Jumaat, 5 Julai 2013

ISU PENDIDIKAN : Alternatif terbaik sekolah satu aliran


Oleh : NURUL ANUAR KARI

MENYEBUT tentang perdamaian nasional, perkara paling utama untuk jangka panjang sebenarnya bukan dalam dunia politik tetapi dalam dunia pendidikan generasi muda.

Walaupun ada yang menyalahkan pelbagai aliran sekolah sebagai punca perpecahan seawal sekolah rendah, adalah lebih penting untuk mencari penyelesaian agar generasi berikutnya tidak hidup dalam kepompong bangsa sendiri sahaja.

Contoh mudah hidup dalam 'dunia berasingan' sejak zaman sekolah itu jelas boleh dilihat di kalangan muda mudi dan remaja yang tidak tahu bahasa kebangsaan malahan ada tidak tahu bahasa ibunda bangsa masing-masing.

Dalam media dan sektor pekerjaan juga nyata perkara asas seperti bahasa kebangsaan juga gagal diangkat martabatnya apabila bahasa Melayu dijadikan pilihan akhir pengiklan sehinggakan ejaan juga caca-merba.

Antara punca utama masalah ini adalah kelonggaran melampau yang diberikan kepada sekolah-sekolah sehinggakan bahasa kebangsaan malahan jati diri sebagai rakyat Malaysia gagal diterap kepada anak-anak kecil yang tidak tahu sejarah asal-usul mereka.

Oleh itu, semakin ramai yang mahu kerajaan lebih berani mengambil pendekatan agresif dalam pendidikan khususnya memperkasakan kembali konsep Sekolah Wawasan agar anak muda pewaris negara tidak berbalah sesama sendiri dan belajar berkongsi hidup di bumi bertuah ini kelak.

Ini bagi membolehkan murid berbilang bangsa belajar serta bermain bersama-sama, seterusnya memahami perbezaan antara mereka, dididik menghormati dan menjaga sensitiviti orang lain, dan lebih penting menerapkan nilai-nilai murni termasuk cintakan negara tanpa menggadaikan ciri-ciri bangsa atau agama masing-masing.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menjelaskan konsep Sekolah Wawasan cuma mengumpulkan beberapa aliran sekolah dalam satu kawasan bagi membolehkan murid-murid berkongsi kemudahan dan bergaul sesama mereka.

"Ada masanya murid akan berkongsi padang, dewan ataupun kantin, ini memberi peluang kepada mereka berada dalam satu tempat dan bercampur gaul walaupun sistem pelajaran berbeza-beza.

Beliau menegaskan aspek pergaulan di sekolah rendah amat penting dalam pendidikan anak muda negara ini mengikut pepatah 'melentur buluh biar dari rebungnya'.

Tambahnya, proses sosialisasi juga paling berkesan di usia muda selepas umur 3 ke 4 tahun kerana anak kecil tidak tahu beza kaum atau agama dan cuma menganggap semua orang sebagai kawan.

"Melalui konsep Sekolah Wawasan, sekurang-kurangnya murid-murid dapat bergaul, berhimpun ataupun melakukan bermacam aktiviti bersama-sama, dengan itu matlamat perpaduan akan lebih berjaya.

"Buat masa ini hanya lima Sekolah Wawasan sudah diwujudkan. Ia mengambil masa memandangkan terdapat beribu-ribu sekolah dan kesukaran mendapatkan kawasan sesuai," jelasnya.

Menurutnya lagi, sekolah sedia ada menghadapi kesukaran memandangkan aliran berbeza tidak dibina dalam satu kawasan khususnya di Kuala Lumpur yang sukar untuk mencari kawasan tanah dan kekangan tertentu yang melambatkan pelaksanaannya.

Beliau memuji kecantikan kawasan Sekolah Wawasan di Subang Jaya seluas 10 ekar dan merasakan masalah tanah dapat diatasi kelak dalam perancangan sekolah-sekolah baharu yang dibina mengikut konsep Sekolah Wawasan.

"Walaupun masih sukar diterima orang ramai yang tidak selesa dengan konsep 'pergaulan' itu, tetapi dari sudut pendidikan ia penting demi kesatuan dan perpaduan anak-anak kecil yang akan mewarisi negara kelak.

"Ini bukannya idea baharu, sudah 10, 15 tahun difikirkan pemimpin negara dan saya berharap lebih banyak Sekolah Wawasan dapat dibina selepas ini," ujarnya.

Alimuddin menegaskan Sekolah Wawasan perlu diteruskan kerana ia idea baik yang akan memainkan peranan besar dalam usaha perpaduan yang menjadi matlamat utama penyatuan rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Apa yang tidak baiknya kalau murid-murid boleh bergaul mesra? Bukannya mengganggu sekolah mereka, semuanya berjalan seperti biasa di dalam darjah, cuma di luar mereka diberi peluang bergaul bersama.

"Jika murid-murid kecil ini tidak diberi peluang bercampur gaul, bila lagi? Selepas sekolah rendah ia semakin sukar diterap. Saya tidak nampak sebarang isu tidak baik dengan Sekolah Wawasan, mungkin orang tertentu yang mempunyai agenda lain sahaja nampak sebaliknya," tegasnya.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam & Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong juga bersetuju Sekolah Wawasan alternatif terbaik untuk perpaduan jika sekolah satu aliran tidak dapat dilaksanakan.

"Idea ini sejak tahun 1990-an lagi, tetapi nampak kurang berjaya kerana kurang sokongan terutamanya masyarakat bukan Melayu, khususnya orang Cina yang mempunyai prasangka buruk terhadap inisiatif tersebut.

"Mereka fikir dan andaikan Sekolah Wawasan satu usaha menghakis jati diri dan melenyapkan identiti anak Cina, satu usaha memelayukan dan akhirnya mengislamkan anak-anak mereka," jelasnya.

Beliau menegaskan prasangka itu adalah tidak berasas kerana konsep tersebut cuma memberi ruang untuk murid-murid bergaul dengan berkongsi kemudahan tanpa mengganggu aliran pendidikan di sekolah kebangsaan (SK) mahupun sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang dibina berasingan.

Tambahnya, tujuannya cuma untuk interaksi antara murid berlainan bangsa agar saling mengenali serta faham-memahami cara hidup dan budaya antara mereka, akhirnya memupuk persahabatan dan perpaduan antara rakyat.

"Lihat sahaja polarisasi kaum di sekolah, SK dengan majoriti murid Melayu, SJK(C) dengan majoriti murid Cina dan SJK(T) dengan majoriti murid India. Tiada pergaulan antara anak bangsa-bangsa ini, bagaimana mahu pupuk perpaduan bila dewasa kelak?

"Kerana tiada pergaulan itu, kini wujud curiga dan prasangka buruk antara satu sama lain. Sekolah Wawasan tiada agenda terselindung dan identiti setiap sekolah akan kekal, ia cuma beri anak-anak kecil peluang bergaul dan berkawan," katanya.

Beliau menjelaskan, anak kecil sekitar 3 ke 4 tahun boleh bergaul walaupun berlainan bahasa, hanya biarkan mereka bermain di padang permainan dan dengan sendirinya akan berkawan tanpa mengira kaum, walaupun menggunakan bahasa isyarat.

Menurutnya lagi, menjelang usia 7 tahun di sekolah rendah, anak-anak kecil itu sudah boleh membentuk persahabatan antara mereka tetapi jika tidak dapat bergaul, maka tiada peluang untuk anak-anak Melayu, Cina dan India itu bersahabat.

"Lihatlah orang dewasa, orang tua kini, mana ada bergaul. Jika urusan jual beli itu sekejap sahaja, tiada persahabatan tulen dibentuk. Lihat sahaja rumah terbuka semasa perayaan, semuanya duduk dengan bangsa masing-masing tanpa interaksi, pergi untuk makan sahaja.

"Jika tidak mahu terus begitu, tidak mahu anak-anak kita teruskan sikap tidak bergaul, perlu berfikiran terbuka dan mulakan dari usia muda, bermula di sekolah mereka. Kembangkan Sekolah Wawasan kerana ia alternatif terbaik jika tidak mahu sekolah satu aliran dilaksanakan," tegasnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan