IBADAT puasa amat unik, ia ada
hubungan dengan kesihatan dan pemakanan. Sebahagian dari pengisian Ramadan
adalah ibadat puasa. Bila disebut puasa atau Ramadan, pelbagai jenis makanan
dan juadah dihidang dan dijualbelikan orang. Di samping itu ada makanan dan
minuman yang boleh memberi kesihatan kepada tubuh badan seseorang dan ada yang
boleh menjejaskan kesihatan pemakannya.
Justeru, ALLAH SWT sayang kepada
hamba-Nya, maka diwajibkan berpuasa supaya manusia terdidik untuk menjaga
kesihatannya. Melakukan puasa adalah salah satu cara untuk mengurus kesihatan.
Ibadat puasa juga sebagai benteng daripada api neraka.
Dalam konteks menjaga kesihatan
dan pemakanan, pakar-pakar kesihatan mengakui hakikat menjaga pemakanan
merupakan faktor terpenting menentukan tahap kesihatan. Rasulullah SAW
menyatakan dalam hadis bermaksud: “Berpuasalah kamu nescaya kamu akan sihat.”
(Riwayat Ibnu Majah).
Berpuasa mempunyai hubung kait
dengan makanan dan minuman. Apabila kita berpuasa, jadual masa makan dan minum
telah berubah. Bersahur adalah ganti kepada sarapan pagi, manakala berbuka
puasa adalah ganti makan malam.
Ada kalanya suatu penyakit
disebabkan faktor keturunan atau keadaan setempat tetapi kebanyakan penyakit
berlaku kerana tabiat dan aktiviti pemakanan yang tidak dikawal. Sabda Rasulullah
SAW bermaksud : “Perut itu adalah rumah penyakit.” Maksud perut dalam hadis itu
bukanlah saiznya tetapi apa yang diisi ke dalam perut berupa makanan dan
minuman. Nabi menyatakan lagi maksudnya: “Perut itu semacam telaga bagi badan,
urat dan pembuluh darah. Apabila perut itu sakit maka pembuluh darah itu akan
membawa penyakit.”
ALLAH TAALA menegaskan dalam
al-Quran agar seseorang mukmin hendaklah memakan makanan yang halal lagi baik,
bersih dan suci tetapi tidak melakukan secara berlebihan kerana makan yang
diambil secara berlebihan akan mengundang penyakit walaupun bukan pada waktu
itu tetapi dalam jangka masa panjang. Firman ALLAH bermaksud: “Dan makan dan
minumlah dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya (ALLAH) tidak sukakan mereka
yang berlebih-lebihan.” (Al-’Araf : 31).
Apa yang berlaku kepada kita hari
ini apabila kita berada dalam keadaan mewah dan mudah mendapatkan makanan yang
pelbagai tidak termasuk makanan popular seperti ‘makanan segera’ dan
penyemburan racun pada sayuran dan buah-buahan serta berbagai-bagai kesan bahan
pengawet, pembungkusan yang membawa kepada penyakit kanser dan lain-lain.
Nabi SAW memberi panduan kepada
kita yang apabila kita ikuti adalah jaminan kepada kesihatan yang baik. Sabda
Baginda bermaksud: “Makanlah ketika kamu lapar dan berhentilah sebelum kamu
kenyang.” Sabda Nabi SAW lagi bermaksud: “Tidaklah anak Adam itu memenuhi bekas
yang paling hina dari perutnya. Memadai anak Adam itu makan beberapa suap yang membolehkan berdiri tulang
belakang (bekerja kuat). Sekiranya ia tidak mampu melakukan (makan yang sedikit
itu) maka hendaklah ia membahagikan perutnya sepertiga untuk makanannya,
sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk pernafasan.”
Oleh sebab itu ibadat puasa
adalah sebagai satu latihan untuk mengawal makan dan minum seseorang dan
sebagai satu peringatan supaya kita sentiasa menjaga makanan dan minuman bagi
menjamin kesihatan yang baik.
Walaupun Nabi SAW menyatakan:
“Setiap penyakit itu ada ubatnya.” Sebaliknya Nabi juga berpesan dengan maksud
: “Memelihara daripada terkena penyakit itu lebih baik daripada mengubat
penyakit tersebut.”
Ibadat puasa melatih seseorang
selain bertakwa dari segi rohani, juga dapat menjaga kesihatan jasmani.
Pakar-pakar kesihatan dan sains dari Barat mengakui mengenai ibadat puasa
sebagai ubat dan penawar bagi kesihatan fizikal dan mental.
Sumber : http :
//www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan