Nusajaya : Semua 491 sekolah di Muar, Ledang, Batu
Pahat dan Pasir Gudang membabitkan 273,433 pelajar ditutup serta-merta selama
dua hari mulai semalam akibat jerebu yang mencapai tahap berbahaya.
Arahan dikeluarkan Jabatan Pendidikan Johor selepas menerima
surat pekeliling Kementerian Pendidikan yang mengarahkan Pejabat Pendidikan
Daerah (PPD) menutup semua sekolah di daerah berkenaan berikutan Indeks
Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan melebihi 300, iaitu tahap berbahaya.
Bacaan IPU di Muar mencatatkan 337 pada jam 7 pagi sebelum
meningkat kepada IPU 383 mulai jam 11 pagi, manakala di Pasir Gudang meningkat
sehingga 333 pada jam 5 petang.
Langkah keselamatan
Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Nor A Ghani, berkata
penutupan semua sekolah rendah dan menengah itu perlu sebagai langkah
keselamatan apabila jerebu semakin teruk.
“Murid sesi pagi yang datang diminta pulang, manakala murid
sesi petang diminta tidak hadir,” katanya pada sidang media selepas Persidangan
Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Penggal Ke-13, di Kota Iskandar di sini
semalam.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin;
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Ketua Penolong Pengarah Kanan
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Azuri Azizah Saedon.
Mohd Nor berkata, sekolah di daerah lain yang mencatatkan
bacaan tidak sihat IPU 101-200, diminta mengambil langkah berjaga-jaga selain
mengehadkan aktiviti di luar bilik darjah.
Sementara itu, tinjauan sekitar Muar mendapati notis
pemberitahuan PPD dipamerkan di pintu masuk menyatakan sekolah ditutup bermula
esok.
Henti aktiviti kokurikulum
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit Jawa, Nora Abdullah,
berkata sejak Isnin lalu PPD sudah menghantar pekeliling bagi memaklumkan
keadaan jerebu terkini dan langkah keselamatan yang perlu diambil.
Katanya, pagi semalam pihaknya menerima notis terbaru supaya
menutup sepenuhnya sekolah sehingga diberitahu berikutan jerebu yang semakin
teruk.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud pula
mengarahkan semua aktiviti kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah
dihentikan jika IPU melebihi 150 bagi murid berisiko dan 250 untuk semua murid.
“Kita juga sudah mengarahkan pentadbiran menutup semua
sekolah yang berada dalam kawasan mempunyai IPU melebihi 300,” katanya.
Sementara itu, kementerian
membuka bilik gerakan untuk memantau perkembangan bagi memudahkan langkah
sewajarnya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan