Jumaat, 21 Jun 2013

ISU ALAM SEKITAR : Indonesia Perlu Beri Kerjasama Tangani Jerebu

Pembakaran ladang di Sumatera yang mencetuskan jerebu

Jerebu di Singapura
Jerebu kembali lagi. Kali ini pencemaran udara akibat pembakaran ladang dan hutan di Sumatera, Indonesia yang dibawa angin monsun lebih buruk berbanding sebelum ini. Ratusan sekolah di Johor terpaksa ditutup serta-merta apabila jerebu mencapai tahap berbahaya. Di negeri lain di Semenanjung, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) juga semakin meningkat dengan banyak kawasan dilitupi jerebu. Bilangan pesakit berkaitan pernafasan dilaporkan semakin meningkat. Singapura juga teruk terjejas dengan IPU mencecah tahap berbahaya, iaitu 400.

Malah, kerajaan republik itu sudah memberi amaran kepada rakyatnya bahawa keadaan itu dijangka berterusan untuk beberapa minggu. Perang mulut antara Singapura dan Jakarta juga sudah meletus apabila saling menghentam pendirian masing-masing berhubung masalah jerebu itu. Singapura mahukan Indonesia bertindak lebih tegas, termasuk mendedahkan syarikat yang bertanggungjawab melakukan pembakaran itu dan mengambil tindakan undang-undang. Jakarta pula menyifatkan Singapura bersikap seperti budak kecil kerana menggembar-gemburkan masalah jerebu itu.

Hakikatnya, jerebu sudah menjadi masalah tahunan di rantau ini sejak 1982. Pada 1998, keadaan jerebu begitu buruk sehingga menjejaskan Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand. Malaysia dan beberapa negara lain terpaksa menghantar anggota bomba untuk membantu Indonesia memadamkan kebakaran di wilayahnya. Apabila masalah sama berulang, Malaysia dan negara berkenaan memeterai Perjanjian Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan bagi menanganinya. Malangnya, Indonesia sehingga kini belum menandatanganinya, sekali gus menyukarkan usaha serantau untuk menangani masalah pembakaran terbuka dan jerebu secara berkesan. Seperti kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, negara ASEAN perlu saling membantu dalam semangat kerjasama untuk menangani masalah jerebu dan isu kualiti udara ketika ini.

Malaysia sendiri akan menghantar Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel untuk membincangkan penyelesaian. Hanya tindakan tegas Indonesia mengawal perbuatan pembakaran terbuka oleh syarikat perladangan di negara itu dapat mencegah jerebu daripada berulang. Identiti syarikat terbabit juga perlu didedahkan supaya negara lain, termasuk Malaysia boleh mengambil tindakan jika antaranya adalah milik rakyat masing-masing. Tanpa kerjasama Indonesia, sudah tentu negara ASEAN lain tidak dapat membantu. Gunalah semangat setia kawan ASEAN untuk menyelesaikan masalah serantau ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen