EKORAN perbuatan jenayah yang kejam terhadap
kanak-kanak seperti culik, penderaan, liwat, rogol dan juga pembunuhan, kita
kini perlu lebih mendidik anak-anak bagaimana untuk melindungi diri mereka
sendiri. Melindungi anak-anak daripada keganasan adalah suatu komponen yang
menyeluruh dalam membela hak mereka untuk hidup, membesar dan membangunkan
potensi diri.
Melindungi anak-anak daripada
perbuatan jenayah adalah tanggungjawab semua. Ia bukan sahaja tugas pihak
berkuasa tetapi masyarakat secara keseluruhannya harus turut memainkan peranan.
Perlindungan ke atas anak-anak harus dimulakan oleh ibu bapa dari rumah. Ibu
bapa perlu tahu di mana anak mereka berada sepanjang masa. Mereka perlu mendidik
anak-anak bagaimana untuk respons kepada situasi yang berbahaya.
Ibu bapa juga harus menasihatkan anak-anak mereka
supaya berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali, mendidik mereka tentang
keselamatan dan tindakan yang perlu
mereka lakukan apabila sesuatu insiden berlaku.
Sekolah boleh memainkan peranan
yang penting di dalam hal ini. Saya mencadangkan pendidikan keselamatan
kanak-kanak diperhebatkan di sekolah
rendah kerana mereka mudah terdedah kepada pelbagai risiko terutamanya apabila
tidak dibekalkan dengan pendidikan tentang keselamatan.
Pihak polis dan pihak berkuasa
lain juga boleh melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan perlindungan yang
lebih baik untuk kanak-kanak khasnya dan
orang awam secara amnya. Langkah-langkah seperti rondaan kaki di kawasan yang
berisiko tinggi harus diperhebatkan; kerap mengadakan sesi dialog dengan
penduduk dan pertubuhan perniagaan bagi menyuarakan tentang isu-isu keselamatan
serta mengadakan lebih banyak kempen pencegahan jenayah. Pihak berkuasa tempatan
perlu mengenal pasti lebih banyak kawasan untuk dipasangkan kamera litar
tertutup (CCTV) dan memberi lebih banyak perhatian terhadap pencahayaan yang
baik di lorong-lorong dan simpang-simpang jalan yang gelap dan sunyi.
Memandangkan kadar jenayah masih
serius dan kekerapan kebimbangan orang awam terhadap isu keselamatan, saya
ingin menegaskan keperluan untuk mewujudkan konsep 'Masyarakat Selamat'.
Definisi 'masyarakat selamat' adalah tempat di mana orang ramai tinggal,
bekerja dan berekreasi dengan selamat dan sihat.
Selain memperbaiki kehidupan
individu, masyarakat selamat dapat mewujudkan banyak manfaat bersama seperti
jaminan keselamatan untuk orang ramai, mengurangkan kadar jenayah, meningkatkan
produktiviti serta persaingan, mengurangkan kos penjagaan kesihatan dan
mengurangkan perbelanjaan sosial yang lain.
Penulis ialah Naib Pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan