yang cekap dan berkesan menyediakan peluang serta kebaikan ekonomi dan sosial yang mampu menghasilkan kesan berganda kepada negara. Sekiranya segala perancangan dapat dilaksana, dipantau serta senggara dengan baik, sistem pengangkutan yang cekap boleh direalisasikan.

Penulis ialah Ketua Kluster Kejuruteraan dan Teknologi, Majlis Profesor Negara

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen